Buletin

PROTON SAGA RAI ULANG TAHUN KE-37. INI 9 FAKTA MENARIK TENTANG SAGA

9 Julai ialah hari lahir kereta pertama Malaysia, Proton Saga. Pada tahun 2022, kami dengan bangganya menyambut ulang tahunnya yang ke-37 kerana ia masih meneruskan tugasnya dengan berkhidmat untuk beribu-ribu pemandu di Malaysia dan luar negara.

Dengan sejarah yang begitu panjang dan mendalam, terdapat banyak fakta tentang lagenda PROTON yang mungkin anda tidak tahu. Jadi, sempena hari lahirnya pada 9 Julai, berikut adalah sembilan fakta menarik tentang Proton Saga!

1. Kita semua tahu Proton Saga telah dilancarkan pada 9 Julai 1985. Namun, tidak ramai yang tahu tarikh itu dipilih sempena hari lahir Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga merupakan pengasas PROTON.

2. Nama Saga telah dipilih daripada satu pertandingan iaitu “Peraduan Menamakan Kereta Kebangsaan” yang menerima 102,823 penyertaan. Walaupun nama Saga diambil daripada biji merah keras pokok Saga, ia juga merupakan akronim untuk Safety, Achievement, Greatness dan Ability.

3. 36 prototaip telah direka sebelum Proton Saga pertama diluluskan oleh Proton dan Mitsubishi Motors Corporation (MMC) pada tahun 1984.

4. 1.95 juta unit Proton Saga telah dijual sejak 1985, menjadikannya kereta terlaris dalam sejarah automotif Malaysia.

5. Jika anda menyusun 1.95 juta unit Proton Saga yang terjual, rantaian itu akan menempuh jarak lebih 8,000km, hampir sama dengan jarak antara Malaysia dan Ukraine.

6. Proton Saga telah dieksport ke sejumlah 28 buah negara di seluruh dunia. Bangladesh merupakan pasaran eksport pertama pada tahun 1986, diikuti oleh United Kingdom pada tahun 1989.

7. Proton Saga ialah model eksport PROTON paling popular dengan lebih 59,000 unit terjual.

8. Proton Saga telah meraih lebih 22 anugerah daripada pelbagai saluran media sejak 1988. Ia juga terlibat dalam sukan permotoran sejurus selepas ia dilancarkan. Kejayaan terbarunya ialah menduduki tempat kedua dalam perlumbaan 1000km Sepang 2019 dimenangi oleh Proton Iriz yang dikendalikan oleh R3, bahagian permotoran Proton.

9. Sebuah Proton Saga berwarna merah adalah kereta rasmi pertama yang dipandu di atas Jambatan Pulau Pinang. Pemandu kereta itu ialah bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Google ads
Back to top button