
KASIHAN LIHAT KESUSAHAN WARGA EMAS, PENGUSAHA BENGKEL JUAL KANCIL RM1 SAHAJA
Seorang pengusaha bengkel kenderaan di Durian Tunggal, Melaka bermurah hati untuk menjual sebuah Perodua Kancil pada harga cuma RM1.
Shikh Muhammad Makhdad Haron, 49, menjual kereta berkenaan berikutan rasa simpati terhadap kepayahan hidup yang dialami oleh Jamilah Mazaki , 70.
Kereta itu dilihat akan memudahkan urusan harian warga emas terbabit yang juga pembuat rempeyek. Menurut Shikh Muhammad, pada awalnya Jamilah datang bertemunya sambil memaklumkan mahu membeli kereta, tetapi tidak cukup wang.
Jamilah memberitahu dia sanggup membayar harga kereta itu secara ansuran setiap bulan. Namun, sebagai seorang warga emas, mustahil untuk dia mendapatkan pinjaman daripada bank.
Kasihan melihat Jamilah yang terpaksa mengguna perkhidmatan e-hailing serta menumpang orang ketika membeli keperluan bagi membuat rempeyek, dia berusaha mencari sebuah kenderaan terpakai.
“Akhirnya saya menemui seseorang pemilik Perodua Kancil yang tersadai dan sudi menginfak kenderaan itu untuk kegunaan Jamilah. Namun, pemilik terbabit tidak mahu menonjolkan dirinya.
“Saya membawa kereta berkenaan pulang ke bengkel sebelum membaikinya dan selamat untuk digunakan semula. Alhamdulillah, hasil sumbangan rakan bengkel dan komuniti termasuk bagi menggantikan peralatan rosak, kerja baik pulih, insurans dan urusan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) amat dihargai dalam merealisasikan impian warga emas ini,” katanya.
Harga RM1 hanya dikenakan kepada wanita berkenaan sebagai tanda kasih sayang dalam usaha membantu individu yang memerlukan.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran termasuk hampir tertangguh beberapa bulan, akhirnya kereta itu dapat diserahkan kepada Jamilah.
Jamilah melahirkan rasa terharu dengan infak kereta yang diterima itu kerana memudahkan urusan hariannya. Dia tidak terfikir boleh membeli sebuah kereta pada harga cuma RM1. “Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa semua pihak dan setiap individu yang membantu memenuhi impian saya ini,” katanya. – Harian Metro
- BACA: PERODUA LABUR RM7 JUTA UNTUK HASILKAN ALATGANTI KANCIL, KELISA, VIVA & MYVI
- BACA: BERAPA KOS SERVIS PERODUA ATIVA? MURAH JE, MACAM KANCIL
- BACA: PERODUA KANCIL NAK RUNTUH DIKESAN DI KEPONG. MP MINTA PIHAK BERKUASA AMBIL TINDAKAN
- BACA: PERODUA KANCIL TERBAKAR DI STESEN MINYAK PETRONAS DISYAKI ADA KAITAN DENGAN AKTIVITI PENYELUDUPAN