PROTOTAIP SUBARU WRX S4 STI SPORT♯ BAKAL MUNCUL DI TOKYO AUTO SALON 2024
Subaru baru-baru ini mengumumkan barisan model untuk Tokyo Auto Salon 2024 dan paling menarik ialah prototaip Subaru WRX S4 STI Sport♯.
Menurut laporan, model ini dijangka dijual dalam pengeluaran terhad, dan kemungkinan besar akan tersedia di pasaran Jepun sahaja.
Menerusi imej disiarkan, prototaip ini berdasarkan Subaru WRX S4 STI Sport R EX yang merupakan tahap trim perdana WRX di Jepun.
Walau bagaimanapun, ia kelihatan sedikit berbeza terutama sekali dengan adanya rim baharu BBS, spoiler baharu, lambang WRX, S4, dan Symmetrical AWD dikemaskan dalam warna hitam, bukannya krom.
Selain itu, Subaru berjanji bahawa WRX S4 STI Sport♯, akan menawarkan “pengendalian yang dipertingkatkan” dan “pengalaman pemanduan premium”.
Dari segi kuasa, ia dijangka tiada perubahan kerana semua versi JDM-Spec Subaru WRX dipasang dengan nadi empat silinder 2.4 liter pengecas turbo yang sama.
Nadi berkenaan berupaya menghasilkan 271hp dan 375Nm tork dan dipadankan transmisi automatik CVT ke keempat-empat roda dengan bantuan sistem AWD.
Mengenai perincian lain, kita hanya akan mengetahuinya pada Tokyo Auto Salon 2024, di mana ia bakal diadakan 12 dan 14 Januari di Makuhari Messe di Chiba.