
MIVEC – TEKNOLOGI PEMASAAN INJAP “UNDERDOG” DARI MITSUBISHI
MIVEC merupakan nama yang diberikan kepada teknologi enjin variable valve timing (VVT) yang dibangunkan oleh Mitsubishi Motor (jadi tak payahlah nak tampal stiker MIVEC pada Nissan Navara ataupun Perodua Kenari).
Teknologi enjin MIVEC merupakan satu rekaan unik Mitsubishi yang dibangunkan khusus untuk meningkatkan kuasa pada enjin tetapi pada masa yang sama menjimatkan dan mesra alam sekitar.
Teknologi MIVEC diperkenalkan buat kali pertama pada tahun 1992 untuk enjin 4G92. Ia merupakan enjin dengan kapasiti 1597 cc DOHC 16-injap yang dilengkapkan pada Mitsubishi Mirage hatchback dan Lancer sedan. Menyusul kemudian ialah enjin MIVEC yang terus dipertingkatkan untuk keluaran kuasa maksima tetapi masih dengan impak paling kecil kepada alam sekitar.
Selain meningkatkan kuasa dan tork, secara tidak langsung juga ia mambantu memutarkan pengecas turbo dengan lebih laju untuk menjana kuasa yang lebih tinggi. Untuk perbandingan, enjin 4G92 konvensional cuma mampu menghasilkan 143 bhp pada 7000 rpm tetapi enjin dengan teknologi MIVEC berkapasiti sama mampu menghasilkan 175 bhp pada 7500 rpm.
APAKAH MAKSUD MIVEC ?
MIVEC bermaksud Mitsubishi Innovative Valve timing Electronic Control System. Sesuai dengan namanya, enjin ini akan mengawal timing ataupun pemasa injap untuk mencapai prestasi optima. Apa yang membezakan enjin MIVEC terbaru dengan enjin MIVEC asal ialah ia mengawal kedua-dua injap kemasukan dan injap ekzos berbanding MIVEC asal yang cuma mengawal sisteminjap kemasukan sahaja.
Sistem kawalan injap pelbagai (VVT) mengoptimakan kuasa dan tork dengan mempelbagaikan masa dan tempoh bukaan injap. Setengah sistem ini mengoptimakan prestasi pada kelajuan enjin rendah dan sederhana, manakala setengah yang lain pula mempertingkatkan kuasa pada putaran enjin yang tinggi. Secara asasnya, ia mengawal profil aci sesondol berdasarkan input daripada pemandu.
MIVEC berfungsi sama seperti penukaran aci sesondol (cam-switching) yang dilakukan oleh para pelumba suatu ketika dahulu sewaktu modifikasi enjin untuk perlumbaan. Tetapi biasanya mereka terpaksa memilih antara low-end tork ataupun high-end power (dalam bahasa mudah, nak pick-up atau nak lebih laju?).
MIVEC menyelesaikan masalah ini dengan memberikan kedua-duanya dalam satu unit. Dua profil aci sesondol diberikan, satu untuk mod kelajuan rendah dan satu lagi untuk mod kelajuan tinggi. Pada kelajuan tinggi MIVEC akan bertukar ke aci sesondol profil tinggi dan kembali ke aci sesondol yang satu lagi bila kelajuan menurun. Hasilnya ialah aliran kuasa yang lancar tanpa sebarang rintangan.
PERBEZAAN SAIZ ENJIN MIVEC
Mitsubishi mempunyai tiga varian enjin MIVEC yang digunakan oleh kenderaan keluaran mereka yang berbeza-beza. Mereka telah membangunkan MIVEC DOHC 12-injap, MIVEC DOHC 16-injap dan terbaru MIVEC SOHC 16-injap. Ketiga-tiganya adalah enjin berprestasi tinggi dengan penjimatan bahan api yang terbaik untuk memberikan pelanggan mereka kepuasan yang maksima.
MIVEC DOHC 12-Injap
Ini adalah enjin yang digunakan pada Mitsubishi Mirage dan beberapa lagi model untuk pasaran Jepun. Enjin ini cuma mengawal pemasa injap kemasukan selain mengawal aktuator hidraulik untuk melaraskan aci-sesondol camshaft pada sudut yang terbaik. Ini dilakukan dengan membuka dan menutup injap pada masa yang paling sesuai.
MIVEC DOHC 16-INJAP
Ia dilabelkan dengan nama 4B1 MIVEC merupakan enjin yang digunakan pada Mitsubishi Outlander dan model pasaran Jepun seperti Delica D:5 dan Gakant Fortis. Ia mengawal kedua-dua injap kemasukan dan injap ekzos menjadikan enjin 4B1 ini lebih efisyen dan lebih berkuasa berbanding varian DOHC 12-Injap.
MIVEC SOHC 16-INJAP BARU
Pembaharuan yang diperkenalkan pada enjin ini ialah kemampuannya mengawal bukan injap kemasukan tetapi juga injap pada pendikit. Ia memaksimakan penggunaan bahan api dengan mengawal aliran udara masuk menerusi injap yang terbuka dan tertutup berdasarkan keperluan. Hasilnya ialah teknologi baharu yang menjadikan enjin lebih ringan dan kompak. Ia pertama kalinya digunakan pada kenderaan untuk pasaran Jepun seperti Galant Fortis, Galant Fortis Sportback dan Outlander.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1992, enjin MIVEC telah dilengkapkan pada hampir semua kenderaan Mitsubishi Motors, baik pada model Kei sehinggalah ke model berprestasi tinggi Lancer Evolution.
Malah untuk meningkatkan lagi tahap ekonomi, ia telah digabungkan dengan sistem AS&G (Automatic Stop and Go) untuk penjimatan bahan api yang optima. Ia akan mematikan enjin jika ia berada dalam keadaan melahu (Idling) dalam jangka masa tertentu dan menghidupkan kembali enjin bila diperlukan.
Dengan kata lain, MIVEC merupakan penyelesaian kepada masalah penggunaan bahan api dan keluaran bahan bakar. Pada masa yang sama ia juga memberikan peningkatan prestasi yang jauh melangkaui keupayaan enjin konvensional biasa.
Namun yang demikian, MIVEC kurang dikenali kerana Mitsubishi jarang sekali menghidangkannya sebagai USP (Unique Selling Point). Bandingkan dengan Honda dengan VTEC dan Toyota dengan VVT-i, MIVEC kadangkala tak disebut pun sewaktu pelancaran kereta mereka.
BACA: PROTON SATRIA DENGAN ENJIN MIVEC
BACA: LIHAT BERSIHNYA ENJIN MIVEC SATRIA NI!