Buletin

PLUS JANGKA 1.6 JUTA KENDERAAN AKAN GUNA LEBUHRAYA SEPANJANG CUTI CNY

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula 28 Januari sehingga 6 Februari ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan dan panduan buat orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.

Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuh raya sebelum jam 10 pagi.

“Untuk ke destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuh raya selepas jam 1 tengah hari.

“PLUS menggalakkan orang ramai supaya dapat merancang perjalanan mereka berpandukan kepada TTA. Ia bagi mengelakkan kemungkinan kesesakan di lebuh raya apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi terkumpul di satu-satu lokasi di lebuh raya secara serentak,” katanya dalam satu kenyataan pada malam Selasa.

Mengulas lanjut, Zakaria mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan ketika berhenti rehat di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button