JENAMA DARI PERANCIS DISELAR ‘CURI PELUANG’ DI ART OF SPEED 2024
Acara kustom terbesar di Malaysia, Art of Speed 2024 telah pun melabuhkan tirai pada penghujung Julai lalu yang menyaksikan ribuan pengunjung dan peserta memeriahkan acara tahunan berkenaan.
Bagaimanapun, disebalik kejayaan penganjuran tersebut telah berlakunya insiden yang kurang disenangi terutamanya dari pihak penganjur dan peminat.
Salah satu jenama pelincir terkemuka dari Perancis, didakwa telah mengambil peluang untuk melaksanakan pemasaran gerila (guerilla marketing) bagi melakukan promosi meskipun tidak mendapat persetujuan penganjur.
Pengasas Art of Speed (AOS), Asep Ahmad menerusi satu perkongsian di media sosial telah meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan tindakan jenama berkenaan.
“Sudah 13 tahun masih ada lagi (taktik) ‘guerilla marketing’ macam ini.
“Art Of Speed adalah acara komuniti. Duit yang kami kumpul adalah untuk meraikan komuniti, bayar sewa, logistik, lesen, permit, hotel, penerbangan dan macam-macam lagi,” jelasnya.
Difahamkan, jenama tersebut tidak mengadakan perjumpaan atau perbincangan lanjut dengan pihak AOS namun pada hari acara berlangsung telah melakukan beberapa perkara yang melanggar peraturan acara.
“Pagi Sabtu dengan selamba menaikkan ‘beach flag’ dan sekat kenderaan peserta Show dan Shine,” tambah Asep lagi.
Kami difahamkan bahawa jenama tersebut memberi alasan kali pertama menghadiri AOS dan berkolaborasi dengan Geng Tayar Besar bagi projek motosikal Y1000.
Bagaimanapun, sumber memberitahu bahawa wakil jenama tersebut telah menggunakan peluang untuk melakukan pemasaran percuma walaupun memasuki ruang acara dengan hanya tiket pengunjung. Selain menaikkan ‘beach flag’ mereka turut memperagakan dua model yang berjalan di sekitar acara.