Pandu Uji

MAZDA 2 HATCHBACK: PEMBUNUH BERSIRI MYVI

Setiap kali kami sebagai peminat setia jenama Mazda memuatkan artikel berkenaan Mazda, komen pertama yang kami terima ialah Mazda ini mahal. Ada beberapa sebab munasabah yang menjadikan Mazda ini mahal seperti yang diterangkan dalam artikel INI. Minggu lepas penulis berpeluang untuk menguji Mazda 2 Hatchback selama 4 hari.

Pada mulanya penulis menjangkakan akan mendapat Mazda CX-8 ataupun Mazda 2 Sedan memandangkan penulis merancang untuk ke Melaka. Persoalan pertama dalam kepala ialah, muat ke nak bawa satu keluarga 4 orang untuk perjalanan jauh. Selesa ke tidak?

Setelah memandu uji selama 4 hari dan anggaran pemanduan sejauh 1600km, inilah pandangan penulis berkenaan Mazda 2 Hatchback

1. Rekaan Luar – secara jujur penulis lebih gemarkan rekaan Mazda 2 Sedan berbanding dengan Hatchback. Rekaan 3 kotak nampak lebih seimbang antara depan dan belakang berbanding rekaan 2 kotak versi hatchback. Dari jauh bahagian depan nampak leboh garang dengan meniru rekaan Mazda 3, namun dari belakang Mazda 2 Hatchback ini nampak comel.

Jadi jari jauh pemandu lain akan menyangkakan ini sebuah kereta yang lembik dan senang untuk dibuli. Tambahan pula spoiler pada bahagian atas pun direka dengan pendek saja. Jadi kereta ini nampak segak jika dilihat dari sudut depan. Versi facelift ini menggunakan rekaan bampar baru kemasan krom di depan dan belakang tanpa lampu kabus di depan

Rim 16 inci di bahagian sisi menyerlahkan sedikit sifat jantan yang ada pada Mazda 2

2. Rekaan dalaman – masih tipikal sebuah Mazda dengan kemasan plastik hitam diserikan dengan kemasan krom dan juga plastik berkilat menghasilkan suasana premium. Kusyen pula dibalut dengan kulit berwarna kelabu biru gabungan suede dengan rekaan ala bucket.

3. Ergonomiks – kusyen Mazda 2 sedikit keras dan memerlukan masa beberapa hari untuk berasa selesa. Ia akan memaksa anda duduk tegak dengan kaki kanan direhatkan atas organ type pedal. Tapi yang bestnya kedudukan ini selesa dan penulis boleh memandu 3 jam tanpa henti pada kelajuan 130km/j. Cuma rasa kurang selesa apabila tiada perehat tangan.

4. Ruang Belakang – Walaupun nampak kecil, sebenarnya ruang belakang masih boleh diduduki dengan selesa bagi pemanduan jarak jauh dengan syarat hanya 2 penumpang sahaja bagi memberikan keselesaan. Ruang kaki diletak di bawah kusyen depan, lutut dan kepala masih lagi selesa bagi penulis dengan ketinggian 165cm

5. Ruang Kargo – hanya sebesar 220 liter, lebih kecil dari ruang bonet Myvi pada 277 liter. Jadi penulis perlu menyusun semua beg bagi 4 penumpang yang ada dengan bijak. Hanya pintu depan datang dengan poket meletak minuman selaian dari poket di konsol tengah. Ketika inilah baru penulis tercari cari tempat untuk meletakkan telefon, cermin mata dan semua makanan ringan yang dibeli.

6. Enjin – Mazda 2 dibekalkan dengan enjin 1500cc DOHC, 16 injap dengan teknologi pemasaan yang mampu menukar kitaran enjin dari Otto ke Atkinson bergantung pada cara pemanduan. Ia menghasilkan 114 kuasa kuda dan 149Nm sudah cukup untuk membawa Mazda 2 pada kelajuan 2 kali ganda halaju kebangsaan.

7. Penggunaan Petrol – Dengan teknologi suntikan bahan api terus serta nisbah mampatan setimggi 14:1 ia memberikan penggunaan petrol pada 17.7km per liter walaupun penulis memandu pada halaju 130km/j. Sekiranya anda memandu pada halaju 110km/j, mungkin anda boleh dapat 19km per liter petrol

8. Transmisi- Mazda 2 dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan automatik dengan pilihan menukar gear menggunakan paddle shift ataupun tpmbol gear. Gear ini sangat lancar namun penulis rasa Mazda telah menala gear ini menjadi agresif pada halaju rendah tapi sebaik sahaja ia mengesan tiada lagi input pedal minyak, ia akan memilih gear 6 secepat mungkin.

