Artikel Pilihan

PERIKSA KERETA SEBELUM BELI? INI 12 TIPS PENTING DARI KING YAZID

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang Pre-Purchase Inspection. Acap kali saya tekankan di setiap penulisan saya tentang Pre-Purchase Inspection. Tapi, apa maksudnya ? Bagaimana fungsinya ?

Pre-Purchase Inspection bermaksud pemeriksaan kenderaan secara teliti yang dilakukan oleh bengkel bertauliah dan professional sebelum dibeli. Proses ini akan melibatkan :-

1. Penjual kenderaan
2. Bengkel
3. Pembeli kenderaan

Dengan menjalani proses pemeriksaan ini, takkan ada lagi rasa sangsi di antara penjual kenderaan dan juga pembeli. Hal ini kerana bakal pembeli mengetahui segala masalah yang ada pada kenderaan itu (jika ada).

Bukan apa, jika kenderaan recond, sekarang sudah ada laman sesawang scrut.my di mana anda boleh menyemak nilai perbatuan, kondisi kenderaan serta macam-macam lagi.

Hanya dengan memasukkan nombor cesi, sedikit bayaran dan anda akan dapat laporan penuh. Saya menyokong usaha ini demi memartabatkan hak pengguna di Malaysia.

Untuk jentera terpakai bagaimana pula ? Di sini lah Pre Purchase Inspection berfungsi Tuan-Tuan.

Anda hendak beli jentera terpakai, tapi anda tidak tahu apa-apa tentang kondisi kenderaan tersebut. Tiada rekod. Memburukkan lagi keadaan jika anda memang tiada pengetahuan tentang automotif. Akan tetapi, Pre-Purchase Inspection ini mampu menyelamatkan anda.

Apa yang perlu anda buat sebagai bakal pembeli ?

Anda boleh minta penjual kenderaan menghantar unit yang anda minat ke mana-mana bengkel bertauliah dan profesional yang anda percaya. Minta mereka buat pemeriksaan menyeluruh dan kemudiannya minta laporan rasmi dari mereka.

VW MALAYSIA LANCAR PUSAT SERVIS TEKNIKAL

Sebelum minta laporan jangan lupa bayar servis mereka ye. Jika anda rasa masa anda itu emas, begitu juga masa mereka. Jangan bakhil sangat.

Bagi pihak bengkel pula, jika anda menerima tugas untuk membuat Pre-Purchase Inspection. Lakukan dengan teliti dan amanah. Berikut merupakan contoh pemeriksaan pada kenderaan :-

1. Cesi Kenderaan

Bab ini paling penting kerana kenderaan itu tiada nilai jika pernah mengalami kemalangan teruk sebelum ini. Lebih-lebih lagi bila cesi itu tidak lagi lurus.

Jadi, anda sebagai pihak bengkel hendaklah teliti dalam bab ini. Periksa betul-betul kedudukan cesi, masukkan di dalam laporan jika ada kesan kimpalan, simen atau lain-lain. Jika dalam keadaan baik, tulis sahaja cesi dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda kenderaan terlibat di dalam kemalangan berskala besar ditemui.

2. Cat dan Badan Kenderaan

Bab ini memerlukan anda melihat kenderaan dari segenap sudut. Lihat jika ada calar walaupun sehalus benang. Masukkan sahaja dalam laporan. Lihat juga bahagian bampar bdepan dan belakang. Jika bukan lagi asli, masukkan dalam laporan.

3. Tayar

Periksa jenama, saiz, tahun dibuat serta keadaan fizikal tayar tersebut. Buat anggaran berapa peratus lagi yang tinggal. Jika dah nampak benang letak saja 0%. Gila ke dah nampak benang pun nak pakai lagi.

