Artikel Pilihan

JDM GENTLEMEN AGREEMENT – KENAPA DIHADKAN KEPADA 276 HP (YANG DAH SAH-SAH SATU PENIPUAN)

Selain berasal dari Jepun, jentera berprestasi tinggi JDM dari dekad 90 an hingga awal 2000 mempunyai satu lagi persamaan. Kesemuanya mempunyai 276 hp kuasa maksima. Tak kiralah sama ada yang menggunakan enjin 2.0 liter turbo flat-four ataupun inline-six seperti Supra dan Skyline, hatta enjin rotary 1.3 liter turbo Mazda RX-7 sekali pun kesemuanya mempunyai angka kuasa maksima yang sama. Logik ke tak tuan-tuan?

Ia bukan satu kebetulan atau pun had teknologi semasa ketika itu tetapi angka yang diputuskan oleh pakatan pengeluar kereta Jepun pada tahun 1988 yang menyatakan 276 hp adalah had kuasa maksima untuk kereta produksi keluaran mereka.

Masalahnya korang percaya ke kesemua jentera JDM ini mempunyai 276 hp kuasa? Kenapa 276 hp dan ada lagi ke peraturan ini sekarang?

Menjelang dekad 80 an, kemajuan teknologi pembuatan kereta Jepun mencapai kemuncaknya dan setiap model yang dihasilkan menjadi semakin menarik, semakin berkuasa dan lebih laju daripada pesaing lebih-lebih lagi dalam perlumbaan.

Namun pada masa yang sama kecederaan dan kematian akibat kemalangan semakin meningkat. Untuk mengelak daripada menjadi sasaran pihak berkuasa kerajaan, pihak pengeluar kenderaan membuat satu perjanjian tidak formal untuk menghadkan kuasa maksima kenderaan keluaran mereka pada tahun 1988.

Hasilnya ialah semua kenderaan mesti mematuhi had kuasa maksima 276 hp dan had kelajuan maksima 180 kmj. Korang dah faham kan sebab apa meter kelajuan kereta JDM cuma sampai bacaan 180 kmj sahaja. Peraturan ini bagaimanapun hanya khusus untuk jenderaan yang dipasarkan untuk pasaran domestik Jepun (JDM).

Ia bukan untuk menghentikan persaingan antara pengeluar tapi lebih jalan selamat supaya tidak menarik perhatian pihak berkuasa. Ia bukannya peraturan yang tertulis jadi agak sukar untuk mengetahui lebih lanjut butirannya. Bagaimanapun dipercayai peraturan ini hanya untuk kenderaan siri produksi dan bukannya untuk model-model edisi khas. Ini bermakna model edisi khas dikecualikan daripada peraturan ini dan boleh diberi penambahan kuasa.

Namun di atas kertas banyak model-model popular yang mematuhi peraturan ini. Subaru 22B STI contohnya mendakwa hanya menghasilkan 276 hp kuasa tapi model edisi isitimewa WRX STI S201 mempunyai 296 hp kuasa. Contoh edisi istimewa lain dengan kuasa melebihi had 276 hp ialah Nismo 400R yang diasaskan daripada Nissan Skyline GT-R R33 dan Nismo Z-Tune yang mempunyai 493 hp kuasa. Itu baru satu dua contoh.

Kalau ikut spesifikasi di atas kertas hampir kesemua model lagenda JDM mempunyai 276 hp kuasa. Masalahnya korang yang bijak pandai percaya ke EVO, WRX dan GT-R cuma menghasilkan 276 hp. Takkan R34 dan R33 mempunyai kuasa yang sama dengan R32 yang dihasilkan pada tahun 1989.

Tengok contoh model JDM popular seperti Mitsubishi 3000GT/GTO. Sewaktu di Jepun angkas kuasa di atas kertas cuma 276 hp tapi sebaik diimport untuk pasaran negara lain, angka kuasanya segera meningkat kepada 320 hp. Ajaib bukan? Lintas je sempadan Jepun terus angka kuasa naik.

Sebaik memasuki era millennium, ramai dah mula sedar yang angka 276 hp ni sekadar cetakan pada kertas semata-mata. Ramai percaya yang kebanyakan pengeluar ingin mengekalkan kesatuan dan keharmonian di antara mereka.

Semuanya kekal seperti biasa sehinggalh Honda memperkenalkan model Legend terbaru mereka yang dikenali dengan nama Acura RL di AS. Ia dibekalkan dengan enjin 3.5 liter V6 yang mampu menghasilkan 300 hp kuasa di Jepun!

Tidak diketahui sama ada Honda melakukannya dengan persetujuan pengeluar lain ataupun tidak tapi ia adalah permulaannya. Selepas itu semakin banyak model keluar dengan kuasa melebihi 300 bhp.

Perjanjian seperti ini bukan hanya berlaku di Jepun sahaja malah pernah dilakukan oleh pengeluar kereta dari Jerman. Mereka menghadkan halaju kereta keluaran mereka kepada 155 mph (250 kmj) sahaja kecuali untuk model-model edisi khas. Dengan kata lain kenderaan keluaran divisyen M, AMG dan RS tidak terikat kepada peraturan 155 mph tersebut.

Google ads
Back to top button