Artikel Pilihan

KENAPA KERETA JEPUN TAHAN LASAK & TIDAK MUDAH ROSAK?

Walaupun kelihatan agak kuno, hampir semua kereta buatan Jepun datang dengan reputasi susah rosak dan tahan lasak jika dibandingkan dengan jenama Amerika, Korea, China dan juga Continental. Daripada laporan Consumer Report 2023, 6 daripada 10 jenama yang boleh diharap ialah datang daripada jenama Jepun.

Jika diteliti, ketahanan kenderaan buatan Jepun adalah berkait terus dengan budaya hidup orang Jepun sendiri. Bagi mendalami asas atau “core” kepada kekuatan dan ketahanan kenderaan Jepun, maka faktorr-faktor ini disumbangkan oleh:

1. Sejarah – sejarah membuktikan bahawa bangsa Jepun menerusi gerakan Meiji (pembaharuan) mampu mengalahkan tentera Russia dalam perang. Keadaan ini membangkitkan semangat patriotisme dalam warga Jepun. Namun kekalahan tanpa syarat pada tentera berikat pada perang dunia kedua sebenarnya menjatuhkan maruah Jepun

Angkatan Tentera Jepun dihapuskan dan Jepun mulai menunjukkan kekuatan mereka dalam industri pembuatan dan ekonomi. Ini adalah manifestasi Jepun menunjukkan kekuatan mereka melalui produk jenama mereka yang mampu dijual dengan murah dan berkualiti tinggi, sekaligus mengalahkan produk buatan barat

Apabila jenama Jepun berjaya menguasai pasaran, ia ibarat memenangi satu peperangan industri bagi mengalahkan kuasa barat

2. Kaizen & Lean Manufacturing – salah satu cabaran yang dihadapi oleh Jepun ketika membangunkan industri ialah masalah kewangan, kekurangan kawasan akibat perang, dan tiada sumber bahan asli sebagai bahan mentah.

Semua isu di atas boleh di atasi dengan sistem pengurusan kualiti baru, meminimakan penggunaan ruang, sumber asli, 4M (machine, method, money, material) dan memaksimakan keuntungan dengan Lean Manufacturing

Ironinya idea Lean Manufacturing diilhamkan oleh Dr Edward Deming dari Amerika membawa idea untuk meningkatkan kualiti bagi meningkatkan produktiviti di syarikat Jepun, selepas kebanyakan syarikat Amerika menolak ideanya. Idea ini mencetuskan falsafah baru yang digunakan oleh Toyota dikenali sebagai Toyota Production System

Selain mengawal kualiti, TPS juga menekan idea pembangunan dan pembaikan secara berterusan (kaizen) bagi menaikkan kualiti produk automotif Jepun dengan cara paling mudah dan murah. Keadaan ini menghasilkan produk yang berkualiti tinggi, dihasilkan dengan kaedah paling efisyen dan berupaya mengalahkan pesaing mereka.

Ketaksuban jurutera Jepun dengan Kaizen ini menjadikan mereka mampu mengkaji berapa minit yang diperlukan, berapa SOP yang diperlukan dan berapakah kos yang diperlukan bagi menghasilkan satu produk. Semua aspek ini akan sentiasa ditambahbaik dari masa ke semasa dengan kawalan kualiti luar biasa.

3. Kerja Berpasukan – secara tradisi, budaya kerja Jepun adalah mementingkan kebaikan bersama (collective benefit) yang boleh dipupuk dalam pasukan atau syarikat, berbeza dengan budaya kerja barat yang mementingkan kebaikan kepada individu (individualistic)

Jika pekerja melakukan kesalahan dalam proses pengilangan, ia akan dianggap sebagai kesalahan bersama dan akan dikaji melalui 5 Why Analisis (5 peringkat kajian), berbanding dengan budaya barat yang menuding jari kepada satu individu sahaja. Kaedah ini akan membantu syarikat mencari kaedah yang betul bagi mengatasi masalah

4. Kerja adalah mati dan hidup budaya Jepun – orang Jepun sangat mementingkan kerjaya dalam kehidupan, mengambil serius dalam kualiti pembuatan, dan mendedikasikan disiplin yang tinggi dalam kerja. Bayangkan jika pemandu keretapi lambat sampai, mereka wajib mengeluarkan surat meminta maaf kepada semua pelanggan agar surat ini sampai kepada pihak pengurusan penumpang

Budaya dedikasi, ketepatan waktu, dan berusaha bersungguh-sungguh seperti sebati dengan budaya hidup jepun (bushido-way of life) yang pernah diamalkan oleh golongan samurai Jepun. Jika mereka gagal atau menyebabkan syarikat malu atau tercalar, orang Jepun tidak teragak-agak untuk membunuh diri demi menjaga maruah (seppuku)

5. Jepun bangsa konservatif – bermaksud apabila tiba teknologi baru, syarikat Jepun akan mengambil pendekatan selamat dengan melakukan kajian demi kajian secara berterusan sebelum menggunakan teknologi baru dalam syarikat. Ini kerana bangsa Jepun lebih suka berfikir secara kolektif, dan mengambil idea yang lebih besar sebelum melaksanakan idea baru yang datang mengejut (revolusi)

Sebagai contoh, kebanyakan enjin yang digunakan oleh syarikat Jepun sekarang adalah enjin lama yang sentiasa dikemaskini. Sewaktu kebangkitan revolusi enjin kecil menggunakan turbo sekitar awal tahun 2000, syarikat Jepun masih menggunakan enjin bersaiz besar bagi menjaga ketahanan enjin

Selepas 20 tahun barulah kita melihat Jepun menghasilkan enjin turbo bagi kegunaan umum, bukannya untuk kegunaan kereta sport. Dan hari ini ketika dunia bergerak terlalu pantas dengan kereta elektrik, syarikat Jepun menguatkan teknologi hibrid dan plug in hibrid selepas melihat masalah

Pendekatan konservatif ini menjadikan produk syarikat Jepun agak ketinggalan berbanding dengan pesaingnya yang lain, bagi menghasilkan produk yang tahan lasak dan tidak mudah rosak

Google ads
"
"
Back to top button