4. Sistem Brek

Periksa keadaan pad brek dan juga rotor. Lihat sama ada masih dalam keadaan baik atau sudah habis/haus. Begitu juga dengan rotor, lihat sama ada masih rata atau bengkok/calar. Periksa sekali keadaan bendalir brek dan hos brek. Jika hos sudah ditukar kepada jenis “Steel Braided”, masukkan sahaja dalam laporan. Jika asli, tulis sahaja “Stock”. Bendalir brek jika sudah kotor, tulis sahaja kotor.

5. Enjin

Bab ini paling penting. Periksa dengan teliti. Lihat secara visual jika ada kebocoran minyak dan “coolant”. Dengar juga bunyi enjin beroperasi sama ada ada bunyi yang pelik-pelik atau tidak dan masukkan dalam laporan.

Tarik Dipstick dan lihat keadaan minyak sama ada cukup atau tidak, kotor atau tidak, pada yang berpengalaman, boleh bau minyak tersebut dan buat analisis.

Jika enjin yang menggunakan Timing Belt, periksa secara visual keadaan Timing Belt sama ada sudah retak atau tidak. Jika yang menggunakan Timing Chain, periksa keadaan Sprocket Aci Sesondol sama ada masih baik atau tidak dan masukkan dalam laporan. Begitu juga dengan keadaan Drive Belt dan Tensioner.

6. Sistem Transmisi

Untuk sistem transmisi, pertama sekali lihat secara visual, ada kebocoran minyak atau tidak. Kemudian, buang sedikit minyak atau tarik Dipstick dan lihat keadaan minyak tersebut. Jika bersih atau kotor, masukkan dalam laporan.

Ketiga, pandu uji jentera tersebut dan perhatikan/rasa “shifting” gear adalah normal atau tidak. Bagi transmisi manual, mekanik bertauliah akan dapat tahu keadaan klac dan gear melalui proses pandu uji. Masukkan dalam laporan.

7. Sistem Suspensi

Periksa secara visual keadaan suspensi. Ada kebocoran atau tidak pada penyerap hentak. Periksa setiap bush-bush yang ada sama ada retak atau tidak. Top mount dan juga Bump Stop. Masukkan dalam laporan.

8. Sistem Penyejukan

Saya percaya kebanyakan bengkel di Malaysia mempunyai alat “Coolant Pressure Tester”. Gunakan alat ini dan lihat jika ada kebocoran coolant di mana-mana. Masukkan dalam laporan jika dalam keadaan baik atau tidak.

9. Ekzos

Dengan menggunakan Hoist, angkat kenderaan dan lihat secara visual keadaan ekzos. Sama ada bocor atau tidak. Jika pemilik sebelumnya sudah menukar atau mengubahsuai sistem ekzos, masukkan dalam laporan.

10. Sistem Elektrik

Pertama sekali, gunakan Scan Tools untuk lihat jika ada Fault Code atau tidak. Jika ada, ambil gambar dan masukkan dalam laporan. Buat analisis tentang masalah apa yang menjadi punca Fault Code tersebut keluar. Masukkan dalam laporan.

Kemudian, periksa keadaan bateri menggunakan Battery Tester. Sama ada bateri tersebut masih dalam keadaan baik atau tidak. Periksa juga voltan ketika enjin hidup untuk memastikan Alternator berada dalam keadaan baik atau tidak.

Selepas itu, periksa semua lampu dan sistem audio sama ada berkeadaan baik atau tidak. Jika ada pengubahsuaian pada sistem pendawaian, masukkan dalam laporan.

11. Sistem Penghawa Dingin

Gunakan A/C Pressure Gauge untuk melihat sama ada gas A/C masih dalam keadaan cukup atau tidak. Kemudian, tekan sedikit injap pada paip A/C dan lihat jika sistem masih bersih atau kotor. Masukkan dalam laporan. Begitu juga dengan setiap suis A/C di dalam kenderaan. Periksa sama ada berfungsi dengan baik atau tidak.

