Artikel Pilihan

KALAU KERETA BIASA PAKAI BREK F1 MESTI MANTAP KAN…….

Seperti mana yang kita sedia maklum, tugas brek adalah untuk memastikan kereta berhenti dengan selamat dalam apa jua keadaaan. Tetapi dalam sesetengah keadaan, brek kereta boleh gagal disebabkan terlalu panas menjadikan geseren antara pelapik brek dengan cakera brek gagal menghentikan kenderaan.

Masalah ini disebabkan oleh haba yang dihasilkan ketika kenderaan mulai membrek, dengan menukar tenaga kinetik yang ada ketika kereta bergerak menjadi tenaga haba yang akan diterima oleh cakera brek. Dengan berat purata 1500kg, sebuah kereta boleh menjana sehingga 734Mj tenaga haba pada sistem brek.

Jadi adalah menjadi kebiasaan untuk kita melihat rekaan cakera brek memiliki rekaan berliang (ventilated) bagi menghasilkan luas permukaan yang lebih besar. Semakin besar luas permukaan, semakin cepat sistem brek menyingkirkan tenaga haba tadi ke persekitaran dengan cepat.

Jika gagal disingkirkan, haba yang terhasil tadi akan diserap masuk ke sistem hidraulik brek dan dalam sesetengah keadaan boleh menyebabkan suhu cecair meningkat, menghasilkan buih dan menjadikan brek terasa spongy.

Sudah la geseran antara pelapik brek dengan cakera brek berkurang disebabkan haba, bertambah pulak dengan cecair hidraulik gagal menghantar tekanan yang cukup kepada sistem brek untuk beroperasi. Keadaan ini biasa terjadi sekiranya anda memandu di litar lumba dengan kereta biasa, selepas beberapa pusingan anda akan dapati brek kereta anda sudah tidak efisyen lagi

Atas sebab inilah kereta lumba seperti F1 tidak lagi menggunakan brek yang dihasilkan daripada iron cast atau besi tuang disebabkan isu haba. Sebaliknya jentera F1 menggunakan cakera brek dan juga pelapik brek yang dihasilkan daripada komposit karbon dan boleh beroperasi sehingga suhu 1200 darjah Celcius tanpa masalah.

Jadi sekiranya kereta F1 boleh menggunakan brek komposit karbon tanpa masalah, kereta penumpang biasa pun boleh menggunakannya di atas jalan raya kan? Tambahan pula kebanyakan teknologi yang ada pada jentera F1 akan dipindahkan pada kereta biasa nanti.

Jawapan singkat kami ialah, adalah agak mustahil untuk menggunakan brek F1 pada kenderaan biasa. Antara sebab-sebab brek F1 tidak sesuai digunakan pada kereta biasa ialah:

1. Mahal – ya harga untuk menghasilkan satu unit cakera brek, angkup brek dan pelapik brek boleh mencecah sehingga RM 300,000 per set. Salah satu sebab yang menjadikannya mahal ialah komposit karbon sangat susah untuk dihasilkan berbanding dengan brek biasa yang dihasilkan dengan kaedah iron casting

Proses penghasilan komponen brek daripada komposit karbon adalah sukar, bermula dengan serbuk gentian karbon, melalui proses forging, machining dan juga heat treatment selama sebulan pada suhu 1000 darjah celcius.

Ia adalah proses yang rumit dan memerlukan banyak tenaga serta memerlukan kawalan kualiti yang tinggi menjadikan kos pembuatan brek komposit karbon adalah sangat tinggi.

2. Operasi suhu tak sesuai – brek komposit karbon akan beroperasi dengan optimum pada suhu 300 darjah Celcius. Jika suhu dibawah 300 darjah Celcius, ia tidak menghasilkan geseran yang cukup untuk beroperasi dengan efisyen.

Bagi kebanyakan kereta yang dipandu di atas jalan raya biasa, adalah sukar untuk sentiasa memastikan brek anda sentiasa dalam keadaan yang panas. Berbeza dengan komposit karbon, brek cast iron lebih sesuai dan boleh beroperasi pada julat suhu yang lebih lebar

Brek cast iron boleh beroperasi pada suhu normal dengan baik pada cuaca sejuk ataupun pada cuaca panas. Malah bagi kegunaan seharian, kita jarang sekali memandu pada halaju tinggi dan membrek dengan agresif kecuali dalam perlumbaan.

3. Terlalu agresif – jika brek komposit karbon mulai beroperasi, ia berupaya menghasilkan kuasa pemberhentian yang cukup tinggi sehingga sukar untuk pemandu biasa yang tidak terlatih mengendalikannya.

Bayangkan jika pemandu professional pun memerlukan masa berbulan-bulan untuk berlatih menggunakan brek komposit karbon selepas biasa memandu dengan brek cast iron, apatah lagi pemandu biasa. Silap hari bulan ia boleh menyebabkan kemalangan dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain

4. Kompleks susah nak servis -brek komposit karbon dipasang dengan 6 piston bagi menghasilkan kuasa brek yang maksima berbanding dengan 1 piston sahaja bagi kereta biasa. Kebanyakan kereta sport pula menggunakan 2 piston pada roda depan

Semakin banyak piston menjadikan sistem brek ini semakin kompleks, semakin sukar untuk diservis dan semakin mahal kos servis. Bayangkan kalau anda sudah mengeluh untuk menukar pelapik brek yang berharga RM 400 satu set, mungkin anda pengsan berdiri kalau melihat harga pelapik brek komposit karbon

Google ads
"
"
Back to top button