Buletin

MITSUBISHI ASX 2023. KEMBAR JUKE/CAPTUR, PILIHAN ENJIN TURBO, NA, HIBRID DAN PLUG-IN HYBRID

Awal tahun ini, Mitsubishi ada mengumumkan mengenai kehadiran model SUV kompak ASX serba baharu yang juga merupakan kembar kepada Renault Captur dan Nissan Juke.

Baru-baru ini, Mitsubishi Jerman mendedahkan lima pilihan enjin untuk X yang dijangka diperkenalkan pada September depan. Jentera itu bakal menggunakan platform yang sama dengan Captur, jadi rangkaian kuasa pun pastinya tidak jauh berbeza.  

Antara pilihan enjin itu ialah 1.0 liter turbo petrol berkuasa 90hp yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan manual.

Mereka yang inginkan lebih kuasa boleh memilih enjin 1.3 turbo DI-T empat silinder dengan dua output kuasa iaitu 138hp (transmisi manual enam kelajuan) atau 15hp yang dipadankan bersama transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.  

ASX 2022 turut hadir dengan rangkaian kuasa hibrid dan plug-In hybrid yang diambil daripada Renault Captur E-Tech. Kedua-dua varian itu dipasang dengan enjin aspirasi biasa 1.6 liter bersama dua motor elektrik dan kotak gear multi-mod yang sofistikated.  

Perbezaan di antara kedua-duanya ialah saiz bateri dan output kuasa. Model hibrid menawarkan kuasa mencecah 143hp dengan bateri berkapasiti 1.2kWh. Varian plug-in hybrid pula mampu menjana kuasa sehingga 158hp dan dilengkapi bateri lebih besar iaitu 10.5kWh. Boleh dicaj menggunakan kabel, ia boleh bergerak sejauh 50km dengan kuasa elektrik sepenuhnya.  

Dari segi gayaan luaran, ASX bakal tampil dengan reka bentuk serba baharu dan sporty. Seperti yang pernah didedahkan menerusi foto teaser rasmi sebelum ini, SUV berkenaan menggunakan gril baharu bersama lampu utama LED, garis pada bonet dan arca roda.

Lebih banyak perincian mengenai ASX akan didedahkan selepas ini. Jualannya dijangka bermula pertengahan tahun depan di Eropah, sekali gus membuatkan Mitsubishi kembali kompetitif di sana. Selain ASX, Mitsubishi juga akan memperkenalkan semula model supermini Colt dalam bentuk rebadge Renault Clio.

Google ads
Back to top button