Buletin

MERCEDES-AMG GLB 35 4MATIC. 306HP, BERMULA RM392K

Pada majlis pelancaran pusat 3S terbaharu Hap Seng Star Setia Alam dan GLC 300 e 4MATIC Coupé baru-baru ini, Mercedes-Benz Malaysia juga memperkenalkan varian baharu Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC. 

Secara asasnya, Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC merupakan varian paling berkuasa untuk keluarga GLB yang sebelum ini ditawarkan menerusi GLB 200 dan GLB 250. 

Mercedes-AMG GLB 35 4MATIC dikuasakan oleh enjin turbo 2.0 liter yang mampu menjana 306hp pada 5,800rpm dan tork 400Nm pada 3,000 hingga 4,000rpm. Kuasa itu membolehkannya memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa cuma 5.2 saat. Penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7.5 liter bagi setiap 100km. 

SUV kompak tujuh tempat duduk itu kini dilengkapi dengan beberapa ciri baharu seperti kamera 360 darjah, paparan head-up, stereng AMG Performance dibalut kulit Nappa, butang AMG serta MBUX Interior Assistant untuk meningkatkan lagi pengalaman memandu. 

Bukan itu sahaja, ia turut dipasang dengan lampu ambian bersama pancaran logo Mercedes-Benz agar tampil lebih menarik. 

GLB 35 4MATIC ditawarkan pada harga RM392,582 yang sah sehingga 30 Jun 2022 sahaja. Selepas tarikh itu, harganya akan meningkat menjadi RM405,888 seunit. 

GALERI

Google ads
Back to top button