
MODENAS LANCAR NINJA 250, NINJA 250 ABS DAN Z250 ABS. BERMULA RM18,900 SAHAJA!
Kawasaki hari ini secara rasmi kembali ke pasaran dengan memperkenalkan semula tiga model baharu iaitu Modenas Ninja 250, Modenas Ninja 250 ABS dan Modenas Z 250 ABS.
Bakal diedarkan oleh pengedar rasmi baharunya, Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) yang merupakan anak syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), pengenalan itu akan memeriahkah lagi segmen sport bike dan naked bike tempatan.

Model dan harga yang disyorkan adalah seperti berikut:
- Modenas Ninja 250 (2022): kelabu (Metallic Carbon Grey) dan “Metallic Matte Graphite” – (RM18,900)
- Modenas Ninja 250 ABS (2022): kelabu (Metallic Matte Graphite Grey) – (RM20,500)
- Modenas Z250 ABS (2022): hitam “Metallic Spark Black” – (RM19,500)
Ketiga-tiga model tersebut menggunakan enjin yang sama iaitu dua silinder DOHC, empat injap dengan sistem penyejukan cecair. Enjin yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan itu mampu menjana kuasa sekitar 36.8hp pada 12,500rpm dan tork 23Nm pada 10,000rpm.

Jentera berkenaan dibina di atas kerangka trellis dengan besi regangan tinggi. Aspek pengendalian diserahkan kepada suspensi jenis teleskopik fork di hadapan dan swingarm di belakang.
Sistem brek pula terdiri daripada brek careka tunggal bersaiz 286mm di depan dan 193mm di belakang. Ciri brek ABS bagaimanapun hanya ditawarkan pada dua model – Ninja 250 ABS dan Z 250 ABS.
Sebagai sebuah motosikal moden, ia dilengkapi dengan sistem lampu LED sepenuhnya untuk lampu utama dan lampu belakang.
Teknologi Kawasaki lain yang turut dipasang ialah Assist dan Slipper Clutch, Argo Fit dan indikator tunggangan ekonomikal.

Berikutan peningkatan saham Kawasaki Motors. Ltd, (KMC) di dalam Modenas, semua model motosikal KAWASAKI 650cc ke bawah akan dijenamakan semula di bawah MODENAS.
“Kepada semua pemilik motosikal KAWASAKI, lama dan baharu, di bawah pengurusan MODENAS, anda boleh mengharapkan tahap perkhidmatan pelanggan yang serupa atau lebih baik lagi.
“MODENAS sentiasa memerhati, mempelajari dan menyesuaikan operasi perniagaan seperti rakan kongsi teknikal dan pemegang saham kami, KMC. Bersama-sama dengan KAWASAKI, kami bersedia untuk mengembangkan lagi perniagaan ini.

“Sekali gus membawakan kepada anda produk dan tawaran untuk meningkatkan gaya hidup anda melalui pengalaman yang sihat. Sehingga itu, pastikan anda memantau perkembangan kami yang akan datang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.
Ketiga-tiga model motosikal ini akan berada di semua wakil pengedar sah KAWASAKI mulai 1 Ogos 2022. Untuk sebarang pertanyaan, ataupun maklumat, anda boleh melayari laman web rasmi http://www.kawasaki.com.my/home atau menghubungi Talian Bebas Tol KAWASAKI di 1-800-880-008 atau WhatsApp KAWASAKI Careline di +6019-570 8135.
- BACA: MIMOS, MODENAS DAN UNIMAP BANGUNKAN MOTOSIKAL RANGE EXTENDER EV
- BACA: MODENAS AKAN MULA PASANG DAN IMPORT MOTOSIKAL KAWASAKI
- BACA: SUPER MOPED MODENAS BATAL! MODENASAKI ON!
- BACA: SKUTER MODENAS KARISMA 125S RASMI DILANCARKAN. 3 PILIHAN WARNA, BERMULA RM5,397
GALERI


















