Buletin

PENGELUAR KERETA CHINA GAGAL MENYINAR DI PASARAN SENDIRI. PENGGUNA LEBIH SUKA JENAMA ASING

Pembuat kereta China nampaknya mengalami masalah kesetiaan daripada pengguna di pasaran tempatan. 

Ketika angka jualan bulanan kenderaan mula menampakkan pemulihan selepas terkesan akibat penularan wabak COVID-19, selera pengguna domestik terhadap kereta jenama China semakin pudar.

Tak percaya? Model sedan paling laris pada September semuanya dari jenama asing seperti Honda, Toyota, Nissan, Volkswagen dan General Motors. 

Situasi itu dilihat sebagai masa terbaik untuk presiden China, Xi Jinping mula menyokong pembangunan teknologi automotif yang dibina boleh oleh syarikat China sendiri. Ia kerana industri tersebut menawarkan peluang pekerjaan yang banyak dan penting untuk persaingan teknologi dengan Amerika Syarikat. 

“Dalam usaha untuk memacu pertumbuhan pengilangan automotif berkualiti tinggi di China, kita mesti mengukuhkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan ke atas teknologi-teknologi serta komponen teras,” jelas Xi ketika melawat ibu pejabat pembuat kenderaan milik kerajaan, China FAW Group di Jilin baru-baru ini. 

Xi menegaskan cukup penting untuk China sedar tentang kebergantungan ke atas teknologi sendiri demi menjadikan jenama kereta China lebih besar dan kuat. Perkara itu dapat dilihat dengan jelas melalui jenama Hongqi yang dibina di bawah falsafah “China baharu”. 

Kerajaan China sudah lama membina jenama kereta nasionalnya. Pada tahun 1994, China telah menggariskan strategi sektor automotif komprehensif yang pertama. Malah, Beijing meletakkan sasaran untuk menghasilkan tiga hingga empat konglomerat auto dengan keupayaan global menjelang tahun 2010. Ini bagi bersaing di peringkat antarabangsa dari segi pembangunan teknologi, produksi, jualan dan pengembangan. 

Pada tahun 2009, Chnina menjadi peneraju global dalam aspek jualan dan produksi kenderaan. Namun, jenama tempatan yang kini banyak dipamerkan di Pameran Automobil Antarabangsa Guangzhou kekal tidak kompetitif. 

Menurut data Persatuan Pengeluar Automobil China, penguasaan pasaran jenama kereta China untuk segmen kenderaan penumpang pada tahun 2009 adalah 44.3 peratus. 

Angka itu naik kepada 45.6 peratus setahun kemudian dan itulah puncaknya. Tetapi, jualan jenama kereta China dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini jatuh sebanyak 14.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Ini menjadikan perkongsian pasaran jatuh kepada 37.1 peratus.

Ia bermakna hampir dua pertiga kereta penumpang baharu yang dijual adalah jenama asing terutama dari Jepun, Jerman dan Amerika. 

“Di kebanyakan pasaran, jenama tempatan biasanya memiliki penguasaan pasaran yang besar. Saya menjangkakan perkara yang sama di China, tetapi proses itu nampak sangat perlahan di sini,” kata Pengarah Urusan AlixPartner, Stephen Dyer. 

Ironinya, syarikat kerjasama syarikat milik kerajaan dengan jenama asing dilihat sebagai antara punca utama kenapa pembangunan jenama tempatan menjadi lambat.

Sebagai contoh, SAIC Motor yang menjalin kerjasama dengan Volkswagen dan General Motors. Tahun lalu, SAIC Motors mencatat keuntungan sebanyak AS$3.77 bilion (RM15.5 bilion) tahun lalu. 

Kebergantungan terhadap kerjasama dengan syarikat asing turut dapat dilihat dengan jelas pada pembuat kereta China yang lain. Dongfeng Motor Group dan Guangzhou Automobile Group misalnya terpaksa bergantung kepada kerjasama untuk mencatat keuntungan. 

“Polisi syarikat kerjasama China bersifat serampang dua mata. Dari satu sudut, ia bagus untuk syarikat milik kerajaan kerana dapat menjana keuntungan dan membiayai pembangunan jenama mereka sendiri. Tetapi kelemahannya ialah syarikat ini tidak rasa terdesak untuk membangunkan jenama sendiri berbanding pengeluar kereta persendirian,” kata Dyer lagi. 

Biarpun begitu, kereta elektrik dijangka menjadi pemangkin kepada perubahan minat terhadap jenama kenderaan China. Ini kerana kerajaan dilaporkan bersedia untuk menyokong pembangunan kereta yang menggunakan teknologi bahan bakar baharu seperti EV, hibrid, PHEV dan sel bahan api. 

Beijing juga mensasarkan jualan kenderaan tersebut adalah lebih 50 peratus menjelang tahun 2035. Namun, masih belum jelas adakah minat pembeli di China akan beralih kepada jenama tempatan. 

“Semua pengeluar kenderaan China perlu terima hakikat yang pengguna mempunyai impresi negatif terhadap jenama kereta China. Masih ramai yang tidak faham, tidak bersetuju dan tidak suka kepada kereta jenama China,” kata Timbalan Pengurus Besar BYD, Du Guozhong. – Nikkei Asia 

Google ads
Back to top button