Buletin

MERCEDES-AMG GT TIBA DI MALAYSIA. 13 UNIT SAHAJA SELURUH DUNIA, V8 BITURBO, 730HP, BERMULA RM3 JUTA

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) baru-baru ini mempamerkan Mercedes-AMG GT Black Series pada acara pelancaran dua model Mercedes-AMG di Litar Antarabangsa Sepang.

Jentera berkuasa tinggi hanya dihasilkan sebanyak 13 unit di seluruh dunia dan ini adalah model pertama seumpamanya di Malaysia.

Bagi Mercedes-AMG, Black Series cukup sinonim dengan kenderaan yang istimewa dari segi reka bentuk dan peralihan teknologi daripada sukan bermotor sejak tahun 2006.

Menjadi model Mercedes-AMG paling berkuasa, ia dijana oleh enjin V8 biturbo bersesaran 4.0 liter yang mampu menghasilkan 730hp dan tork 800Nm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear DCT tujuh kelajuan automatik.

Rangkaian kuasa itu membolehkannya mencatat kelajuan tertinggi 325km/j. Pecutan 0-200km/j boleh dicapai dalam masa kurang sembilan saat. Penggunaan bahan api pula adalah sekitar 12.8 liter bagi setiap 100km.

Seperti boleh dilihat, jentera itu menawarkan aspek aerodinamik dan kestabilan terbaik ketika dipandu laju. Sama seperti model AMG GT R and AMG GT R PRO, pasukan pakar aerodinamik memastikan aliran udara dapat dicapai sebaiknya.

Aspek penyejukan enjin dibantu oleh gril dengan corong pengambilan udara lebih besar yang diambil daripada jentera lumba AMG GT3.

Sistem suspensi AMG GT Black Series menggunakan tetapan sama seperti AMG GT R. Ia terdiri daripada suspensi coil-over AMG dengan spring boleh laras yang mampu merendahkan lagi titik graviti sebanyak 10 mm, dibantu dengan ciri AMG Ride Control dan pemilihan mod pemanduan AMG Dynamic Select.

Sistem AMG Traction Control pula menawarkan sehingga sembilan tahap kawalan gelinciran tayar terutama ketika sedang menggunakan mod ESP OFF. Sistem itu boleh ditetapkan sendiri oleh pemandu bergantung kepada kesesuaian dan keadaan litar.

Tugas pemberhentian pula diserahkan kepada sistem brek jenis seramik dengan angkup brek berwarna hitam dan pad brek khas.

Ruang kabin tampil ringkas dengan kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin multimedia 10.25 inci dengan tiga paparan pilihan spesifik AMG iaitu Classic, Sporty atau Supersport. Tidak ketinggalan, roda stereng AMG Performance balutan gentian mikro DINAMICA, upholsteri kulit Nappa dan gentian mikro, jahitan benang berwarna orang dan kemasan gentian karbon.

Mercedes-AMG GT Black Series ditawarkan pada harga bermula RM3 juta sahaja.

GALERI

Google ads
Back to top button