Artikel Pilihan

PROTON SAGA LIMOUSINE – SALAH SATU KEBANGGAAN NEGARA SATU KETIKA DAHULU

Ketika mula diperkenalkan satu ketika dahulu ramai yang merasa bangga dengan kelahiran Proton sebagai syarikat pengeluar kereta pertama negara. Tapi sudah tentu ada juga yang memandang sebelah mata dengan alasan manakan sama kualiti kereta tempatan jika dibandingkan dengan jenama antarabangsa.

Namun Proton menjawab balik kritikan dengan menghasilkan kereta-kereta mampu milik tapi dengan kualiti yang setanding dengan model import hasil kerjasama dengan syarikat Mitsubishi dari Jepun.

Ramai yang mula buka mata dan ini menjadikan Proton jenama yang makin popular di jalan raya Malaysia. Populariti Proton membuatkan EON ataupun Edaran Otomobil Nasional, pengedar Proton pada ketika itu mengejutkan ramai pihak dengan memperkenalkan Proton Executive dan Proton Limousine. Ya, limousine tuan-tuan, sepertimana yang biasa kita lihat digunakan oleh taikun-taikun dalam dilem Hollywood.

Walaupun bergelar limousine ia masih dijual dengan harga kereta eksekutif biasa dan jauh lebih murah daripada kereta-kereta orang kaya keluaran Mecerdes-Benz dan BMW ketika itu.

Saga dan Iswara limousine ditawarkan dengan tiga kepanjangan yang berbeza, 16, 17 dan 18 kaki. Kali ini kembara Mekanika menemukan kami dengan sebuah model rare ini. Inilah Proton Saga limousine keluaran tahun 1991 dengan panjang 16 kaki.

Saga limousine merah menyala ini asalnya milik sebuah syarikat travel & tour yang beroperasi di Lapangan Antarabangsa Subang dan digunakan untuk kegunaan VVIP macam Abang Japar.

Memang dulu banyak syarikat pengangkutan yang menggunakan limousine keluaran Proton ini untuk kegunaan golongan VVIP dan mereka yang berduit. Antaranya ialah syarikat Limora dan SKMK (Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan).

Kini ia bukan lagi sebuah limousine standard yang dihasilkan oleh EON tapi sudah ditransformasi agar lebih berkuasa dan up to date. Enjin asal 4G15P 1.5 liter yang sudah agak berusia telah digantikan dengan enjin dari Mitsubishi Galant VR4 NA yang lebih bertenaga.

Enjin NA menjadi pilihan kerana ia lebih mudah diselenggara berbanding sepupunya yang berkuasa turbo yang lebih bertenaga tapi banyak kerenah. Ruang enjin kereta ini memang antara paling kemas untuk kereta yang sebaya dengannya. Sikit pun tak ada kesan karat ataupun mintak hitam. Tabik ah.

Kalau dah tukar enjin mana boleh pakasi sistem brek asal. Jadi kali ini limousine ini telah dinaik taraf menggunakan angkup Mitsubishi GTO di hadapan dan angkup Perdana di bahagian belakang. Model Saga asal cuma dipasang dengan brek gelendong di bahagian belakang.

Dah pakai brek mahal kena la tunjuk sikit jadi pemilik limousine ini bertindak bijak kerana memilih sport rim standard EVO 7 yang lebih ringan dan berjaya menyerlahkan imej baharu Saga ini. Dah namanya rim EVO 7 manakan sama dengan standard rim keluaran kilang kan? Kan?

Bahagian luaran turut menerima sentuhan baharu dengan penggunaan gril transparent yang boleh dikatakan agak rare dan bernilai sekitar RM400-800 sekarang. Lampu hadapan pun ditukar kepada jenis projector dengan nilai pasaran sekarang sekitar RM800-1000. Fuh mahal jugak nak main Proton lama ni sekarang. Baik abang pakai Alza standard pekak je lah.

Dah namanya limousine mana boleh tak ada sunroof. Korang tengoklah orang-orang kaya dalam filem dulu. Semua hisap cerut walaupun kadang-kadang tak berasap pun jadi time nak hembus asap kenalah buka sunroof. Saga ini pun tidak terkecuali dan mempunyai bukan satu tapi dua sunroof!

Dashboard Saga lama korang tahu la macam mana kan? Ada dua meter besar untuk kelajuan dan RPM dan dua lagi meter kecil kiri kanan untuk bacaan suhu air dan takat bahan api. Boring kan? Ha, limo ni lain sikit sebab pakai meter digital. Dah macam Knight Rider kau!

Papan pemukanya pula adalah versi UK spec yang memang berbeza dari Saga ketua kampung Kuchelong. Pemiliknya memilih untuk mewarnakan papan pemuka ini dengan dua warna berbeza membuatkan ia kelihatan eksklusif.

Bukan hanya papan pemuka tetapi hampir keseluruhan bahagian dalaman diberi tema dua tona menjadikan kereta ini nampak lebih mewah. Ala kereta Eropah gitu. Warna pun gabungan maroon dan beige.

Akhir sekali kereta ini dilengkapkan dengan roof box jenama Mont Blanc yang juga dilayangkan dengan warna merah. Hmm macam mana nak tengok langit melalui sunroof tu? Tapi apa pun roof box ni memang penting untuk perjalanan balik kampung. Boleh buat isi durian boh. Lebih-lebih lagi kalau korang jenis mudah mabuk bau durian macam abang Japar. Muka je macam hero kampung tapi pening bau durian. Ceh.

Satu lagi sebagai limousine keluaran Proton, antenna berbentuk boomerang tu memang dikekalkan di bahagian belakang. Rare ni weh. Cari la kat kedai potong memang tak jumpa la.

Google ads
Back to top button