Buletin

JAGUAR LAND ROVER MALAYSIA LANCAR XF 2022. 250PS, RWD, BERMULA RM498K

Dalam usaha untuk menambah baik pengalaman memandu kenderaan keluarannya, Jaguar Land Rover Malaysia baru-baru ini melancarkan Jaguar XF baharu ke pasaran tempatan.

Hadir dalam versi R-Dynamic, Jaguar XF 2022 menggunakan enjin Ingenium petrol empat silinder 2.0 liter berkuasa 250PS yang mampu boleh memecut dari sifar hingga 100km/j dalam masa 7.1 saat.

Untuk model RWD ini, enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear automatik lapan kelajuan bersama paddle shifter.

Sedan mewah Jaguar XF menampilkan reka bentuk hadapan yang telah ditambah baik, bersama rekaan gril untuk tahap pengambilan udara lebih efisien. Tidak ketinggalan, lampu utama LED dengan ciri eksklusif ‘Double J’ dan bampar belakang rekaan baharu.

Dengan reka bentuk ruang dalaman yang lebih dinamik, pemandu pasti akan menikmati keselesaan dan kemewahan sedan ini. Ruang itu dilengkapi konsol tengah lebih bergaya yang bercantum ke papan pemuka dan pengecas tanpa wayar.

Pemandu boleh menggunakan skrin sentuh HD kaca melengkung bersaiz 11.4 inci berlandaskan teknologi maklumat hibur Pivi Pro terkini.

Skrin yang tiga kali lebih cerah dan 48 peratus lebih besar berbanding model terdahulu itu membolehkan pemandu melihat dengan lebih jelas dan memanfaatkan struktur menu ringkas yang memudahkan akses kepada fungsi umum daripada skrin utama menggunakan maksimum dua sentuhan.

Dengan tahap keterhubungan yang lebih baik menerusi Apple CarPlay atau Android Auto, pemandu boleh menghubungkan telefon pintar mereka dan menggunakan aplikasi yang serasi dalam masa beberapa saat sahaja.

Ciri-ciri lain termasuk teknologi Active Road Noise Cancellation yang mengurangkan bunyi bagi memastikan perjalanan lebih tenang. Teknologi itu adalah sebahagian daripada sistem bunyi Meridian.

Jaguar XF 2022 juga memanfaatkan teknologi bantuan pemandu generasi terkini. Ciri Adaptive Cruise Control melaraskan pendikit secara automatik berdasarkan jarak dari kenderaan di hadapan. Manakala Driver Condition Monitor pula memastikan pemandu mampu mengendalikan kenderaan untuk menjamin keselamatan.

Jaguar XF ditawarkan pada harga bermula RM498,800 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans).

GALERI

Google ads
Back to top button