Pandu Uji

MAZDA CX-8, PENGGANTI ALPHARD/VELLFIRE?

Tiada masalah jika anda memilih dan membeli Vellfire ataupun Alphard, negara ini bukan mengamalkan komunis dengan memaksa anda membeli satu jenis kereta sahaja. Tapi di mata penulis, Vellfire dan Alphard sudah menjadi terlalu biasa. Rekaan 2 kotak bagaikan peti ais disambung dengan mesin basuh dengan sambungan kimpalan bukanlah citarasa penulis.

Namun pada masa yang sama, tak banyak kenderaan lain yang cukup bergaya yang mampu menawarkan ruang yang luas untuk 7 atau 6 penumpang. Sehinggalah Mazda melancarkan model terbaru crossover mereka iaitu CX-8 pada 2017 di Jepun. Di Jepun model ini diangkat sebagai model flagship disebabkan CX-9 tidak dijual di sana kerana dimensi dan saiz enjin yang besar akan menyebabkan cukai yang tinggi

Penulis berkesempatan untuk menguji Mazda CX-8 Mid Plus selama 4 hari dan ia sememangnya menawarkan pengalaman pemanduan berbeza, ia SUV cukup lapang untuk 6 penumpang. Mazda CX-8 datang dengan 4 varian yang sangat berbeza. 3 varian datang dengan enjin 2500cc SkyActiv G petrol (7 dan 6 tempat duduk) dan 1 varian paling tinggi datang dengan enjin 2200cc SkyActiv-D Turbo.

Kalau anda pening, mari kita ringkaskan. Varian terendah 2.5 Mid datang dengan 7 tempat duduk, varian 2.5 Mid Plus menawarkan 6 tempat duduk dengan laluan di tengah barisan kedua, 2.5 High menawarkan 6 tempat duduk dengan perehat tangan di barisan kedua dan varian tertinggi 2.2 High datang dengan enjin disel.

1. Rekaan Luar- dari depan CX-8 ada persamaan dengan rekaan CX-5 tapi dari belakang ia memberi bayangan dari rekaan CX-9. Panjang CX-8 ialah 4900mm, lebar 1840mm, dan tinggi 1730mm. Ia 17 cm lebih pendek dan 13 cm lebih kurus berbanding CX-9, supaya lulus undang-undang cukai Jepun. Tapi menariknya ia berkongsi jarak antara roda yang sama dengan CX-9 iaitu 2930mm.

Rekaan jeriji depan melintang, rim bersaiz 19 inci, krom melintang pada bahagian belakang disulami lampu LED depan yang garang serta lampu LED belakang yang sporti memberikan imej yang seimbang dari segi panjang dan lebar. Krom pada bahagian sisi serta rekaan D pillar menyembunyikan bentuknya yang besar

2. Platform – walaupun lebih panjang, namun CX-8 sebenarnya dibangunkan atas platform CX-5 yang dipanjangkan sebanyak 350mm. Jurutera Mazda berusaha menjadikan CX-8 sangat luas dan sebaik sahaja anda masuk dalam CX-8, mungkin anda terkejut dengan ruang barisan ke 3 yang ditawarkan.

Roda depan datang dengan suspensi Topang McPherson, Multi Link untuk roda belakang, 4 brek cakera, sistem pacuan roda depan, dan varian turbo datang dengan fungsi AWD (pacuan semua roda).

3. Enjin – 3 varian diberikan enjin SkyActiv-G 2500cc yang menawarkan 192 kuasa kuda dan 258 Nm tork, lebih dari cukup untuk membawa CX-8 seberat 1781kg ini dengan tenang. Sedar-sedar saja halaju CX-8 sudah mencecah 120km/j. Selain menggunakan nisbah mampatan yang tinggi, ia juga berupaya untuk beroperasi dalam kitaran Atkinson jika dipandu secara santai

4. Transmisi – Enjin ini dipadankan dengan transmisi 6 kelajuan automatik SkyActiv Drive yang memacu tayar depan. Pemandu boleh memilih untuk mengoperasikan gear secara manual dengan menggunakan tombol gear pada ruangan (+/-)

5. Ruangan Dalaman – siapa sangka Mazda yang terkenal dengan Kodo Design yang agak sempit pada bahagian kabin menawarkan ruang dalaman yang besar. Ruang bahu, kaki dan kepala sangat cemerlang disebabkan kerusi disusun dalam susunan 2 + 2 +2. Ruang kargo sebesar 209 liter disediakan pada bahagian belakang cukup untuk 4 beg kecil. Tapi jika anda perlukan lebih ruang, buka saja pelapik ruang kargo atau rebahkan kerusi barisan ke 3.

6. Ergonomik – bagi varian Mid Plus, ia datang dengan kusyen balutan fabrik namun pada hemat penulis ia sudah cukup selesa. Kusyen pemandu hadir dengan bantuan kuasa elektrik serta 2 tetapan memori. Roda stering dibalut dengan kulit serta boleh dilaraskan ketinggian serta secara telekopik.

Kusyen barisan pertama dan kedua memang sangat selesa dengan sokongan belakang yang amat santai. Hanya barisan belakang sekali tidak boleh dilaras sudut penyandar. Namun ia tetap memiliki ruang kaki yang cukup dan disebabkan tiada kerusi atau perehat tangan pada ruang tengah barisan kedua, penyaman udara dari barisan depan dan barisan kedua sampai ke barisan ke 3 dengan cepat

7. Pengalaman Pemanduan – sebaik sahaja duduk di kerusi pemandu, anda akan dapat membiasakan diri dengan semua butang kawalan, pedal minyak dan stering dengan pantas. Kedudukan kusyen yang selesa dapat dicapai dengan mudah. Cuma perlu membiasakan diri dengan keadaan fizikal CX-8 yang lebih tinggi, lebar dan besar berbanding sedan penulis

Jika diteliti dengan cermat, penulis merasakan kualiti kedap bunyi CX-8 adalah jauh lebih baik berbanding dengan CX-5, Mazda 3 atau Mazda 2 yang pernah dipandu uji oleh penulis. Amat susah untuk mendengar bunyi enjin jika dipandu secara berhemah. Sedar-sedar saja anda sudah mencecah pada kelajuan 140km/j. Jika RPM mencecah 5000 RPM barulah terdengar sedikit bunyi enjin menderam.

