
PANDU UJI: HONDA HR-V RS 2022 DI THAILAND. DAH TAKDE APA KOMPLEN
Honda Malaysia akhirnya mengumumkan bahawa tempahan untuk model terbaharu SUV popular HR-V sudahpun dibuka.
Menjadi antara model yang paling ditunggu oleh rakyat Malaysia, orang ramai sudah boleh membuat tempahan di semua pengedar sah Honda di seluruh negara, menerusi pautan di prebook.honda.com.my atau memuat naik aplikasi HondaTouch di telefon pintar masing-masing.
Selain sedan City, HR-V sememangnya model yang sangat penting buat Honda Malaysia. Ini kerana sejak dilancarkan pada tahun 2015, populariti HR-V tidak pernah surut sehingga berjaya mencatat jualan lebih 111,000 unit sehingga kini.
Namun, memandangkan persaingan yang semakin sengit diberikan oleh model-model lebih baharu dalam segmennya seperti Toyota Corolla Cross dan Proton X50, Honda Malaysia sememangnya memerlukan pengganti HR-V.

Jadi, terimalah HR-V generasi serba baharu yang sebenarnya sudahpun memasuki generasi ketiga. Namun, kita di Malaysia hanya mengenali HR-V menerusi generasi kedua kerana model generasi pertamanya tidak ditawarkan di sini.
Bakal dilancarkan tidak lama lagi di Malaysia, baru-baru ini kami diberi peluang untuk memandu uji dan melihat dengan lebih dekat crossover kompak itu di Thailand.
Di sana, HR-V hanya ditawarkan dalam satu pilihan enjin iaitu hibrid e:HEV dengan tiga pilihan varian E, EL dan RS. Pemilihan enjin dengan sistem hibrid i-MMD itu banyak didorong oleh insentif yang diberikan oleh kerajaan Thailand ke atas kenderaan jimat tenaga.
Kalau dilihat di negara jiran lain seperti Indonesia dan Filipina, HR-V turut ditawarkan dengan enjin 1.5 liter aspirasi biasa (NA) dan 1.5 liter turbo VTEC seperti yang ada pada Honda Civic. Jadi, apa pula pilihan enjin HR-V untuk pasaran Malaysia nanti? Sama-sama kita tunggu.

Rekaan SUV coupe
Sebagai sebuah model serba baharu, HR-V yang dilancarkan di Thailand pada hujung tahun lalu itu nyata menerima penambahbaikan ketara. Rekaan luarannya nampak lebih elegan dan sporty.
Model yang kami pandu uji ini ialah varian RS, jadi sudah tentu ia dipasang dengan bodykit RS.
Di bahagian hadapan, HR-V tampil dengan gril radiator rekaan baharu yang lebih besar. Komponen tersebut diserlahkan dengan kemasan atau butiran krom pada latar berwarna hitam. Logo H disisip dengan warna biru bagi menunjukkan bahawa ini ialah varian hibrid.
Lampu utama LED kini lebih nipis, bersama lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu isyarat membelok jenis sequential. Bahagian bawah bampar pula dipasang dengan lips berwarna hitam berkilat dan satu kemasan krom. Satu elemen baharu yang ada ialah jalur berwarna merah seperti degupan jantung, pertama pada model Honda.

Melihat dari arah sisi, kemasan hitam diteruskan pada arca roda, skirting, spoiler belakang dan bumbung. Namun, warna dua tona ini bergantung kepada varian yang dipilih oleh pelanggan.
Jentera itu menggunakan rim berwarna hitam dengan saiz 18 inci. Ia turut dilengkapi kamera untuk sistem Honda LaneWatch pada bahagian bawah perumah cermin sisi sebelah kiri.
Rekaan coupe pada bahagian belakang memberikan HR-V siluet yang menarik dan nyata lebih sporty. Namun, ia mungkin menyebabkan ruang kepala penumpang belakang sedikit sempit.

Secara peribadi, saya sangat menyukai perubahan yang dilakukan oleh pasukan reka bentuk dan jurutera Honda pada bahagian belakang HR-V. Lampu besar berbentuk tiga segi yang ada pada model lama diganti dengan lampu lebih nipis bersama gugusan lampu LED.
Rekaan yang elegan itu diteruskan dengan satu jalur LED yang merentangi kiri ke kanan dan diputuskan oleh logo Honda di tengah-tengahnya. Untuk varian tertinggi, crossover segmen B itu hadir dengan ciri power tailgate bebas tangan yang akan ditutup secara automatik apabila pemandu berjalan.

