Buletin

HYUNDAI IONIQ 5 RASMI DILANCARKAN. 3 VARIAN, 2 PILIHAN PEK BATERI, TOP SPEED 185KM/J, BERMULA RM199,888 

Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) hari ini secara rasmi melancarkan model elektrik terbaharunya, IONIQ 5 ke pasaran tempatan.

Sudah dibuka tempahan sejak 1 Mac lalu, ia merupakan model EV kedua Hyundai selepas Kona Electric. Di pasaran luar, IONIQ 5 sangat laris dan perkara sama dijangka berlaku di sini.

IONIQ 5 yang disifatkan sebagai sebuah Crossover Utility Vehicle (CUV) itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max. Harga (tidak termasuk insurans) adalah seperti berikut:

IONIQ 5 Lite: RM199,888 (58.2kWh)

IONIQ 5 Plus: RM229,888 (58.2kWh)

IONIQ 5 Max: RM259,888 (72.6kWh)

Semua model berkenaan menawarkan jarak perjalanan yang jauh, pengecasan pantas dan pecutan maksimum sehingga 185km/j.

Varian Lite dan Plus (2WD) dilengkapi pek bateri berkapasiti 58.2kWh. Manakala varoan Max (AWD) pula hadir dengan pek bateri 72.6kWh.

Dibina di atas platform Electric-Global Modular Platform (E-GMP) Hyundai, jentera itu menyokong pengecasan 400V dan 800V. Platform berkenaan menawarkan keupayaan mengecas 800V sebagai standard tanpa memerlukan penambahan adapter.

Dengan pengecas 50kW, IONIQ 5 boleh mengecas dari 10peratus kepada 80 peratus dalam masa hanya 47 minit. Jika menggunakan pengecaj AC yang ada di rumah, pengecasan dari 0 peratus ke 100 peratus akan mengambil masa 6.1 jam.

Melihat kepada rekaan luaran, CUV itu mengambil inspirasi rekaan model pertama Hyundai iaitu PONY. Ia hadir dengan banyak garis tajam dan hud jenis clamshell pertama Hyundai yang mampu meningkatkan aspek aerodinamik.

Bahagian hadapan diserlahkan dengan lampu DRL berbentuk U. Manakala belakang pula nampak futuristik menerusi penggunaan kluster lampu piksel seperti Staria. Gayaan itu disempurnakan dengan rim bersaiz 20 inci.

Ruang kabin IONIQ 5 meneruskan rekaan yang futuristik dan ringkas. Pemandu disambut dengan satu panel yang mempunyai dua skrin paparan bersama ketersambungan Apple CarPlay dan Andoid Auto.

Pemandu boleh menukar kedudukan gear pada satu tombol yang diletakkan pada bahagian bawah kanan stereng. EV itu menawarkan tiga mode pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

Antara ciri yang memudahkan pemanduan termasuklah kamera 360 darjah, pengecasan tanpa wayar, rekaan lantai rata dam ruang but seluas 527 liter.

IONIQ 5 didatangkan dengan jaminan selama 2 tahun atau perbatuan sejauh 50,000km. Sementara jaminan untuk bateri ialah selama 8 tahun atau 160,000km.

Pelanggan diberi pilihan untuk menambah pakej sama ada A, B atau C. Boleh mix and match mengikut kesesuaian.

Pakej A (RM10,000):  Jaminan lanjutan dan pakej servis. Naik taraf jaminan standard menjadi 5tahun/100,000km dan servis selama 3 tahun/50,000km. Jaminan bateri kekal sama.

Pakej B (RM6,000): Stesen pengecasan 7kW AC dan pemasangan standard

Pakej C (RM7,000): Stesen pengecasan 22kW AC dan pemasangan standard

Sempena pelancaran IONIQ 5, HSDM telah bekerjasama dengan Mecomb, anak syarikat Sime Darby Industrial untuk menyediakan produk dan pemasangan pusat pengecasan di rumah. Sementara Yinson GreenTech menawarkan akses rangkaian CharEV di lebih 400 stesen pengecasan di seluruh negara.  

Google ads
Back to top button