Buletin

PENGURUS CALTEX BACHANG, MELAKA AMBIL LELAKI GELANDANGAN KERJA BASUH KERETA

COVID-19 membuatkan ramai sekali individu yang terkesan. Malah, bukan sedikit mereka yang kehilangan kerja akhirnya terpaksa menjadi gelandangan.

Berikut adalah kisah pengurus stesen minyak Caltex di Bachang, Melaka yang membantu seorang lelaki gelandangan dengan mengambilnya bekerja sebagai pencuci kereta di stesen minyak kendaliannya.

Terima kasih tuan.

Semoga akan ada ramai lagi individu yang sudi membantu mereka yang dalam kesempitan.

——————————————————————————————————————–

Hari Jumaat pertama tahun 2021 merupakan hari biasa di stesen petrol kecil kami di Melaka. Perniagaan kembali rancak selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sejak Mac 2020 yang menyebabkan kami mengalami kerugian besar.

Seorang lelaki asing datang ke pejabat, bertanyakan kerja kosong. Memandangkan kami mahu menambah pekerja basuh kereta untuk menjana pendapatan, saya beritahu dia boleh mula bekerja Isnin akan datang.

Saya tertanya-tanya. Penampilannya tidak terurus dan jelas sangat berada dalam masalah. Saya tanya, ke mana dia hendak pergi selepas ini? Katanya, dia hendak cari perhentian bas terdekat dan tidur di atas kerusi di sana. Masa itu saya sedar dia ialah seorang gelandangan.

Jadi, saya terus ambil keputusan yang dia patut kerja hari ini juga. Ketika kami mencarikannya sehelai baju syarikat, kami memberinya makan kerana dia kelihatan sangat lapar.

Saya dapat mengenali dia dengan lebih lanjut ketika memberi latihan asas kepadanya. Dia datang dari Malaysia Timur (Sabah/Sarawak) dan bekerja sebagai seorang pemandu lori di Kuala Lumpur selama beberapa tahun.

Syarikat tempat dia bekerja terpaksa memberhentikannya kerana PKP. Kemudian dia dapat kerja sebagai pelayan di sebuah gerai makan, tetapi dibuang kerja juga. Dia asalnya mahu pergi ke Pulau Pinang, namun wang yang ada di dalam dompet hanya cukup untuk membeli tiket bas ke Melaka. Jadi, dia mencuba nasib di Melaka.

Selama beberapa minggu, keadaan menjadi semakin buruk dan dia terpaksa tidur di hentian bas. Susah mendapat makanan dan dia terpaksa berlapar selama beberapa hari. Saya sedih mendengar apa yang dia ceritakan kepada saya.

Waktu rehat makan tengah hari, saya balik ke rumah dan bungkus baju-baju yang sudah tidak dipakai untuk diberi kepadanya. Saya juga menghubungi rakan-rakan yang boleh membantu mencari sebuah bilik sewa untuk dia berteduh buat sementara waktu.  

Secara peribadinya, saya pernah mengalami kesukaran yang sama. Pengalaman hilang segalanya adalah sesuatu yang ramai orang tidak akan faham sepenuhnya. Apatah lagi, hidup dari hari ke hari tanpa tahu adakah anda akan tidur dengan perut kosong atau kenyang di hentian bas yang sejuk.

Mungkin ramai yang bertanya, kenapa kami mengambil risiko ini? Ambil gelandangan bekerja. Adakah dia mempunyai sejarah lampau yang kami patut lebih berhati-hati?

Kami sedar tentang risiko itu. Tetapi kami ingin beri peluang kerana dia memerlukan bantuan. Cara terbaik untuk membantu seorang lelaki atau wanita adalah mengembalikan maruah mereka dengan memberi mereka kerja.    

Kepada mereka yang kerap melalui Caltex Bachang, bantu kami untuk terus bernafas dengan mengisi minyak di sini. Jika anda ingin membantu lelaki ini atau mahu tahu tentang perjalanan hidupnya, cari kami di sini #caltexbachang

Google ads
Back to top button