Pandu Uji

PANDU UJI: AXIA STYLE. GAYA CROSSOVER

Proses naiktaraf ataupun facelift merupakan satu aktiviti meningkatkan mutu dan memperbaiki kesilapan dalam produk yang dikeluarkan. Sebagai contoh macam Axia. Dulu ia hanya datang dengan 2 beg udara bagi varian terendah. Manakala varian tertinggi hanya dilengkapi dengan brek ABS. Enjin pun biasa tanpa teknologi VVT-i semasa mula-mula dilancarkan tahun 2014 dulu.

Pada tahun 2017, Axia telah dinaiktaraf sedikit dengan enjin VVT-i dan juga beberapa perubahan kosmetik. Pada tahun 2019 ia sekali lagi dinaiktaraf dengan tambahan beberapa fungsi keselamatan dan sudah tentu dengan penggayaan yang terbaru. Penulis berkenan sangat dengan Axia Style ini.

Jadi untuk andu uji kali ini, kami memang memilih untuk memandu uji Axia Style berbanding dengan Axia AV yang lengkap dengan sistem ASA. Berikut adalah spesifikasi penuh Axia Style:

Rekaan

Axia Styly ini masih menggunakan asas dan cesi Axia yang lama. Namun beberapa perubahan kosmetik yang dibuat menjadikannya nampak lebih lincah daripada varian lain. Jika anda hanya memerlukan sebuah kereta asas pilih saja dengan harga di atas jalan sekitar RM 25,000 sahaja.

Jadi jika anda memilih varian Style, sudah tentu rekaan luar lebih bergaya. Bampar depan dipasang dengan kemasan skid plate pada bahagian bawah sama seperti Aruz. Ruang kemasukan udara dibuat sedikit berbeza serta menggunakan corak carbon fibre.

Kemasan plastik depan dengan skid plate tadi akan menganjur ke tepi, kiri dan kanan bagi membentuk plastic cladding pada bahagian perumah tayar depan dan belakang. Skirting tepi pula akan menyambungkan plastic cladding perumah tayar depan dan belakang.

Bagi menampakkan Axia ini sedikit tinggi daripada biasa, ia menggunakan tayar bersaiz 15 inci yang dipasang dengan tayar bersaiz 175/60. Rekaan rim mengenakan 5 bilah dengan warna hitam. Cermin sisi pun warna hitam nampak kontra dengan warna oren Axia ini.

Sepasang roof rail dipasang pada bahagian bumbung menjadikan Axia ini nampak ala-ala crossover dari jauh. Sama seperti bampar depan, bampar belakang pun turut dipasang dengan skid plate berwarna perak. Lampu reflektor cahaya dipasang secara menegak. Secara keseluruhan usaha Perodua menjadikan Axia ini seperti crossover nampak berjaya

Mazda CX30

Ruang Dalaman

Berbeza dengan luar, rekaan dalaman Axia Style tidak banyak berbeza dengan yang lama. Varian style menggunakan radio dengan butang fizikal lengkap dengan sambungan USB. Bahagian tengah papan pemuka mengenakan kemasan kemasa hitam berkilat piano dan krom.

Paparan meter pula ditukar menjadi warna putih berbanding oren pada model lama. Anda boleh mendapatkan bacaan penggunaan petrol semasa, bacaan petrol secara purata dan jarak perjalanan dengan baki petrol yang ada. Lampu pula akan padam secara automatik sebaik sahaja anda membuka pintu depan.

Tapi balutan kusyen depan dan belakang walaupun tidak menggunakan balutan kulit, namun ia hadir dengan balutan kain ala-ala seluar jeans. Tambah menarik bila ia jadir dengan jahitan benang berwarna emas. Sedap bila bersentuhan dengan kulit.

Terdapat 2 penyangkut barang pada kusyen depan, satu penyangkut beg tangan dengan kunci keselamatan, ruang kargo sebesar 260 liter, tempat duduk depan yang boleh dilaras, kunci kemasukan serta butang push-start penghidup enjin.

Enjin dan Transmisi

Semua varian akan dikuasan dengan enjin 1000cc 3 silinder yang sama. Pemasaan injap pula akan dikawal oleh mekanisma DOHC dengan VVT-i. Ada pertambahan 1 kuasa kuda dan 1 Nm tork yang lebih berbanding model tanpa VVT-i. Cukuplah untuk menggerakkan Axia ini ke mana-mana dengan penggunaan petrol yang efisyen.

