Buletin

HYUNDAI DAN LG LABUR RM4.64 BILION BINA GIGAFACTORY DI INDONESIA. HASILKAN BATERI UNTUK 150K EV SETAHUN

Hyundai Motor Group dan LG Energy Solution baru-baru ini mengumumkan hasrat untuk menubuhkan sebuah syarikat kerjasama (JV) 50/50 untuk mengilang sel bateri bagi kegunaan kereta elektrik di Indonesia.  

Kedua-dua syarikat itu dilapor telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan Indonesia untuk membina sebuah gigafactory di Kerawang, dekat Jakarta dengan pelaburan dianggarkan berjumlah AS$1.1 bilion (RM4.64 bilion). 

Rancangan untuk membina kilang bateri di Indonesia bukanlah berita baharu, sudah kedengaran sejak tahun 2020. Malah, kita pernah mendengar Hyundai mahu menghasilkan kereta elektrik di Indonesia pada tahun 2018 dan 2019 lagi.

Sebab utama kenapa mereka berminat untuk menghasilkan bateri di Indonesia adalah kerana bekalan nikel yang ada di sana. Indonesia merupakan pengeluar nikel terbesar di dunia. Nikel merupakan elemen penting dlalam katod bateri NCM dan NCMA keluaran LG. 

Hyundai Motor Group dan LG Energy Solution mahu memulakan pembinaan kilang berkenaan pada suku keempat 2021, dijadual siap pada separuh pertama tahun 2023. Manakala pengeluaran besar-besaran dijangka bermula pada separuh pertama 2024. 

JV itu akan menghasilkan bateri lithium-ion NCMA terkini yang terdiri daripada sel-sel nikel, kobalt, manganese dan aluminum. Ia bakal digunakan pada model-model EV Kia dan Hyundai yang dibina di atas platform E-GMP. Bateri tersebut akan turut digunakan pada kereta Tesla yang dihasilkan di China dan menggantikan bateri NCM 811. 

Pelannya adalah untuk menghasilkan 10GWh sel bateri NCMA setahun di Indonesia. Ia cukup untuk membina lebih 150,000 unit EV dengan purata 66kWh bagi setiap pek/kereta. Kilang itu akan dibangunkan di sebidang tanah seluas 330,000 meter persegi. 

Kalau diikutkan, kilang itu bukanlah berskala besar. Tetapi, bagi sebuah pasaran EV yang kecil seperti Indonesia, ia merupakan satu permulaan yang sangat baik. 

Google ads
Back to top button