Pedal brek dan kuasa membrek adalah lebih baik berbanding CX-5 yang terasa sedikit lembut. Mazda menala brek agar kuasa brek dihantar dengan sekata bukan secara mengejut melainkan anda menekan pedal brek dengan keras. Secara asasnya suspensi CX-8 direka untuk keselesaan pemanduan dan sedikit lembut. Ia mampu menyerap segala lubang pada permukaan jalan dengan baik

Malah apabila digandingkan dengan penyerap bunyi yang lebih bagus serta penyerap hentakan yang baik, CX-8 memang terasa senyap. Pada halaju 110km/j, bacaan bunyi bising adalah sekitar 59 dB sahaja. Tapi disebabkan penyerap hentak direka lembut, ia akan sedikit membuai ketika melalui selekoh dengan jalan tidak rata. OK la, ini bukan SUV sport, tapi SUV keluarga

Penumpang di bahagian belakang boleh melaraskan suhu penyaman udara serta kelajuan angin melalui panel di bahagian tengah barisan kedua. Tiada isu berkenaan dengan penyaman udara tidak cukup kuat. Disebabkan barisan kedua tiada perehat tangan, penumpang barisan kedua dan ketiga boleh bergerak dengan mudah di dalam CX-8. Ruang ini juga boleh digunakan untuk meletakkan barangan atau beg di sini.

Ruang menyimpan botol di bahagian pintu di barisan depan berupaya memuatkan botol sebesar 1.5 liter. Tempat meletakkan botol minuman kecil turut disediakan di barisan pertama, kedua dan ke tiga. Perehat tangan boleh dibuka secara sebelah menyebelah turut menyediakan ruang simpanan besar selain 2 sambungan USB.

Meter analog dan digital amat senang dibaca walaupun pada waktu siang ataupun malam. Unit digital boleh memaparkan pelbagai maklumat yang boleh diakses dengan butang pada stering. Semuanya straight forward. Unit Mazda i-Connect pula lengkap dengan Android Auto dan Apple Carplay. Fungsi navigasi, muzik dan sambungan dengan telefon pintar dibuat dengan pantas.

Akses ke barisan ke 3 juga boleh dilakukan dengan mudah. Hanya angkat tombol pada kerusi kedua, tolak ke depan dan kusyen barisan kedua meluncur ke depan. Cuma jika kaki anda tak cukup panjang, barulah terasa susah untuk memanjat masuk ke barisan ke 3.

7. Penggunaan Petrol – memandu pada halaju 110-120km/j amat mencabar jiwa sebenarnya dengan CX-8. Cara ayunan cesi yang lembut, enjin yang senyap serta bunyi tayar yang minima boleh membuatkan anda mengantuk. Pandu uji dari Glenmarie ke Ayer Hitam, Johor pada halaju tersebut menggunakan sekitar suku tangki sahaja petrol.

Secara anggaran, satu liter petrol membolehkan CX-8 dipandu sejauh 11km. Jika dibandingkan dengan unit 2500cc turbo, enjin yang ada dalam CX-9 ini lebih menjimatkan petrol dan lebih berkuasa. Operasi sistem i-Stop juga berjalan lancar, tanpa sebarang gegaran pada kusyen pemandu

8. Aspek Keselamatan – CX-8 Mid Plus datang dengan 6 beg udara, G-Vectoring Control, Dynamic Stability Control, 2 cagak ISOFIX, Adaptive Front Lighting System dimana arah lampu bergerak selari dengan stering, sistem Amaran Titik Buta, Sistem Amaran Lintasan belakang dan Smart City Brake pada arah depan. Sistem autocruise pasif turut disediakan.

Jadi berbalik semula pada soalan penulis di atas, bolehkah Mazda CX-8 menggantikan Vellfire/Alphard? Jika anda mencari sebuah crossover yang besar yang mampu memuatkan 6 orang penumpang dewasa, penulis mencadangkan agar anda terus mencuba Mazda CX-8 Mid Plus dengan 6 tempat duduk. Ia ada lebih ruang berbanding dengan varian yang lain.

Ketiadaan kusyen ke 7 pada barisan kedua menjadikan bahagian belakang sekali terasa lapang dan kaki anda boleh melunjur ke depan dengan mudah. Angin sejuk dari penyaman udara mudah sampai ke bahagian belakang dan anda boleh meletakkan barang di sini jika perlu. Kelebihan Alphard/Vellfire pula ialah ia menawarkan ruang kargo yang lebih besar.

Kalau anda perlukan sebuah crossover yang luas untuk 6 orang, selesa macam Camry, lebih besar dan senyap dari CX-5 maka cuba pandu uji CX-8 Mid Plus pada harga RM 186,000 ini dan kemungkinan anda bersetuju dengan penulis. Kalau tak masakan ramai otai-otai automtif membeli Mazda CX-8 ini sebagai kenderaan keluarga.

Ruang kabin depan
Ruang kargo belakang
Perhatikan ruang tengah barisan kedua yang kosong
Google ads
Back to top button