Buletin

PETRONAS SUDAH BOLEH TARIK NAFAS LEGA

Prestasi suram yang dicatatkan PETRONAS tahun lalu dijangka berakhir dengan pemulihan ekonomi global dan domestik. Kenaikan harga minyak dijangka dapat menyokong PETRONAS untuk mencatatkan prestasi kewangan lebih baik tahun ini, kata penganalisis.

HLIB Research dalam notanya menjangkakan perbelanjaan modal syarikat minyak dan gas nasional itu akan meningkat sebanyak 21 peratus kepada RM40 bilion pada tahun 2021. Ia berikutan harga minyak mentah yang tinggi sejak kebelakangan ini dan pelaksanaan vaksin COVID-19.

Cabang penyelidikan Hong Leong Investment Bank itu juga menaikkan unjuran harga minyak Brent bagi tahun kewangan 2021/2022 kepada AS$60/65 setong berbanding AS$55/60 setong sebelum ini.

Perbelanjaan modal yang masih rendah daripada syarikat minyak utama seperti Exxon, Shell dan Chevron akan merendahkan bekalan minyak pada masa depan. Manakala pemulihan ekonomi yang utuh di China dijangka memberi sokongan kepada harga minyak.

Justeru, HLIB Research meningkatkan saranan sektor minyak dan gas kepada ‘Overweight’ susulan asas sektor berkenaan yang kembali positif dengan harga minyak tinggi. Selain komitmen utuh anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya, perbelanjaan modal yang tinggi daripada PETRONAS, pelaksanaan vaksin serta pemulihan kukuh ekonomi China.

Mengulas mengenai pembayaran dividen kepada kerajaan, HLIB Research percaya terdapat tekanan yang lebih kecil terhadap PETRONAS tahun ini jika ekonomi negara pulih lebih pantas daripada dijangkakan.

PETRONAS mencatatkan kerugian bersih RM21 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, berbanding untung bersih RM40.5 bilion tahun sebelumnya.

Namun, jika tidak mengambil kira rosot nilai, ia mencatatkan keuntungan bersih RM10.5 bilion bagi tahun kewangan 2020, berkurangan 78 peratus berbanding RM48.8 bilion tahun sebelumnya.

Ia juga mencatatkan pendapatan yang rendah berjumlah RM178.7 bilion berbanding RM240.3 bilion tahun sebelumnya. Sebahagian besarnya berikutan kesan penurunan mendadak harga minyak mentah yang mana memperlihatkan harga realisasi yang lebih rendah untuk semua produk.

Lembaga Pengarah PETRONAS meluluskan pembayaran dividen sebanyak RM18 bilion kepada kerajaan untuk 2021 seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2021, baru-baru ini.

AmInvestment Bank Bhd dalam notanya pula berkata, walaupun harga minyak mentah Brent meningkat kepada AS$64 setong pada masa ini berbanding unjurannya sekitar AS$50 ke AS$55 setong bagi 2021 dan AS$55 ke AS$60 setong bagi 2022, tinjauan harga komoditi itu kekal tidak menentu.

Bank pelaburan itu berkata, kemerosotan 14 peratus dalam inventori minyak mentah Amerika Syarikat (AS) kepada 463 juta tong pada masa ini berbanding paras tertinggi 541 juta tong pada Jun tahun lalu berikutan cuaca sejuk yang luar biasa di AS menjejaskan pengeluaran serta pengurangan pengeluaran Arab Saudi sebanyak satu juta tong sehari.

Bagaimanapun, pengeluaran syal AS akan meningkat semula apabila cuaca bertambah baik. Sementara kuota Arab Saudi mungkin berakhir dengan persekitaran harga minyak yang lebih baik di tengah-tengah permintaan global yang lemah.

“Sebagai perbandingan, (laporan) Tinjauan Tenaga Jangka Pendek Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) ketika ini menjangkakan harga minyak Brent pada AS$53 setong bagi 2021 dan AS$55 setong bagi 2022,” katanya. – Berita Harian

Google ads
"
"
Back to top button