
KOS SARA HIDUP SEMAKIN TINGGI, KOS PERMIT MOTOSIKAL DI SINGAPURA CECAH RM37K!
Reputasi Singapura sebagai salah satu bandar termahal di dunia kini menjangkau salah satu mod pengangkutan termurah iaitu motosikal.
Kos permit (COE) motosikal 10 tahun di Singapura mencecah rekod AS$9,012 (RM42,469) pada bulan ini, menurut data dari Penguasa Pengangkutan Darat, meningkat lebih 200 peratus dalam tempoh empat tahun.
Pelaksanaan permit di Singapura adalah cara untuk mengehadkan bilangan motosikal dan kereta di jalan raya. Sehingga September, Singapura mengehadkan bilangan motosikal sekitar 142,000 unit, sementara bilangan kereta dihadkan kepada kira-kira 650,000.
Dengan harga permit semasa, pemandu perlu menyediakan hampir AS$14,220 (RM66,907) untuk memiliki motosikal asas (entry level) berharga AS$3,555 (RM16,750).

Menurut Nathan Peng, pensyarah sains politik di Singapore Management University, setakat ini, untuk memperbaharui permit sedia ada, pemandu perlu membayar lebih daripada AS$7,821 (RM36,850) iaitu lebih murah berbanding permit baharu, namun itu adalah harga hampir enam kali ganda daripada harga sedekad lalu.
Paling terkesan dengan peningkatan harga permit ini pastinya mereka yang menyewa kenderaan untuk melakukan penghantaran sama ada daripada pengendali bebas atau syarikat seperti Grab.
Beberapa syarikat pajakan motosikal di Singapura sedang mempertimbangkan kenaikan kadar sewa bagi menampung kos permit. Sebuah syarikat pajakan iaitu GigaRider, berkata ia mungkin akan menaikkan sewa sebanyak 10 peratus pada suku pertama 2023 untuk pelanggan korporatnya.
Caj sewa mungkin meningkat berikutan kenaikan harga COE serta menyarankan pelanggan untuk melihat kemaskini di laman web mereka.

Singapura bukan sahaja menyasarkan motosikal, malah turut mengehadkan kereta dengan permit untuk model entry level kini berharga lebih AS$56,881 (RM268,011), hampir tiga kali ganda berbanding tahun 2018.
Dengan peningkatan tersebut, ia akan memberi jurang ketidaksamaan dalam kalangan penduduk, walaupun sukar untuk meramal kesan dengan data yang terhad. Bagi kebanyakan pekerja berpendapatan rendah, motosikal adalah salah satu cara paling efektif dari segi kos untuk memenuhi tanggungjawab kerja atau keluarga.
Pada 10 Oktober lalu, bakal Perdana Menteri, Lawrence Wong menunjukkan pasaran perumahan sebagai petanda bahawa kelas sosial semakin menunjukkan satu jurang besar, dengan lebih ramai keluarga bersama anak kecil tinggal di flat sewa.
Menurut Jabatan Perangkaan, harga untuk melakukan aktiviti rekreasi dan kebudayaan di Singapura melonjak tinggi dalam tempoh 40 tahun. Sebagai contoh, kos untuk memelihara anak anjing atau penyu peliharaan kini meningkat lebih 5.2 peratus berbanding setahun sebelumnya. Manakala perbelanjaan untuk percutian meningkat sebanyak 8.4 peratus.
Kebimbangan tentang peningkatan kos sara hidup telah mendorong pengetatan dasar monetari tahun ini, ketika negara itu berdepan dengan inflasi dalam tempoh 14 tahun. Singapura telah melancarkan pakej bantuan inflasi sebanyak AS$1.06 bilion (RM4.9 bilion) pada awal bulan ini.
Makanan ruji seperti tepung dan mi juga mencatatkan paras tertinggi sepanjang zaman. Harga ayam melonjak sebanyak 39 peratus selepas larangan eksport ayam oleh Malaysia sebelum sekatan tersebut ditarik balik pada bulan ini.
Makan di medan selera yang menyajikan makanan seperti nasi ayam kini 7.9 peratus lebih mahal, mencatatkan peningkatan terbesar dalam rekod sejak data itu diterbitkan pada 2020. – SCMP
- BACA: TIKTOKER KONGSI CARA TONTON F1 SINGAPURA TANPA PERLU BAYAR TIKET
- BACA: LANDO NORRIS KRITIK PEMANDU TEKSI DI SINGAPURA, WARGANET SINGAPURA GELI HATI
- BACA: REMAJA TOLAK TAWARAN TIGA UNIVERSITI SEBAB NAK JADI PEMANDU BAS DI SINGAPURA
- BACA: APA NASIB STESEN MINYAK DI SINGAPURA APABILA SEMUA ORANG MEMANDU EV?