Artikel PilihanBuletin

KLIMS 2018: SIARAN MEDIA EDISI BAHASA MELAYU YANG MEMALUKAN

Ini mungkin sisi yang anda tidak tahu tentang praktik di sebalik tabir bahagian perhubungan awam (public relation) yang menjaga pihak media di Malaysia. Beberapa tahun kebelakangan ini, Bahasa Melayu sudah dimulakan dengan meluas dalam siaran akhbar. 

Sebenarnya, ia adalah edisi terjemahan dari versi induk yang biasanya diterbitkan dalam Bahasa Inggeris.

Ia sesuatu yang sangat positif kalau dibandingkan ketika kami (waktu itu menerbitkan majalah KERETA) membuat liputan lebih 18 tahun dahulu. Waktu itu, semuanya dalam Bahasa Inggeris.

Kesedaran terhadap Bahasa Melayu memang kami sangat hargai. Kami percaya, syarikat-syarikat kenderaan, pengeluar produk, agensi, badan PR mula menyedari kepentingan kepelbagaian bahasa untuk memudahkan pihak media bekerja lebih pantas. Apatah lagi dalam zaman penerbitan lebih menjurus kepada berita dalam talian, laman web, media sosial yang kesemuanya perlu dibuat dengan pantas.

Isunya ialah…

Siaran akhbar yang diterima pihak media pagi tadi, sewaktu majlis perasmian pembukaan KLIMS 2018.

Seperti lazimnya dalam acara berskala besar, pihak media akan diberikan dalam tiga versi, Bahasa Inggeris, Mandarin dan Melayu. Namun sebaik membaca tajuk, kami sudah merasa kepanasan di telinga.

“PAMERAN MOTOR ANTARABANGSA 2018 BUKA SEBAGAI ACARA AUTOMOTIF YANG MERIANGKAN DI MALAYSIA”

Adakah ini acara sukan kanak-kanak yang meriangkan?

Atau pesta panjat batang pinang di kampung yang meriangkan?

Atau perlumbaan basikal lajak yang riang gembira?

Apa benda ni?

Bayangkan itu baru tajuk. Ya, kalau tajuk pun dah kelakar. Apa yang anda harapkan dengan kenyataan seterusnya?

Bacalah. Ini bukan masalah tatabahasa lagi. Maksud pun tak sampai.

Gigih juga kami baca lagi walaupun dengan keadaan tertekan.

Dan bila sampai ke perenggan ini,

“basikal terbaru yang dibina khas”

Sepanjang kami kenal dengan penganjur Art Of Speed, mereka tak buat basikal. Ini adalah terjemahan terus dari Google Translate dari satu frasa ayat yang akhirnya menukar motosikal menjadi basikal.

Kami sangat pasti memang tiada basikal yang dipamerkan di petak Art Of Speed.

Dan – Kilang Rusty, ia sebenarnya nama khas garaj motosikal custom Rusty Factory. Dalam konteks ayat ini, bukan lagi tatabahasa tapi maksudnya juga sudah salah.

Itu baru sebahagian. Jika iman anda cukup kuat, anda boleh baca dalam sisipan foto di bawah. Terlalu banyak ayat yang caca merba yang teruk sangat kualiti terjemahannya.

Sebenarnya, isu menterjemah secara salah ini sudah lama berlaku. Namun, ia tidak seteruk ini. Kadangkala ia dibuat oleh syarikat kecil yang kami faham, mungkin kekurangan sumber. Lagipun kesalahannya kadangkala hanya melibatkan tatabahasa, bukannya sehingga menyimpang maksud.

Syarikat-syarikat besar pun kadangkala bukan semua siaran akhbar mereka ada dalam multi bahasa. Dalam acara-acara tertentu yang jangka sedianya lebih pendek, kebanyakannya hanya ada dalam Bahasa Inggeris. Ia kerana kekangan masa.

Tiada masalah pun bagi kami.

Akan tetapi, apabila kesalahan begini dibuat oleh organisasi yang menganjurkan pameran kenderaan bertaraf ANTARABANGSA dan  TERBESAR di Malaysia, kami rasa tidak boleh berdiam diri lagi.

Ini sampai tahap memalukan Bahasa Melayu itu sendiri.

Percayalah, tak ada gunanya sediakan siaran akhbar dalam versi Bahasa Melayu kalau kualitinya begini.

Lebih baik, kekalkan sahaja satu versi – Bahasa Inggeris.

Tak mengapa, kami pengamal media Bahasa Melayu ni semuanya faham Bahasa Inggeris, jangan bimbang.

Nah, kalau hati anda cukup kental, bacalah versi penuh.

GALERI

Google ads
Back to top button