Tujuan utamanya ialah untuk penjimatan petrol. Namun kalau anda memerlukan penukaran gear pantas, tekan saja pedal minyak atau tukar saja gear pada stering dan ia akan menukar pada gear rendah serta merta. Mazda 2 mampu memecut pada gear 4 tanpa sentapan keras, memecut dari 130-170 dengan pantas meninggalkan 4 buah Myvi yang cuba mencucuk.

Seronok tengok dalam cermin Myvi tersebut menjadi kecil dalam cermin pandang belakang. Mungkin dia menyesal sebab silap cucuk kereta.

8. Sport Mode – kalau tak cukup lagi, aktifkan saja butang Sport Mode yang dipasang dekat tombol gear dan enjin yang manja tadi akan menjadi garang dengan penukaran gear dibuat pada 6000 RPM. Sekiranya anda terus menekan pedal minyak, ia akan memilih untuk menggunakan gear ke 4 atau 5 berbanding dengan gear 6

9. Pengendalian- walaupun hanya menggunakan topang McPherson pada roda depan dan torsion beam tapi sistem cesi Mazda 2 wajib dipuji. Ia menawarkan dinamik pengendalian terbaik dalam kelas B dari segi tindakbalas stering, kestabilan dan juga kawalan cesi ketika memandu laju di selekoh. Mungkin hanya Volkswagen yang mampu menawarkan kualiti yang sama

Cesinya terasa tegap dan memberi keyakinan untuk terus memecut di selekoh ataupun di laluan lurus. Cuma jika terlalu laju, body pitch akan mula terasa disebabkan jarak antara roda yang pendek. Talaan cesi dan suspensi boleh dikatakan agak keras dan sporti walaupun penulis sudah mengurangkan tekanan tayar

1 perkara yang perlu diperbaiki ialah aspek pemilihan tayar. Dunlop Enasave EC300 bagaikan membataskan kemampuan sebenar cesi Mazda 2 yang lincah dengan cengkaman yang kurang meyakinkan. Rasanya kalau guna tayar yang lebih mahal, pasti tayar tidak berkokok di Exit Ayer Keroh pada halaju 90km/j

10. Keselesaan – sudut penyandar kusyen belakang memadai untuk perjalanan jarak jauh. Cuma disebabkan penulis perlu memasang kerusi keselamatan bayi dan kanak-kanak di barisan belakang, ruang menjadi sangat terhad. Penulis perlu menarik kerusi pemandu ke depan bagi memboleh anak masuk dan duduk di kerusi keselamatan.

11. G Vectoring Control Plus -Sistem kawalan cesi Mazda 2 pula dibekalkan dengan unit GVC Plus. Sistem GVC yang asal akan mengawal output tork enjin berdasarkan input pada steering untuk mengawal longitudinal force dan lateral force pada tayar. Kesannya ialah ia membuatkan penumpang berasa lebih stabil bila kereta dipandu keluar dari selekoh dengan laju.

GVC Plus pula akan mengawal brek pada satu tayar depan bagi memberikan efek yaw moment. Keadaan ini membolehkan GVC mengawal gerakan yaw, pitch dan body roll pada kereta setiap masa. Walaupun hanya menggunakan suspensi torsion beam, anda tidak akan merasa sebarang perbezaan dari segi kualiti pemanduan

12. Ciri Menarik yang lain – bagi memberikan fokus pemanduan, Head Up Display akan diaktifkan sebaik sahaja enjin hodup memberikan maklumat halaju semasa terus pada cermin. Sistem Mazda i-Connect juga sangat senang digunakan bagi mengakses pelbagai fungsi cesi, sistem audio dan menyokong Apple Car Play atau Android Auto

Lampu depan datang dengan teknologi LED projektor serta lampu DRL terbina dalam. Disebabkan lampu ini terang maka ia tidak lagi memerlukan sokongan lampu kabus bagi memberikan bantuan cahaya.

13. Kelemahan – dengan harga RM 103, 670 ia menjadi cabaran besar untuk meyakinkan pengguna untuk memilih Mazda 2 sedangkan harganya tidak jauh berbeza dengan Honda Civic 1.8. Aspek kedua ialah ruang yang terhad pada Mazda 2 menyebabkan bakal pembeli berfikir beberapa kali.

Sekiranya anda pernah memandu Honda CRZ, anda akan rasa Mazda 2 menawarkan ruang yang lebih baik, mampu memuatkan 4 penumpang lengkap dengan kaki, pemanduan sporti dan penggunaan petrol yang tidak jauh berbeza dengan CRZ. Ia lebih sesuai untuk dijadikan kereta kedua atau menggantikan CRZ anda, dengan kualiti pemanduan yang lebih sedap.

Mungkin anda tidak mampu membeli MX-5 2000cc dengan pacuan belakang pada harga RM 268,000 tapi apa salahnya memiliki Mazda 2 dulu sebagai permulaan. Di tangan pemandu berpengalaman, cesi Mazda 2 yang mantap ini sesuai sangat untuk meratah jalan berselekoh

Google ads
"
"
Back to top button