
INI SEBAB UTAMA KENAPA PENGGUNA DI CHINA BELI EV JENAMA TEMPATAN, BUKAN TESLA
Pengguna di China yang ingin membeli kenderaan elektrik akan mempertimbangkan dua perkara utama sebelum membuat sebarang pembelian.
Data ini berjaya dikumpul oleh CNBC hasil kaji selidik di seluruh China. Namun ia bukanlah satu penyelidikan yang bersifat kualitatif. Namun, maklum balas yang diterima sedikit sebanyak memberi gambaran tentang sentimen pengguna di pasaran automotif terbesar di dunia itu.
Syarikat EV China seperti Nio, Xpeng dan Li Auto merekodkan peningkatan jualan tahun lalu, biarpun industri automotif global merosot akibat pandemik COVID-19.

Harus tahu, Tesla masih peneraju pasaran EV di republik berkenaan. Pemantauan yang dibuat pada waktu puncak sempat melihat 11 unit Tesla, 2 unit SUV NIO dan masing-masing satu unit keluaran WM Motor dan sedan P7 Xpeng di atas jalan raya.
Jadi, apakah faktor yang mendorong kepada pembelian sesebuah EV di China?
Faktor harga
Faktor pertama ialah harga. Chen Yingjie, 42, memberitahu dia membeli SUV Li One pada April 2020 pada harga 300,000 yuan (RM38,500). Pilihan itu dibuat selepas mendapati dia perlu membayar satu kali ganda untuk membeli sebuah EV Nio dengan semua spesifikasi yang dimahukannya.
Harga permulaan untuk sebuah EV Nio memang murah. Tetapi, banyak ciri yang perlu ditambah secara berasingan. Chen sebelum ini pernah membei Xpeng G3 pada tahun 2019 sebelum membeli sebuah EV keluaran BYD untuk bapanya.

Antara strategi Nio adalah menjual banyak ciri kenderaan menerusi program langganan. Sebaai contoh, Nio melancarkan pelan ‘servis bateri’ pada tahun lalu. Pelan itu memerlukan pelanggan membaya yuran bulanan untuk mendapatkan kuasa bateri.
Bagi Wang Jinyan, 29, fokus Nio terhadap perkhidmatan pelanggan adalah sesuatu yang dia fikir berbaloi walaupun terpaksa membayar sedikit lebih. Ini kerana pelan sebegitu boleh menjimatkan masanya daripada perlu pergi ke bengkel jika berlaku sebarang kerosakan.
Harga juga menjadi faktor utama untuk Wang. Dia membeli Nio ES6 pada harga 450,000 (RM57,7000) selepas dicadangkan oleh seorang rakan sekerja dan membandingkannya dengan Lexus RX yang lebih mahal.
Dia mengaku tidak berpeluang untuk memandu uji Tesla Model 3. Tetapi dia ada impresi yang kurang baik terhadap jenama Amerika Syariat itu berdasarkan kepada pengalaman rakan-rakan serta berita yang dibacanya di internet mengenai perkhidmatan pelanggan yang kurang bagus.

Jarak perjalanan
Sejauh mana sesebuah EV boleh bergerak dengan sekali caj menjadi satu lagi faktor penting pembelian. Bagi Zhang Zhen, 41, yang tinggal di kawasan sejuk di utara China, dia bimbang dengan keupayaan EV untuk memanaskan kenderaan dan memberi jarak yang secukupnya.
Akhirnya, dia membeli Li One yang dilengkapi dengan tangki minyak dan berfungsi untuk mengecaj bateri.
Tangki bahan api tersebut membolehkan ia bergerak sejauh 180 hingga 800km dengan sekali caj. Kereta itu biasanya dipandu oleh isterinya untuk menghantar danmenjemput anak mereka dari sekolah yang sejauh 10km.
Anak-anaknya juga lebih sukakan kereta itu kerana mereka boleh menonton kartun pada skrin binaan dalam kenderaan. Tetapi, Zhang mendapati proses membaiki EV adalah lebih sukar berbanding kereta biasa. Jadi, dia tidak bercadang untuk membeli sebuah lagi EV kerana kurangnya infrastruktur mengecas di kawasan kediamannya.
Sokongan kerajaan
Bagi menyokong pembinaan EV tempatan, kerajaan China telah melancarkan program subsidi dan membina rangkaian pengecasan kebangsaan.
Namun, berbeza dengan Amerika Syarikat, kebanyakan kenderaan di China tidak mempunyai ruang parkir khusus. Ini menyukarkan pemilik EV untuk mengecas bateri mereka di stesen pengecasan. Sebab itulah ciri tangki minyak yang ada pada model Li One menjadi tarikan utama buat pembelinya.
Polisi kerajaan yang memudahkan perolehan plat lesen untuk EV juga mendorong pengguna membeli kenderaan tersebut.
Disebabkan oleh usaha mengurangkan kesesakan dan pencemaran udara, orang ramai terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan lesen bagi kereta dengan enjin konvensional. – CNBC