Artikel PilihanBuletin

NISMO PRODUKSIKAN KEMBALI METER SKYLINE R34 DAN SILVIA S15 – DAPAT METER PUN JADILAH PAR

Ini merupakan berita baik untuk pemilik-pemilik Nissan Skyline R34 dan Silvia S15. Nismo kini mula mengeluarkan kembali meter-meter untuk Silvia S15, Skyline R34 dan Skyline GT-R BNR34 (idaman hati dulu kini dan selamanya). Ini bukan unit OEM Nissan tetapi keluaran original Nismo yang sebelum merupakan aksesori naik taraf wajib untuk pemilik model-model disebutkan.

Kesemua stok sudah lama habis di pasaran selama beberapa tahun kecuali di kedai-kedai potong. Itu pun berdasarkan nasib je la. Ini juga kali pertama meter seumpama ini diproduksikan semula untuk Silvia.

Sebagai model teristimewa Nissan satu ketika dahulu, Nismo menawarkan dua variasi meter untuk GT-R BNR34. Satu berlatar belakang putih dan satu lagi berlatar belakang hitam. Harganya? USD770 untuk hitam dan USD795 untuk varian putih. Kedua-duanya dimeriahkan dengan warna oren sebaik lampu dinyalakan (barulah JDM bang).

Meter kelajuan Nismo untuk BNR34 ini kekal pada bacaan 320 km/j putaran enjin 11,000 rpm. Kalau pasang dengan Almera pun okey jugak ni kan?

Meter untuk Skyline R34 pula hanya dihasilkan untuk versi transmisi manual yang menggunakan enjin RB25DET contohnya varian 25GT Turbo dan 25GT-X Turbo. Speedometernya hanya sehingga 300 km/j dan putaran enjin maksima pada 10,000 rpm. Berlatar belakang hitam dengan nyalaan oren harga jualannya ialah USD715.

Akhir sekali ialah meter khusus untuk Nissan Silvia S15 juga untuk varian transmisi manual. Kemon la, lelaki sejati mestilah guna tiga pedal kan? Tak cukup lagi pergi beli hati pedal ayam kat pasar.

Speedometer maksima menunjukkan bacaan 280 km/j dan 10,000 rpm untuk meter kelajuan enjin. Harga? Tak mahal berbanding BNR34. USD620 je.

Kesemua gugusan meter tersebut boleh didapati dalam katalog, Nissan Heritage Parts. Tapi ingat, ia hanya boleh didapati dalam jumlah yang terhad. Bila dah habis jangan harap mereka akan repro balik.

Kalau aku kayaa… hah sambung-sambung.

Google ads
Back to top button