Buletin

PROTON CIPTA REKOD JUALAN 2019 DENGAN 100,821 UNIT! TAHNIAH!

PROTON menutup tirai 2019 dengan cemerlang apabila sekali lagi mencatat
pencapaian penting sepanjang tahun 2019. Disember mencatatkan jualan tertinggi iaitu sebanyak 11,117 unit bagi keseluruhan 2019, meningkat sebanyak 112% berbanding bulan yang sama pada 2018.

Jumlah ini bersamaan 20.5% dalam Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) pada bulan Disember dan ini juga merupakan kali pertama Proton menjual lebih daripada 11,000 kereta dalam tempoh sebulan sejak Julai 2014.

Oleh kerana prestasi jualan bulanan yang kukuh, jumlah jualan bagi keseluruhan tahun 2019 berakhir sebanyak 100,821 unit (eksport + domestik), dan ini adalah bersamaan dengan peningkatan sebanyak 55.7% berbanding tahun 2018 dan meletakkan PROTON sebagai pengeluar lima teratas bagi pertumbuhan jualan tertinggi pada tahun 2019 di kalangan jenama automotif di Malaysia.

Pegangan pasaran pula dianggarkan berada pada 16.7%, angka tertinggi sejak 2014.

Model-model Proton menutup 2019 sebagai pilihan paling popular dalam segmen masing-masing dan menjadi faktor kepada pertumbuhan jualan PROTON adalah Proton X70, serta empat model naik taraf yang dilancarkan
pada tahun 2019 dengan kenaikan peratusan jualan sebanyak dua angka.

Proton X70 mendapat jumlah jualan yang memberangsang pada sepanjang tahun pertama ia diperkenalkan dan mencatat rekod sebagai SUV premium terlaris di Malaysia.

X70 tersebut turut mengekalkan kedudukan sebagai yang teratas dalam
segmennya sepanjang tahun dan mengakhiri 2019 dengan jumlah jualan sebanyak 26,331 unit.

Selain itu, jualan Proton Saga juga terus meningkat sejak pelancarannya pada 6 Ogos lalu. Model terkini dalam rangkaian Proton itu sekali lagi menjadi sedan segmen A paling popular dengan jualan sebanyak 3,892 unit pada bulan Disember.

Keseluruhan jualan untuk 2019 adalah sebanyak 38,144 unit, bersamaan peningkatan sebanyak 36%.

Tidak dilupakan, Proton Persona, sedan keluarga segmen B yang lengkap dengan ciri-ciri pintar, mengakhiri bulan Disember dengan jualan sebanyak 3,384 unit. Angka tersebut meletakkan Persona di kedudukan teratas dalam segmennya bagi bulan Disember dan juga merupakan jumlah tertinggi bagi model itu sejak Mac 2012.

Meskipun terdapat beberapa bulan yang mana jualan tidak begitu memberangsangkan iaitu ketika tempoh Proton mula memperkenalkan Persona 2019 berbanding model sebelum itu, jumlah keseluruhan masih meningkat 29% iaitu sebanyak 21,876 unit pada tahun lepas.

“Proton X70 dan Proton Saga menjadi pendorong utama di atas pertumbuhan jualan PROTON yang cemerlang tahun 2019. Kami berasa terharu dengan kedudukan Proton X70 sebagai model paling popular dan ingin berterima kasih kepada semua pelanggan di atas sokongan mereka, walaupun model tersebut merupakan segmen pasaran baharu.

“Bagi Saga pula, dengan mendapat lebih 41,000 tempahan dan mungkin lebih lagi di masa hadapan, ia kekal sebagai produk utama dan merupakan pilihan paling popular dalam kalangan pelanggan tanpa mengira usia, status dan kuasa pembeli, menjadikannya sebuah kereta yang sesuai untuk semua rakyat Malaysia.”

“Ketika jualan Persona menunjukkan peningkatan yang cemerlang sejak dilancarkan, jumlah yang dicatatkan pada bulan Disember membuktikan bahawa kini ramai pembeli di Malaysia telah menyedari mengenai ciri-ciri luar biasa, kemudahan yang praktikal serta nilai yang ditawarkan pada model itu.

“Kami yakin dapat mengekalkan angka tersebut pada tahun
2020, justeru Syarikat kini mempunyai sekurang-kurangnya tiga model yang berada di barisan teratas dalam segmen masing-masing,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Prestasi Proton Iriz dan Exora juga tidak kurang hebatnya. Iriz mencatatkan jualan hampir dua kali ganda untuk tahun ini dan meningkat sebanyak 97% selepas dilancarkan pada bulan April.

Exora versi terbaharu pula yang diperkenalkan pada akhir bulan Mei lalu, menunjukkan pertumbuhan jualan sebanyak 40%.

Catatan jualan yang meningkat secara konsisten itu bermaksud model tersebut menamatkan 2019 sebagai MPV segmen C terbaik di Malaysia, iaitu pencapaian terbaik bagi sebuah model yang telah berada di pasaran lebih sepuluh tahun yang lalu.

“PROTON telah berusaha keras melancarkan empat model yang dinaik taraf pada tahun lepas. Jumlah jualan yang dicapai membuktikan kami berada di landasan yang tepat dan keputusan untuk memperkenalkan empat model yang lengkap dengan ciri-ciri pintar pada tahun 2019 diterima baik oleh pembeli.

“Pada masa yang sama, kami juga telah menumpukan pada peningkatan kualiti produk dan pada akhir tahun 2019, skor kualiti GCPA audit dalaman adalah sebanyak 1190 mata, peningkatan lebih daripada enam kali ganda berbanding tahun 2017 semasa Proton mula menggunakan ukuran kualiti tersebut.

“Ini juga merupakan skor terbaik berbanding skor Geely yang terkini, membuktikan kejayaan usaha yang diberikan oleh kami,” tambah Dr Li Chunrong.

Google ads
Back to top button