Buletin

LAMBORGHINI SIÁN FKP 37, MODEL REPLIKA DARI 3696 KEPING LEGO

LEGO pantas buat kerja dalam menawarkan model skala kenderaan berjenama hebat. Di antara model yang ditawarkan di bawah siri LEGO® Technic™ ialah Bugatti Chiron, Chevrolet Corvette ZR1, Porsche 911 RSR dan banyak lagi.

Kini ada sebuah lagi model hebat iaitu Lamborghini Sián FKP 37 yang terdiri daripada 3,696 kepingan dengan skala 1:8. 

Lamborghini Sián adalah kereta super hibrid yang pertama kali dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Frankfurt 2019 dan dijual dalam jumlah terhad.

Seperti siri dalam LEGO Technic, Sián FKP 37 ini dihasilkan dalam bentuk teliti ala kereta sebenar seperti suspensi depan dan belakang termasuk replika enjin V12 siap dengan omboh yang boleh bergerak!

Turut boleh digerakkan ialah spoiler belakang dan stereng dengan roda dan lengkap dengan logo Automobili Lamborghini. 

Turut dilengkapi pintu ‘gunting’ (scissor) yang boleh dibuka melalui butang di belakang bumbung.

Apabila pintu dibuka akan menampakkan bahagian dalam dengan kotak gear lapan kelajuan sequential yang berfungsi sepenuhnya melalui kawalan pedal anjak. Fungsi transmisi itu termasuk gear undur.

Ada lagi keunikan LEGO Sián seperti bonet yang boleh dibuka dan ditempatkan beg bermalam Lamborghini. 

LEGO Sián ini dikenakan warna vivid lime-green dan roda berwarna emas ala kereta sebenar. 

Sebagai perspektif, ukuran LEGO Sián ialah 13 cm tinggi, 60 cm panjang dan 25 cm lebar. 

Lamborghini Sián sebenar digerakkan enjin 6.5 liter V12 berkuasa 785 PS yang digabung bersama sistem mild hibrid 48 volt.

Motor elektrik mempunyai kuasa 34 PS dan gabungan kedua-dua sistem menghasilkan output 819 PS.

Daya pecutan dari 0-100 km/j hanya memerlukan 2.8 saat manakala kelajuan maksimum dihadkan pada 350 km/j.

Hanya 63 unit Lamborghini Sián dikeluarkan pada harga USD3.6 juta dan semua sudah habis dijual.

Lamborghini Sián FKP 37 siri LEGO® Technic™ pula boleh dibeli terus dari kedai LEGO dan laman web LEGO bermula 1 Jun dan rangkaian penjual global pada 1 Ogos 2020.

BACA: LAMBORGHINI KE-SIAN. 819HP! SUPERCAR LAMBO PALING BERKUASA DALAM SEJARAH!

BACA: SUV URUS LONJAK JUALAN LAMBORGHINI, TERBAIK DALAM SEJARAH!

BACA: LAMBORGHINI HURACÁN EVO RWD – SENSASI ‘TARIK BELAKANG’

Google ads
Back to top button