Buletin

TIDAK BOLEH BELI KERETA BAHARU, PERMINTAAN KERETA TERPAKAI JEPUN MELONJAK DI RUSIA

Kenderaan terpakai dari Jepun yang dieksport ke Rusia melonjak pada tahap tertinggi dalam tempoh sedekad setelah ia dikecualikan dari sekatan berikutan tindakan Moscow menceroboh Ukraine.

Kejayaan Moscow memastikan matawang ruble kukuh, telah meningkatkan selera rakyat Rusia terhadap kenderaan terpakai Jepun yang berkualiti tinggi. Ini membolehkan kereta tersebut dieksport selagi ia berharga di bawah AS$43,400 (RM195K).

Wilayah Toyama yang merupakan hab untuk eksport kenderaan merentasi Laut Jepun ke pelabuhan Vladivostok, Rusia menyaksikan lonjakan jumlah penghantaran kereta tersebut sejak akhir-akhir ini.

Seorang peniaga kereta eksport warga Pakistan di bandar pantai Imizu, Nawab Ali Behlum, 59, berkata “kerja berkurangan” dalam beberapa bulan pertama selepas tentera Rusia menyerang Ukraine pada Februari, namun ia mula menunjukkan peningkatan pada April.

Terdahulu, kerajaan Jepun mengenakan larangan mengeksport barangan mewah ke Rusia termasuk kenderaan berharga lebih AS$42,707 (RM192K), sekali gus membuka pasaran untuk kenderaan terpakai.

Tindakan kerajaan Jepun adalah selaras dengan sekatan Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat ke atas Rusia. Sekiranya kedua-dua pihak berkeras mengenai sekatan, Tokyo mungkin akan mengikutinya kerana sukar untuk meramalkan bilakah perang itu akan berakhir.

Menurut data perdagangan Kementerian Kewangan, Jepun mengeksport kira-kira 17,000 kenderaan terpakai ke Rusia pada Jun, menyumbang hampir separuh daripada jumlah eksport ke negara jiran. Eksport itu bernilai AS$13.5 bilion (RM60.73 bilion), atau 3.5 kali lebih tinggi berbanding Mac.

Pertumbuhan eksport kenderaan terpakai dari Toyama ke Rusia pada Jun melonjak kepada AS$97.5 bilion (RM438 bilion), hampir empat kali ganda daripada Mac.

Selain faktor pencerobohan, kenaikan cukai import pada tahun 2009 membuatkan permintaan kenderaan import terpakai di Rusia turun mendadak.

Tetapi dengan pembuat kereta asing menggantung operasi kilang di Rusia kerana perang di Ukraine, menafikan orang ramai daripada membeli kenderaan baharu. Jadi, rakyat Rusia hanya boleh membeli kereta mewah dari pasaran terpakai kerana nilai ruble yang kukuh.

Google ads
Back to top button