Buletin

KELAJUAN NAIK 8KM/J JADI PUNCA KEMALANGAN MAUT MENINGKAT 8% – KAJIAN

Satu kajian yang dijalankan oleh Institut Insurans Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) Amerika Syarikat mengesahkan bahawa penambahan had kelajuan di seluruh negara Uncle Sam itu menyebabkan peningkatan keMalangan maut yang sepatutnya boleh dielakkan. 

Menurut IIHS, kenaikan had laju sejak 25 tahun lalu mengakibatkan hampir 37,000 nyawa melayang dengan 1,900 pengguna jalan raya maut pada tahun 2017 sahaja. 

Naib Presiden IIHS untuk penyelidikan dan perkhidmatan statistik, Charles Farmer menganalisa bagaimana kematian maut berlaku akibat perubahan had laju di setiap negeri di AS mulai tahun 1993 hingga 2017. 

Turut mengambil kira faktor-faktor lain seperti perubahan dalam masalah pengangguran dan peningkatan jumlah pemandu muda di atas jalan raya, Farmer menyimpulkan bahawa kenaikan kelajuan sebanyak 8km/j ke dalam had kelajuan maksimum mempunyai kaitan dengan peningkatan kadar kematian jalan raya sehingga 8 peratus di laluan negeri dan lebuh raya. 

Ini bermakna, terdapat lebih 36,760 kematian di seluruh AS berbanding jika had kelajuan tidak dinaikkan. 

Sebagai maklum balas kepada dapatan ini, agensi penguatkuasa dan para pengeluar kenderaan mungkin berdepan tekanan untuk menghadkan kelajuan kereta masing-masing. 

Volvo misalnya baru-baru ini mengumumkan bermula model tahun 2021, kelajuan kenderaannya akan dihadkan kepada 180km/j sahaja.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Volvo Cars, Håkan Samuelsson memberitahu kajian pihaknya menunjukkan mengehadkan kelajuan kenderaan dapat membantu syarikat mencapai matlamat kematian sifar di dalam kenderaan Volvo.

Biarpun begitu, bukan semua yakin kelajuan lebih tinggi meningkatkan jumlah kematian di jalan raya.

Menurut pakar keselamatan, Tom Sohweide, kajian menunjukkan bahawa trafik perlu bergerak pada kelajuan yang konsisten. Ini kerana perbezaan kelajuan di antara kenderaan paling laju dan perlahan merupakan bahaya yang sebenarnya. 

Tags
Google ads
Back to top button