Buletin

JPJ KELANTAN BUKA KAUNTER PANDU LALU DI PANJI, KOTA BHARU SEHINGGA 30 SEPT DEPAN

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan membuka kaunter pandu lalu di Panji, Kota Bharu bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu atau pelbagai urusan lain.

Pengarah JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kaunter pandu lalu itu pertama seumpamanya di negeri ini dan dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang sehingga 30 September depan. JPJ Kelantan mensasarkan untuk mengutip RM300,000 khusus bagi bayaran berkaitan pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) serta lesen vokasional (GDL/PSV) menerusi kaunter tersebut.

“Orang ramai merungut mereka berdepan masalah untuk memperbaharui lesen menggunakan kaedah hadir pada tarikh janji temu. Maka kaedah pandu lalu ini diperkenalkan bagi melancarkan urusan dengan mengambil masa antara tiga hingga lima minit sahaja.

“Sambutan menggalakkan diterima pada hari pertama semalam apabila kita berjaya mengutip RM10,000,” katanya kepada pemberita ketika meninjau operasi kaunter pandu lalu tersebut.

Selain bayaran tunai, kaunter pandu lalu JPJ turut menerima bayaran secara kad debit. Setakat ini, prestasi perkhidmatan tersebut amat memuaskan menyamai prestasi kaunter biasa di pejabat JPJ.

“Selain kaunter pandu lalu ini, beberapa kaunter JPJ tetap akan dibuka seperti biasa untuk pelbagai urusan iaitu di JPJ Panji, JPJ Machang, JPJ Gua Musang dan di kaunter JPJ Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Bharu,” katanya.

JPJ sebelum ini mengumumkan tempoh moratorium bagi pelanjutan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) dan lesen memandu Malaysia (LMM) termasuk lesen vokasional (GDL/PSV) tidak disambung selepas 30 September 2021. – UTUSAN

Google ads
Back to top button