Modifikasi

PROTON SAGA? BUKAN. INI SPESIS RARE MITSUBISHI LANCER FIORE

Kerana minat, kadang-kadang kita sanggup lakukan apa saja untuk mencapai hasrat yang diimpikan. Yang mana tak boleh pun dibolehkan jugak, sehingga mampu tersenyum dengan hasil yang diperolehi. Inin kalau cerita guna cara yang betullah. Kalau sodok ikut jalan pintas, hati sendiri pun tak seronok…

Bagi peminat tegar Saga, usaha mereka untuk menyelamatkan khazanah berharga ini antara yang harus dipuji. Masing-masing cuba melahirkan semula model legasi ini dalam kondisi terbaik. Peezal dulu-dulu pun sama juga. Sehingga peluang memiliki kereta bergeran Mitsubishi Lancer Fiore ini, terhidang lazat di depan mata…

Kisah bermula apabila seorang rakan memberitahu beliau tentang sebuah kereta yang tersadai teruk di sebuah bengkel. Kes kemalangan berlanggar dan pemilik asal tidak berkemampuan untuk membayar kos baik pulih.

BACA: LANCER FIORE WAGON SUPER RARE!

Selepas setahun tak gerak-gerak, pomen bengkel pulak yang tension, lalu mengusulkan untuk menjual atau menamatkan saja riwayat hidupnya.

Mengetahui hal ini, pertemuan segera diatur antara Peezal dan pemilik asal, sebelum bersetuju melepaskannya dengan sedikit saguhati.

Selain kesan kemalangan pada hujung kerangka depan, kondisi keseluruhan kereta ini juga agak menyedihkan. Banyak betul bahagian yang uzur dan bocor. Secara berdikit, ia telah ditogelkan di tepi bangsal rumah, sampai ke tetesan skru terakhir.

Mula-mula buat body dulu, pastu tukar mana yang patut. Bila dah acah-acah kacak, baru dibawa ke bengkel untuk dicelup kaler biru.

Walaupun banyak pilihan, Peezal masih mengekalkan kit badan Fiore C11 seperti kejadian asal. Disertakan juga beberapa komponen buruan yang lain, macam grill sodok krom MMC, cermin sisi krom MMC, lining cermin krom, visor cermin krom, lining pintu C11 Turbo, serta sunroof kayuh Webasto dari Saga UK Spec.

Kedudukan kereta tidak direndahkan, sebaliknya masih menggunakan set suspensi standard. Ia kemudian menerima kuasa hentian dari brek cakera Galant VR4 di bahagian depan.

Sesuai dengan penampilannya, rim popular Volk Racing TE37 telah dipilih untuk dipadankan bersama tayar Dunlop bersaiz 205/45R-16.

Usaha baik pulih turut melibatkan bahagian dalaman. Kemas bukan main lagi dengan warna kelabu hitam. Rasanya kereta autoshow pun kalah.

Ia didomimasi oleh papan pemuka Fiore C11 dengan meter turbo yang rare. “Songkok” meter itu pun rare juga. Itu belum kira jam analog pada dashboard, radio SW Mitsubishi serta stereng kapal terbang Colt Turbo.

Menghilangkan rupa lusuh yang dulu, tempat duduk dan panel pintu datang dari Fiore C12. Lain-lain komponen yang boleh disenaraikan termasuklah sarung tempat duduk Mirage, karpet getah Mirage serta tali pinggang Lancer A174 Turbo.

Kalau nak tahu, kereta ini masih boleh berlari dengan enjin asal kilang berusia 33 tahun!

Ya, enjin Orion 4G13 8V yang dibekalkan, masih lagi berfungsi sampai hari ini. Peezal hanya menggantikan bahagian kepala silinder dengan komponen 12V, termasuk melakukan proses baik pulih untuk tujuan kosmetik. Kau gila kalau cakap tak cantik!

Kekemasan enjin ini juga hasil insiatif Peezal yang keras berusaha menyorok komponen yang boleh dialih. Disebabkan enjinnya jenis karburetor, gumpalan wayar yang terlibat dah tentu tak banyak mana.

Pam power stereng memang tak pernah pasang, sebab Peezal jenis pakai power hand sepenuhnya. Segala paip dan tabung dryer untuk aircond, disorok sebaik mungkin di sebalik ruang fender. Sementara unit radiator pulak, kini diletakkan betul-betul di bawah frame depan. Bateri? Dah tentu menyorok dalam boot belakang.

Kerana minat, hampir dua tahun diperlukan Peezal untuk menyudahkan proses restorasi ini. Biasalah modal kecik, barang pun kutip-kutip.

Jangan minat nak mintak beli sudah lah…

-PAK MAUN-

GALERI

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button