
NISSAN ARIYA NISMO - SIAPA KATA EV TAK BOLEH KELIHATAN SPORTY DAN LAJU
Jenama NISMO sememangnya dikenali sebagai divisyen prestasi buat pengeluar Nissan. NISMA sudah lama dikenali untuk merubah kereta sporty seperti Nissan GTR R34 kepada sebuah jentera yang berprestasi lebih buas dan garang. Tapi apa jadi sekiranya NISMO mahu merubah sebuah EV?
Nah, maka terhasillah Nissan Ariya NISMO, sebuah SUV EV yang bukan lagi EV biasa – biasa. Sudah tentu Nissan tidak main – main untuk memberi lencana NISMO kepada EV ini. Kini Nissan Ariya NISMO tampil lebih sporty serta berprestasi tinggi yang telah pun dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2024.

Sudah tentu dengan pengenalan ini menjadikan Nissan Ariya NISMO ini sebagai sebuah model EV perdana buat pengeluar dari Jepun itu. Ianya menawarkan pecutan yang kuat, ruangan kabin yang dinaik taraf yang luas dan operasi senyap yang unik untuk sebuah EV.
Dibina berdasarkan model standard Ariya, dan menampilkan reka bentuk EV NISMO generasi baharu yang dinamik, Ariya NISMO memberikan keyakinan dan ketenangan fikiran yang lebih besar hasil daripada pecutan yang sangat berkuasa namun lancar, pengendalian yang jitu serta prestasi aerodinamik yang cemerlang – semuanya dihasilkan oleh NISMO secara eksklusif.

Prestasi yang sangat dinamik serta lancar dan mudah dikawal dihasilkan oleh motor elektrik kira-kira 10 peratus lebih besar digabungkan dengan penalaan pecutan khas dan mod pemanduan NISMO eksklusif yang memaksimumkan tindak balas. Bunyi yang dihasilkan membangkitkan semangat perlumbaan Formula E, menambahkan lagi keterujaan ketika pemanduan.
Nissan merancang untuk menawarkan Ariya Nismo dalam dua varian di Jepun. Model asas menghasilkan keluaran gabungan 362 HP dan 413 Nm, yang dijana oleh sepasang motor elektrik yang menarik kuasa daripada pek bateri 66.0 kWh. Pilihan varian yang lebih besar, dan kuasa meningkat kepada 430 HP dan 443 Nm, dengan kapasiti bateri yang lebih besar iaitu 91.0 kWh.

NISMO telah membuat penalaan khas setiap komponen pada casis dengan teknologi kawalan empat roda daripada e-4ORCE serta penggunaan rim bersaiz 20 inci serta tayar 255/45 R20 untuk memberikan lebih kestabilan ketika memecut atau pun mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.
Walau pun ianya dilancarkan untuk pasaran Jepun terlebih dahulu, namun ianya telah menjadi buah mulut media di pasaran Amerika Syarikat. Semuanya tak sabar menantikan buah tangan daripada NISMO ini sementelah kehadiran model daripada GT-R dan juga Z hadir di sana.
BACA : INI NISSAN Z NISMO, KERETA LUMBA UNTUK 24 JAM FUJI!
BACA : PENGEMBARAAN SUAMI ISTERI KUTUB UTARA KE KUTUB SELATAN MENGGUNAKAN EV NISSAN ARIYA







