
PROTON LANCAR RANGKAIAN STAMPING BAHARU DI TANJONG MALIM, LABUR RM253 JUTA
PROTON baru-baru ini telah mengadakan upacara pecah tanah untuk tambahan baharu ke fasiliti stamping di Tanjong Malim.
Rangkaian baharu dikenali sebagai stamping E dan F ini akan meningkatkan jumlah pengeluarannya di PROTON Tanjong Malim dan bersedia untuk memindahkan pengeluaran Proton Saga dari Shah Alam menjelang tahun 2026.
Sejumlah RM253 juta telah diperuntukkan untuk projek ini, yang dijangka menampung peningkatan jumlah pengeluaran keseluruhan serta model-model baharu yang akan diperkenalkan dalam masa terdekat.
Ini adalah penambahan kedua yang dirancang untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran alat ganti PROTON selepas perasmian kilang rangkaian stamping D pada 14 Mac 2023 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong berkata, “Penambahan rangkaian stamping E dan F adalah penting bagi rancangan pengembangan volum pengeluaran masa depan.”
“Sepanjang tahun 2023 sehingga Jun 2024, kilang Tanjong Malim telah menghasilkan sebanyak 6,067,064 komponen, di mana 395,211 daripadanya adalah dari rangkaian D,” katanya.
“Jumlah ini bakal berkembang dengan pesat apabila pengeluaran untuk Proton Saga dipindahkan ke sini pada tahun 2026.”
Rangkaian baharu E mempunyai proses pengecapan empat peringkat dengan mesin pengecapan 1600 tan serta tiga mesin 800 tan, manakala rangkaian F akan menggunakan proses pengecapan lima peringkat dengan mesin pengecapan 2000 tan, 1200 tan, dan tiga mesin dengan daya pengecap 1000 tan.
Selain mesin pengecapan, robot juga akan digunakan untuk memindahkan alat ganti antara stesen kerja, manakala teknologi IR 4.0 dilaksanakan dengan menggunakan data secara langsung serta pembelajaran mesin untuk meningkatkan kualiti alat ganti yang dihasilkan.
Selain itu, rangkaian baharu ini turut mengurangkan lagi kebergantungan PROTON terhadap alat ganti import untuk model-modelnya.
Pada masa yang sama, pelaburan ini berupaya meningkatkan kecekapan sedia ada di Tanjong Malim dan akan menyumbang kepada pembangunan berterusan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV).
- BACA: CHEVROLET CORVETTE ZR1 – 1064 KUASA KUDA & 1123NM. V8 PALING POWER DARI US.
- BACA: RASMI: ROYAL ENFIELD HIMALAYAN 450 LANCAR DI MALAYSIA – DARI RM31,100
- BACA: LIMA BUAH TOYOTA GR YARIS RALLY1 AKAN BERAKSI DI FINLAND DENGAN SAMI PAJARI AKAN MEMBUAT DEBUT
- BACA: CHERY TIGGO 7 – JUALAN AMAL CHERY. ADA UNTUNG KE NI?