Buletin

PEMBUKAAN MRT LALUAN PUTRAJAYA FASA SATU DITANGGUH, UJIAN BELUM LENGKAP

Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya Fasa Satu tidak dapat dibuka untuk perkhidmatan berbayar pada bulan ini seperti dijadualkan berikutan ujian belum lengkap.

Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Mohd Zarif Hashim berkata, laluan itu dijangka bersedia untuk perkhidmatan berbayar pada suku kedua tahun 2022.

“Tren MRT mencatatkan lebih 3,000 jam operasi percubaan dan mengumpul banyak data. Selepas meneliti data itu, kami mendapati antara beratus-ratus modul sistem dilaksanakan, dua modul perlu diperhalusi lebih lanjut.

“Kami perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga stabil sebelum dapat mengambil alih aset ini dan meluluskannya untuk operasi,” katanya pada sidang media.

Operasi percubaan untuk MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu berjalan sejak 29 April, 2021.

Sejumlah 16 tren diuji beroperasi antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Kampung Batu dalam keadaan perkhidmatan penuh tetapi tanpa penumpang dalam simulasi operasi sebenar.

Mohd Zarif berkata, syarikat menjalankan banyak operasi percubaan, termasuk pemeriksaan terperinci akhir.

Katanya, penambahbaikan subsistem perlu untuk menyelesaikan isu data tertiari untuk memastikan perkhidmatan itu boleh beroperasi dalam keadaan baik.

“Oleh itu, kami tiada pilihan lain kecuali menangguhkan pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.

“Justeru, MRT Corp tidak dapat mengambil alih aset MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu daripada kontraktor serah kunci yang dilantik,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini projek Laluan Lingkaran MRT3, katanya ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Kami sedang memuktamadkan pelan pembiayaan dengan kerajaan. Beri kami lebih masa untuk memuktamadkan pelan pembiayaan itu dan mungkin diumum pada awal tahun depan,” katanya.

Beliau menjangka tender untuk projek itu akan dibuka pada suku ketiga 2022. –BH

Google ads
Back to top button