Motosikal

LAKUKAN PELBAGAI KESALAHAN, 307 MAT MOTOR BERKONVOI DISAMAN

Seramai 307 penunggang motosikal disaman dalam sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer (KM) 116 Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, di Tanjung Malim, Perak semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, sekatan itu dilakukan susulan satu hantaran yang tular di Twitter berkaitan sekumpulan penunggang motosikal berkonvoi di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Tanjung Malim.

Siasatan awal mendapati kumpulan motosikal itu bergerak secara berkonvoi dari arah utara dan selatan ke salah sebuah restoran di Tanjung Malim.

“Saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, tiada cermin sisi pandang belakang, nombor pendaftaran tidak lengkap dan ‘fancy’ serta ubahsuai ekzos.

“Walaupun negara berada pada fasa peralihan endemik dan aktiviti berkumpulan dibenarkan, tetapi polis ingin mengingat dan menasihatkan orang ramai supaya tetap menjaga penjarakan fizikal dan tidak sesekali melakukan perkara yang menyalahi peraturan serta undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi bermula 9 pagi sehingga 2 petang itu membabitkan 28 pegawai dan anggota.

Mohd Hasni berkata, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan dan akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang. – Harian Metro

Google ads
Back to top button