12. Kemasan dalaman

Periksa secara visual kemasan dalam seperti papan pemuka, papan pintu, kemasan bumbung dan lain-lain. Seperti kenderaan dari eropah, Roof Lining jatuh selepas beberapa tahun adalah normal. Masukkan dalam laporan. Jika berada dalam keadaan sangat kotor atau bersih, masukkan juga dalan laporan.

Selesai semua perkara di atas, buat rumusan tentang keadaan kenderaan tersebut dan nasihat bakal pelanggan sama ada kenderaan tersebut berbaloi untuk dibeli atau tidak.

Kemudian, buat sebut harga baik pulih tentang perkara yang anda jumpa ketika pemeriksaan. Di sini, bakal pelanggan mampu untuk mencongak bajet yang perlu dilaburkan pada kenderaan tersebut.

Laporan yang disediakan pula mesti dalam keadaan kemas dan disertakan dengan gambar serta difahami oleh pelanggan. Pakai komputer dan cetak. Bukan tulis tangan. Buat kerja biar formal.

Seperti yang saya tekankan pada maksud Pre-Purchase itu sendiri iaitu “pemeriksaan kenderaan secara teliti yang dilakukan oleh bengkel bertauliah dan professional sebelum dibeli”.

Ada perkataan profesional disitu. Bermakna laporan tersebut adalah sulit dan tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak kecuali bakal pelanggan yang membayar anda untuk servis ini. Jadilah orang yang amanah serta profesional.

Jika di tempat saya, kos untuk melakukan Pre-Purchase Inspection ini berharga SGD$250 sebelum 7% GST. Anda tukarkan sendiri kepada jilai Ringgit Malaysia.

Kalau anda kata mahal, saya tak tahu nak cakap apa. Apalah sangat nilai ini berbanding nilai kenderaan yang anda hendak beli itu. Cuma jika di Malaysia, terpulang kepada bengkel nak letak harga berapa.

Bagi pihak pelanggan pula, jika sudah dapat laporan keadaan dan kos sebut harga, bincang kembali dengan penjual tentang tindakan seterusnya. Sama ada mahu teruskan dengan keseluruhan kos ditanggung oleh anda, seperuh-separuh, semua kos ditanggung oleh penjual, atau batalkan perjanjian jual beli. Terpulang kepada anda. Duit anda hak anda.

Jadi Tuan-Tuan. Inilah bingkisan saya tentang Pre-Purchase Inspection. Bagi saya, proses ini adalah penting untuk diamalkan sebelum memberi kereta.

Jika di negara jiran Singapura mereka ada “Lemon Law” untuk mempertahankan hak pengguna. Malaysia ada juga, boleh bawa ke tribunal namun ada had harga yang ditetapkan dan keadaan akan jadi leceh.

Baik mencegah daripada mengubati. Bukan apa, jika dah beli baru tahu keadaan kenderaan, hati pun jadi tak tenang dan rasa marah kerana rasa ditipu. Pakai kereta rasa tak seronok. Kan tak best macam tu.

Proses ini saya tekankan kepada semua jenis kenderaan lebih-lebih lagi yang berjenama mewah seperti Mercedes Benz, BMW, Audi, GT-R dan seangkatan dengannya. Hal ini kerana kos untuk membaikpulih kenderaan seperti ini menelan belanja yang begitu tinggi. Benda boleh cegah, baik kita cegah.

Cuma bila kenderaan terpakai, anda mesti faham. Kondisinya tidaklah seperti kenderaan baru. Bertolak ansur juga dengan penjual. Jangan semua nak anda je untung, mereka pun cari makan.

Kepada bengkel, ini adalah umpama “Jackpot”. Buat kerja dengan teliti dan amanah. Jangan biarkan maruah diri anda boleh dibeli oleh pihak tertentu.

Jahanam kata jahanam. Baik kata baik. Mudah. Jika mereka beli, anda juga yang untung kerana anda dah dapat kepercayaan pelanggan tersebut.

Google ads
Back to top button