
KENAPA PENERBANGAN PERLU DIBATALKAN JIKA ADA GUNUNG BERAPI MELETUP?
Sekiranya anda berasa kecewa disebabkan ada penerbangan anda dibatalkan disebabkan oleh aktiviti gunung berapi yang aktif di laluan penerbangan, anda patut bersyukur kerana anda baru sahaja mengelakkan satu bencana yang boleh meragut nyawa anda
Asas kepada pembatalan ini adalah berdasarkan sejarah penerbangan 42 tahun yang lepas berhampiran Gunung Galunggung, Indonesia. Aktiviti gunung berapi yang meletus dan membebaskan debu yang tebal dan kering hampir sahaja menyebabkan 3 buah kapal terbang terjatuh disebabkan kegagalan enjin
Salah satunya ialah Boeing 747 milik British Airways yang terbang dari London ke Auckland dan singgah di Bombay, Kuala Lumpur, Perth dan Melbourne pada 24 Jun 1982. Kapal terbang ini tidak terbang terus di atas gunung berapi yang meletus, sebaliknya terbang sejauh 177km, satu jarak yang pada dasarnya sudah cukup selamat
Debu daripada Gunung Galunggung telah memasuki enjin pesawat, menghalang kemasukan udara pada enjin dan menyebabkan 4 enjin mengalami kegagalan secara serentak. Jurutera penerbangan dan juruterbang dengan segera mematikan enjin, menyekat bekalan bahan api, menghidupkan bahan api dan memulakan prosedur menghidupkan enjin

Tanpa tujahan dari enjin, pesawat 747 boleh terbang (atau meluncur) sejauh 15km dengan kadar kejatuhan 1000 meter altitud. Juruterbang mendapati mereka boleh terbang sejauh 169 selama 23 minit dan lapangan terbang yang paling dekat ialah di Jakarta
Kesemua 263 anak kapal dan penumpang pesawat ini adalah selamat selepas mendarat. Siasatan pihak berkuasa mendapati pesawat 747 ini telah terbang melalui kepulan debu gunung berapi Galunggung, dengan debu tadi adalah sangat kering dan gagal dikesan oleh radar cuaca pesawat
Debu tadi menyekat bekalan oksigen kepada enjin, dan menyebabkan enjin mengalami kegagalan sewaktu penerbangan. Debu ini juga menyebabkan calar yang teruk pada cermin depan juruterbang, menyukarkan pendaratan selain juruterbang terpaksa bergantung kepada peralatan Distance Measure Equipment untuk mendarat
Asap gunung berapi juga telah memasuki ruang kabin, bertukar menjadi kepulan asap tebal dengan menghasilkan bau sulfur. Pada masa yang sama topeng bantuan pernafasan juga diaktifkan bagi membekalkan oksigen kepada semua penumpang.
Nasib baik ketika pesawat turun pada ketinggian yang sesuai dan enjin telah menjadi sejuk, debu gunung berapi tadi telah menjadi keras dan akhirnya tertanggal dan menyebabkan enjin boleh dihidupkan semula dengan bantuan generator dan juga sistem bateri
Laluan berhampiran Gunung Galunggung ditutup terus selepas pesawat 747 milik Singapore Airways mengalami masalah yang sama ketika terbang berhampiran gunung tersebut. Malah rekod penerbangan juga mendapati pesawat DC-9 milik Garuda Airways juga berdepan masalah yang sama pada 5 April 1982.
Siasatan menyeluruh mendapati asap gunung berapi tersebut menyebabkan calar yang teruk pada badan pesawat dengan lumpur dan batu ditemui dalam enjin pesawat selain sirip turbin juga mengalami kerosakan