Kesemua kuasa akan dihantar ke roda depan dengan menggunakan transmisi 4 kelajuan. Ia selesa jika dipandu tidak melebihi 120km/j. Jika kita mulai melebihi halaju tersebut, kita perlu memberi fokus yang lebih pada kawalan stering. Tambahan pula ketinggian stering tidak boleh diubah menjadikan kedudukannya tidak ergonomik terutama pada pergelangan tangan.

Pemanduan

Selepas memandu 3 jam tanpa henti, ibu jari dan tapak tangan penulis terasa sedikit kebas. Namun kalau ditekan kena dengan gaya pemanduan dan pada gear D3, senang senang saja ia dipandu melebihi 140km/j. malah penulis penah pergi lebih laju dari itu sewaktu dikejar di laluan kanan lebuh raya.

Sama seperti Aruz, Axia memerlukan tangan kiri rajin menukar gear dari D ke D3 untuk mendapatkan memastikan enjin beroperasi pada tahap optimum. Kalau rasa ada kereta yang laju di lorong kanan, jangan terlalu yakin untuk mencilok masuk melainkan anda sudah membina moemntum pecutan dari awal.

Ujian pemanduan pada jalan berbukit membuktikan kawalan cesi Axia adalah memuaskan. Pada pandangan penulis lebih meyakinkan berbanding dengan Myvi D54T model lama. Salah satu perkara yang diubah oleh Perodua ialah dengan menukar stabilizer link yang lebih panjang pada tayar depan

Lantai cesi juga jika diperhatikan secara teliti anda akan perasan terdapat tetulang yang wujud pada lantai. Secara keseluruhan kawalan cesi ini sewaktu mengambil selekoh tidaklah menjadikan jantung penulis berdebar-debar umpama mahu masuk jawi sewaktu kecil dahulu.

Cuma ada batasnya, janganlah tekan pedal minyak sewaktu selekoh dengan lebih, nanti understeer. Perodua masih menggunakan penyerap hentak yang sama dengan Axia lain. Namun tekanan angin pada tayar telah dikurangkan kepada 230 kPa berbanding 250kPa. Jadi Axia Style ini terasa sedikit lembut berbanding dengan Axia lama milik penulis.

Bagi penggunaan petrol, ujian dalaman yang dilakukan oleh Perodua mencatatkan bacaan sekitar 21.7km per liter petrol bagi varian AV, SE dan G Extra. Axia Style pula merekodkan bacaan sekitar 20.8km per liter petrol. Bacaan petrol yang diperolehi oleh penulis sekitar 14.5km per liter (errr sebab melibatkan banyak halaju melebihi 140km/j bagi mengejar masa).

Sistem Keselamatan

Perkara lain yang boleh diubah oleh Perodua sebaik sahaja menukar enjin ialah kemampuan cesi Axia untuk dipasang dengan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik. Malah Axia G Extra yang berharga RM 36,000 pun turut dipasang dengan sistem ESC. Hanya varian AV yang dilengkapkan dengan sistem ASA 2.0

Apa yang perlu diperbaiki

1. Axia ini dibina atas cesi kereta kos rendah atau Low Cost Green Car. Jadi aspek ergonomik telah dikorbankan bagi penjimatan. Sebagai contoh, ketinggian steering tidak boleh diubah menyebabkan tangan kita terasa tergantung ketika memegang stering selama beberapa jam

Kesannya kita akan mula terasa lenguh pada tapak tangan dan ibu jari. Hanya ketinggian kerusi boleh diubah namun bagi pemandu yang tinggi ini akan menjadikan mereka kurang selesa.

2. Radio yang dipasang pada Axia Style tiada sambungan Bluetooth bagi menyambungkan telefon pintar. Penulis banyak menggunakan fungsi ini bagi mendengar lagu, menjawab telefon dan mendengar arahan suara ketika menggunakan aplikasi pandu arah Google.

Kesimpulan

Perodua Axia ini merupakan pilihan pada pengguna yang mahukan sebuah kereta asas mampu milik, kos pemilikan yang rendah serta senang untuk dijaga. Pilihan yang lebih murah sudah tentu Axia G Extra yang masih ditawarkan dengan sistem keselamatan ESC. Atau jika anda mahukan varian yang canggih, boleh pilih varian AV yang lengkap dengan sistem ASA

Tapi kalau anda semua minat sesuatu yang berbeza dan ingin mencari kelainan, boleh cuba pandu uji Axia Style ini. Ia ibarat Nasi lemak lengkap dengan sambal bilis, telur ayam goreng dan timun. Cukup mengenyangkan waktu pagi, tengahari dan malam

Tags
Google ads
Back to top button