Buletin

KERAJAAN TAMATKAN PKPD DI 34 MUKIM DI SELANGOR MULAI MALAM INI

Kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 mukim di Selangor bermula tengah malam ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti pembentangan situasi semasa oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Kerajaan telah melaksanakan PKPD di 34 mukim di Selangor yang dijadualkan tamat pada hari ini, 16 Julai 2021.

“Sidang khas MKN telah meneliti pembentangan KKM mengenai situasi semasa dan bersetuju untuk tidak melanjutkan PKPD di semua mukim yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PKPD di 34 mukim di Selangor berlangsung selama dua minggu bermula 3 Julai lalu.

Ia membabitkan mukim merangkumi daerah Petaling (Petaling, Damansara, Sungai Buloh, Bukit Raja), Hulu Langat (Hulu Langat, Ampang, Cheras, Kajang, Semenyih, Beranang) dan Sepang (Dengkil, Labu, Sepang)

Turut terbabit adalah mukim di daerah Gombak (Batu, Rawang, Setapak, Hulu Kelang, Kuang), Kuala Langat (Tanjung 12 (1), Tanjung 12 (2), Teluk Panglima Garang, Morib, Bandar, Jugra, Batu).

Selain itu, mukim di daerah Klang yang terbabit ialah Kapar dan Klang serta Kuala Selangor (Ijok, Bestari Jaya, Jeram), Hulu Selangor (Serendah, Rasa, Ulu Yam, Batang Kali).

Selain Selangor, PKPD di beberapa lokaliti di Kedah, Sabah dan Pulau Pinang juga akan ditamatkan esok. Manakala satu lokaliti di Negeri Sembilan pada lusa.

“Di Kedah, PKPD yang bermula 4 Julai lalu di Kilang Jimat Jaya Sdn Bhd, Kawasan Industri Ringan Bukit Makmur dan Asrama Pekerja, Kuala Muda Kedah akan ditamatkan pada 17 Julai 2021.

“Di Sabah, PKPD di Kampung Emas, Kota Belud; Kampung Iban Kuala Nansang, Tawau dan Kampung Babagon, Penampang akan tamat pada 17 Julai 2021,” katanya.

Di Pulau Pinang membabitkan PKPD di Taman Nagasari, Mukim 6, Seberang Perai Tengah juga akan tamat esok.

“Sementara di Negeri Sembilan, PKPD di Taman Desaria, Seremban yang bermula 5 Julai lalu akan tamat pada 18 Julai 2021,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button