Modifikasi

RESEPI ORIGINAL TOYOTA COROLLA KE30

Orang-orang muda zaman sekarang mungkin tidak sedar bahawa suatu masa dahulu peneraju jualan kereta yang tinggi di Malaysia bukanlah  model kereta buatan Jepun, tetapi kereta-kereta buatan Eropah. 

Era tahun 1960-an menyaksikan jalan raya Malaysia dipenuhi dengan kereta-kereta dari jenama Austin, Morris, Ford, Vauxhall dan Opel. Nama-nama Jepun yang anda biasa dengar masa kini macam Toyota, Nissan, Honda dan Mitsubishi ialah nama yang jarang disebut oleh pembeli kereta masa tu.

Sebenarnya, pengeluar kereta dari Jepun telah mula bertapak di sini pada era1960-an lagi, tetapi kereta mereka kurang mendapat sambutan. Mungkin mentaliti orang kita masa tu yang masih kuat berpaksikan ke Eropah. Persepsi bahawa kereta buatan Jepun berkualiti rendah juga membuatkan orang kita tidak membelinya, walaupun harga yang ditawarkan ketika itu amat kompetitif.

Namun segala-galanya berubah apabila Toyota memperkenalkan model Corolla. Model pertama yang diberi kod KE10 telah berjaya mengubah persepsi pembeli kereta. Bukan sahaja di Malaysia, tetapi di serata dunia. Dari segi rupa mungkin dia kalah dengan kereta buatan Eropah, tetapi dari segi kelasakan, memang tiada tandingan.

SONY DSC

Menjelang era 1970-an, kereta-kereta buatan Jepun mula dijual dalam angka yang besar. Sekali gus menggantikan kereta-kereta buatan Eropah sebagai kereta keluarga pilihan masyarakat ketika itu. Corolla terus berkembang dengan pengenalan model KE20. Pada penghujung era 1970-an, model KE30 iaitu model generasi ketiga Corolla dilancarkan.

Seperti model-model Corolla terdahulu, kereta ini mendapat sambutan yang hangat dan secara terus terang ia berjaya ‘membunuh’ kereta seperti Ford Escort, Vauxhall Viva, Morris Marina dan Opel Kadett!

Melihat model KE30 ini, membuatkan saya faham kenapa ia sangat berjaya. Kereta yang dimiliki oleh Azwan aka Juan ini sudah berumur hampir 40 tahun, tetapi masih gagah meluncur di atas jalan raya.

Pesaingnya dari Eropah saya sudah tak nampak pun atas jalan. Selalunya saya  nampak kereta-kereta sedemikian di belakang rumah, sudah jadi reban ayam atau pusat penternakan nyamuk aedes. Inilah yang membuat Toyota memenangi ‘peperangan’ tersebut – kelasakan tanpa bandingan.

Tetapi kalau anda mahukan kereta setua ini masih bergerak lancar, tak boleh jugalah dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang kerja-kerja restorasi. Sebaik mana pun sesebuah kereta, karat ialah musuh utama terutama pada cuaca panas lembab macam Malaysia.

Juan yang memiliki kereta ini dari tahun 2006 memulakan kerja restorasi Corolla  bermula dari badan kenderaan. Kereta dihantar kepada Choy Bodywork di Segambut untuk proses membuang karat dan menggantikan apa-apa panel badan yang telah reput atau rosak.

BACA: STREET RACER COROLLA AE WAGON

BACA: TOYOTA AE92 COUPE HAMPIR PUPUS

Setelah selesai, kereta dihantar ke SPS Spray yang terletak di Kepong untuk proses mengecat. Juan memilih warna asal Corolla ini iaitu putih solid, tetapi dilayang dengan lacquer 2K dari DuPont.

Selesai dengan restorasi badan kereta, Juan mengalih fokusnya kepada enjin pula. Enjin asal Corolla ini asalnya menggunakan enjin 2K 1,200cc OHV. Tetapi Juan sudah ganti lain.

SONY DSC

Masih mengekalkan enjin siri K, Juan memasukkan enjin 5K yang mempunyai sesaran 1,500cc. Enjin 5K yang berasal daripada van Toyota Liteace ini menggunakan lifter hidrolik berbanding lifter solid pada enjin 3K. Inilah yang membuatkan enjin kurang bising dan lebih lancar.

Sebelum enjin dimasukkan ke dalam ruang enjin Corolla, Juan telah melakukan proses overhaul dan blue printing. Segala pendawaian enjin disorok kemas daripada penglihatan (wire tuck). Sementara karburator enjin disuapkan dengan udara yang ditapis oleh penapis udara K&N.

SONY DSC

Apa yang agak unik adalah pemilihan kotak gear untuk enjin ini. Kalau geng-geng old skool gemarkan kotak gear manual, Juan dengan machonya menggunakan kotak gear automatik yang difahamkan memang sukar untuk ditemui.

Bagi membantu aspek kawalan kereta, Juan telah melakukan kerja-kerja naik taraf pada bahagian sistem gantungannya. Penyerap hentak pada bahagian depan diganti dengan penyerap hentak OEM Corolla AE80. Sementara pada bahagian belakang, sepasang penyerap hentak Kayaba Gas digunakan.

Sistem brek dinaik taraf dengan menggantikan servo brek asal kepada servo brek double layer. Brek gelendong belakang pula diganti dengan gelendong OEM Corolla KE36 iaitu versi wagon KE30 yang mempunyai diameter gelendong lebih besar. Brek cakera depan dikekalkan tanpa sebarang pengubahsuaian.

SONY DSC

Kereta old skool kena la layan rim old skool jugak kan? Sebab tu Juan memilih rim SSR Techno Shadow bersaiz 14×7.5 untuk Corolla kesayangannya. Tayar-tayar daripada  Yokohama Advan Neova bersaiz 185/60 dipilih bagi membaluti rim-rim retro tersebut. Biar rim retro tapi tayar mesti moden kata Juan.

Bahagian dalaman kereta sekemas bahagian luarannya. Semuanya telah dibaik pulih dengan baik dan kelihatan macam baru. Seboleh-bolehnya Juan mengekalkan rupa asli bahagian dalaman Corolla ini. Kalau nak main aksesori pun, mesti ada gaya old skool.

SONY DSC

Contoh terbaik ialah stereng Nardi Torino yang dipilih mempunyai rekaan klasik. Tempat duduk depan Recaro itu pula ialah model Njoy yang diambik daripada half-cut Supra GA71.

Juan mengambil masa selama setahun nak menyiapkan Corolla ni. Kos yang dilabur pun boleh tahan juga la, lebih kurang RM20,000. Saya yakin Juan akan simpan kereta ini dalam jangka masa yang lama sebab dah melabur banyak beb. Takkan nak jual kereta ni harga RM5,000 je?

[hr] Spesifikasi

Pembuat / Model:     Toyota Corolla KE30

Enjin Asal:                 3K 1200cc

Ubahsuai Enjin:       5K 1500cc, enjin overhaul dan blue printed, penapis udara K&N

Kotak Gear:               Automatik 3 kelajuan

Sistem Gantungan  Depan: Penyerap hentak AE80, belakang: Kayaba Gas

Sistem Brek:              Servo double layer, cakera depan standard, gelendong belakang Corolla KE36

Rim / Tayar:               SSR Techno Shadow 14×7.5 / Yokohama Advan Neova 185/60

Luaran:                      Standard KE30 (restorasi semula), lips depan custom

Dalaman:                   Standard KE30 (restorasi semula), stereng Nardi Torino, tempat duduk Recaro NJoy

Galeri

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button