Artikel Pilihan

NISSAN MARCH SUPER TURBO – NISSAN DULU BUKANLAH NISSAN SEKARANG

Nissan Micra ataupun March bukanlah sebuah kenderaan yang dihasilkan dengan inspirasi perlumbaan. Ia pada asalnya ialah sebuah kereta kegunaan di bandar untuk memudahkan anda bergerak dalam kesibukan bandar. Kalau kat Malaysia dulu pun iklannya memaparkan pelawak Hamid Gurkha dan aktres Noreen Noor. Tapi itulah siapa sangka dari negara asalnya Nissan telah mendapat idea untuk mengeluarkan Nissan March Super Turbo. Masa ni idea Nissan Leaf memang tak pernah terjangkau dek akal rasanya.

Kenapa dinamakan Super Turbo? Hebat sangat kah pengecas turbonya? Bukan, ini kerana kereta kecil ini dilengkapi dengan bukan satu tetapi dua senjata sulit. Pengecas turbo untuk kelajuan maksima dan supercharger untuk membantu pecutan awal.

Benar, kereta ini mungkin antara supermini terhebat pernah dihasilkan Nissan dan mungkin juga terhebat dari Jepun. Dikeluarkan dalam tahun 1989, Nissan March/Micra ini dibekalkan dengan enjin 8-injap 930cc dan diperhebatkan dengan pengecas turbo dan supercharger. Jadilah namanya Micra/March Super Turbo.

Ia sebenarnya ia hasil idea Nismo untuk menghasilkan versi khusus untuk perlumbaan March/Micra pada tahun 1987. Respon yang diterima dari orang ramai cukup baik jadi mereka terus mengeluarkannya dengan spesifikasi yang hampir sama tetapi kini dengan tempat duduk penuh.

Menariknya 10,000 unit March Super Turbo berjaya dipasarkan. Bayangkan enjin yang berkuasa 108 hp dan dipadankan dengan panel badan menyamai tin Milo beroda. Ia memang cukup ringan dan mendebarkan.

Nissan menyatakan yang bagi versi perlumbaan, berat keseluruhan March Super Turbo ini cuma 620 kg. Mesin basuh kat rumah Pak Amid pun rasanya lagi berat. Model produksi pula dikatakan mempunyai berat 750 kg. Masih lagi cukup ringan dan membolehkan ia dipandu dengan lincah.

BACA: ALKISAH RENAULT CLIO – DARIPADA SUPERMINI KEPADA HOT HATCH

Macam mana dengan kelajuan? Pecutan 0-100 mampu dilakukan dalam masa hanya 7.7 saat manakala kelajuan maksimanya pula ialah sekitar 180 km/j. Untuk kereta keluaran tahun 80-an, ia sememangnya sangat laju. Dan ingat, bentuk kereta ni memang haram tak aerodinamik pun (termasuklah beberapa kereta lain pada zaman tu).

Pencabar terdekatnya dari segi prestasi pada masa itu ialah Suzuki Swift Sport dan Reanult Sport Clio 172. March Super Turbo ini bagaimanapun memberikan pecutan 0-100 km/j yang lebih baik.

Sebagai sebuah kereta yang diasaskan dari model perlumbaan, penyaman udara merupakan aksesori pilihan. Begitu juga dengan cermin tingkap bantuan kuasa. Tapi ia mempunyai kelebihan lain kerana Nissan melengkapkannya dengan LSD di bahagian roda hadapan. Bayangkan apa yang Nissan buat pada kereta kecil ni. Kalau Nissan GTR memang tak peliklah.

Bahagian luaran juga tidak dilupakan dan Nissan memberikan kereta ini karektor yang tersendiri untuk  membezakannya dengan Nissan March arwah datuk Pak Amid. Antaranya termasuklah bahagian gril, tambahan spot light dan bonet yang lengkap dengan skup udara.

Ia juga mempunyai rekaan rim yang sedikit berbeza dan dilengkapi dengan tayar-tayar yang lebih lebar. Kalau anda masih mempunyai Nissan March lama, ia merupakan sebuah platfom modifikasi yang baik. Cuma yang sukarnya ialah untuk mendapatkan komponen ataupun half-cut Nissan March Super Turbo ni.

Google ads
Back to top button