Artikel Pilihan

LAMPU DAYTIME RUNNING LIGHT, NAK MELAWA ATAU NAK SELAMAT?

Satu ketika dulu, lampu nyalaan siang atau Daytime Running Light boleh dianggap sebagai simbol kemewahan dan status bagi kereta-kereta import mewah yang datang dari benua Eropah. Namun lama-kelamaan lampu DRL ini mula diadaptasi oleh pembuat kereta Asia dan juga tempatan.

Bertentangan dengan anggapan awal pengguna Malaysia, lampu DRL ini pada asalnya bukanlah dibuat untuk bergaya semata-mata tapi ia dihasilkan untuk keselamatan. Bunyi agak pelik tapi nanti kami terangkan di bawah:

1. Asal usulnya ialah pada awal 1960an, pengguna jalan raya terutama kenderaan yang dimiliki oleh syarikat-syarikat besar (fleet vehicle) akan menyalakan lampu pada siang hari sebagai simbol bahawa kenderaan syarikat mereka berada dalam keadaan baik dan sentiasa diservis. Ia mewujudkan persepsi bahawa fleet vehicle mereka adalah cukup selamat.

Volvo yang dipasang DRL

2. Namun bagi negara-negara Scandinavian yang berada dalam bulatan artik dunia seperti Finland, Norway, Iceland, dan Denmark cuaca negara ini sebenarnya gelap walaupun pada waktu siang. Jadi pada tahun 1972 Finland mewajibkan pemasangan DRL secara standard bagi semua kereta baru sebagai langkah keselamatan.

3. Ini diikuti oleh negara Sweeden (1977), Norway (1986), Iceland (1988) dan Denmark (1990) serta akhir sekali UK pada 2011. Disebabkan masalah cuaca, sering diliputi salji hampir sepanjang tahun dan gelap pada waktu siangmenjadikan DRL amat penting bagi negara Scandinavian. Ini semua salah Elsa!

4. Tujuan pemasangan DRL bukanlah untuk menyuluh atau menerangi jalan, sebaliknya ia dipasang agar kenderaan mudah dilihat dan dikenalpasti oleh pengguna jalanraya yang lain dan pejalan kaki yang berisiko tinggi. Ia tidak perlu dihidupkan tapi ia akan menyala secara automatik bila brek tangan dilepaskan dan gear dimasukkan oleh pemandu.

5. Di negara Scandinavian, beberapa kajian menyeluruh mendapati penggunaan DRL sememangnya mengurangkan kebarangkalian untuk berlakunya kemalangan. Pengguna jalanraya akan lebih berwaspada dan kereta yang memasang DRL akan mudah dilihat.

6. Sistem DRL awal menggunakan lampu dengan mentol 5watt atau bagi menjimatkan kos pengeluaran dan juga lampu utama 55/60watt akan dipasang sebagai DRL. Namun sistem ini menyebabkan penggunaan bahan api meningkat kerana sistem ini menarik kuasa elektrik yang banyak dari bateri dan perlu dicaj oleh alternator yang dipacu oleh enjin. Keadaan ini bertentangan dengan Kyoto Protocol.

7. Jadi sistem DRL tidak dibenarkan menggunakan lampu besar tapi mesti menggunakan mentol yang cekap tenaga dan pilihan yang terbaik ialah LED. Ia menggunakan tenaga yang rendah, cukup terang dan kecil bagi memudahkan ia digayakan mengikut jenama kereta.

8. DRL yang mematuhi peraturan PBB ialah dengan mengikut peraturan R87 mesti menghasilkan cahaya putih dengan kekuatan cahaya antara 400 candela dan tidak melebihi 1200 candela serta dipasang pada luas permukaan antara 25cm persegi dan tidak melebihi 200 cm persegi. Ia mesti dipasang di depan kenderaan, bukan sisi mahupun di atas.

9. Disebabkan LED lebih kecil, mudah digayakan dan senang untuk dihasilkan kebanyakan pengeluar mengambil inisiatif menghasilkan DRL yang lebih menarik bukan sekadar alat keselamatan sahaja. Sebagai contoh, Audi boleh dikatakan peneraju utama dalam teknologi pencahayaan automotif dengan rekaan DRL yang sangat menarik

10. Bagi keadaan cuaca di Malaysia, walaupun kita ada cahaya matahari yang cukup tapi memandu di awal pagi untuk ke tempat kerja dan juga pada waktu senja mulai jam 6 petang dengan keadaan gelap, penggunaan DRL ini sedikit sebanyak memberikan ‘presence‘ yang akan membuatkan pengguna jalanraya lain lebih berwaspada.

Disebabkan memandu kereta tanpa DRL, penulis sendiri menyalakan lampu kecil ketika memandu pada awal pagi bagi memudahkan pengguna jalanraya lain melihat kehadiran penulis atas jalan raya.

Jika dahulu hanya model kenderaan segmen mewah dan D sahaja diberikan ciri DRL, hari ini kita menyaksikan model segmen B turut diberikan DRL seperti Honda City, Proton Persona, Toyota Vios dan juga yang paling baru ialah Perodua Myvi 2022.

Google ads
Back to top button