Ruang kabin moden
Menjengah ke ruang kabin, pemandu dihidangkan dengan kluster meter bersaiz 7 inci seperti yang ada pada Civic FE. Papan pemuka pula dihuni oleh skrin sentuh bersaiz lapan inci yang boleh disambungkan dengan Apple Carplay dan Android Auto menggunakan wayar.
Cuma, saya rasa skrin itu akan nampak lebih cantik jika ia jenis terapung dan bukannya ada cover di bahagian belakang yang agak tebal. Sistem infohibur itu senang dioperasi, cuma kualiti visual ketika mengundur atau Honda LaneWatch digunakan kadang-kala kurang memuaskan.
Keseluruhan ruang dalaman menggunakan tona hitam dengan sedikit kemasan krom pada tombol kawalan pendingin hawa, konsol tengah dan hendal pintu. Tempat duduk juga dibalut oleh kulit berwarna hitam bersama jahitan benang merah.

Namun, rasa kelam kabin boleh dihilangkan serta merta dengan menarik penutup bumbung kaca secara manual.
Bumbung panoramik itu didatangkan dalam dua seksyen berbeza yang dipisahkan dengan satu panel di tengahnya. Penumpang belakang juga boleh membuka penutup siling untuk membenarkan cahaya masuk ke dalam kabin.
Berbeza dengan penutup pada bahagian hadapan, bumbung panoramik untuk penumpang belakang boleh dibuka secara manual menerusi dua keping plastik berwarna hitam.

Honda memang terkenal dengan kehandalannya menghasilkan komponen dan ruang yang praktikal, tetapi penutup bumbung itu tidak begitu. Ia tidak boleh digunakan untuk menutup cermin utama dan sebagainya. Sebaliknya, ia perlu disimpan di ruang but.
Kekurangan itu bagaimanapun diganti dengan sistem pengaliran udara pada corong pendingin hawa sebelah pemandu dan penumpang hadapan. Dikenali sebagai Air Diffusion, ia berfungsi mengitarkan udara sejuk ke ruang kabin dengan lebih efisien.

Laluan macam jalan Janda Baik
Sesi pandu uji kali ini melibatkan perjalanan sejauh 400km pergi balik dari Phuket ke Krabi dan kembali semula ke Phuket pada keesokan harinya.
Pemanduan merangkumi lebuh raya, bandar kecil dan jalan kampung yang sempit, berbengkang-bengkok dan turun naik laluan berbukit. Rasa seperti memandu di jalan lama menuju ke Janda Baik atau Genting Highlands pun ada.
Namun, perjalanan tetap menyeronokkan kerana HR-V menawarkan pengendalian yang cukup memuaskan. Olengan tubuh adalah minimum, kuasa yang dijana oleh rangkaian kuasa enjin dan sistem hibrid itu boleh membuatkan sesiapa sahaja tersenyum.

Enjin tersebut mampu menjana sehingga 131PS dan tork 253Nm. Dipadankan dengan kotak gear e-CVT, hantaran kuasa ke roda hadapan cukup lancar dan SUV itu langsung tidak terasa berat.
Apa yang lebih menarik pastinya penjimatan bahan api yang mampu ditawarkannya. Jika memandu dengan santai dan berhemah, penggunaan minyak hanya 17km bagi setiap liter boleh dicapai dengan mudah.
Secara asasnya, HR-V mempunyai kelebihan dari semua segi untuk menarik minat rakyat Malaysia membelinya.
Buat masa sekarang, tengok dulu gambar yang saya kongsikan, nanti bila dah ada di bilik pameran, jangan segan untuk pergi ke sana dan lihat secara dekat. Jangan salahkan saya jika anda terbeli HR-V generasi baharu. Ia pasti satu pembelian yang berbaloi.
- BACA: HONDA MALAYSIA BUKA TEMPAHAN HR-V BAHARU. LANCAR SUKU KETIGA TAHUN INI
- BACA: HONDA HR-V 2023 – HARGA DARI RM109K DI AMERIKA SYARIKAT
- BACA: SEGALANYA TENTANG HONDA HR-V 2022. BILA NAK LANCAR?
- BACA: TIGA MAUT AKIBAT HR-V TERBAKAR DISYAKI TERLIBAT DALAM KES SAMUN
GALERI





























