
RALLY SHAKEDOWN 2022 – SATU LAGI BUKTI BAHAWA SUKAN RALI TIDAK AKAN BERKUBUR
Walaupun sukan rali ini tidaklah ramai pengikutnya berbanding cabang sukan permotoran yang lain namun hakikatnya sukan rali ini tidak akan pernah berkubur. Buktinya, pada hujung minggu lepas, telah berlangsungnya Rally Shakedown 2022 anjuran One Motorsport / Race Rally Garage bertempat di Tanamera Experience.
Jenama One Motorsport barangkali bukanlah asing dalam dunia rali tempatan. Mereka adalah pasukan juara dalam saingan Malaysian Rally Championship (MRC) Manakala Race Rally Garage pula semakin dikenali sebagai pusat servis kenderaan yang handal. Dan apabila keduanya bergabung untuk menganjurkan acara rali, sudah tentu ianya merupakan acara yang cukup mengujakan.

Ternyata penggiat rali tempatan barangkali sudah boleh menarik nafas lega apabila Rally Shakedown 2022 ini sekali lagi diadakan di Tanamera Experience, sebuah tempat permainan khas untuk geng rali. Sudah tentu lokasi ini dilihat cukup ideal untuk dijadikan sebagai tapak permainan tetap buat mereka. Lokasinya pun hanya di Sg Buloh. Dan menurut kata Chepot lagi, bayaran sewa tapaknya lebih murah berbanding lokasi rali yang satu lagi.
Bertambah menarik Rally Shakedown ini turut berlangsung serentak dengan acara Klass Rally 2022. Dan para peserta boleh melihat dengan lebih dekat lagi bagaimana suasana dan keadaan di service park. Mengetahui akan pasukan One Motorsport, mereka turun di lokasi bagaikan hendak bertanding dalam MRC dengan Krew yang hampir lengkap.
Seperti biasa, untuk acara seperti ini, Chepot merupakan antara individu yang paling sibuk. Beliau jugalah yang melakar laluan trek sepanjang 2 km untuk sesi Shakedown kali ini. Dan bagaikan memahami, Chepot mereka bentuk laluan trek agar mempunyai laluan lurus yang panjang agar pemandu dapat menekan pedal minyak hingga ke lantai untuk membolehkan mereka mencatat masa terpantas di samping dapat menguji kemanpuan kereta rali masing – masing.

Dan kehadiran kereta rali kali ini juga tidak menghampakan. Seperti biasa, Subaru GC8 dan Proton Satria Neo milik One Motorsport bersedia. Begitu juga dengan pasukan Purnama Rally Team yang hadir bersama tiga buah kereta diketuai Mitsubishi Evo 7 RS, Honda Integra DC2 dan juga Proton Satria.
Bekas rakan sepasukan Chepot, Shah Bandi yang juga merupakan seorang tukang cat kereta terkemuka yang terletak di Taman Boltan Sri Gombak itu turut hadir bersama sebuah lagi Subaru GC8 berwarna gelap dengan pelekat CarLead Motorsports tertera di badan kereta. Nama pasukan baharu barangkali.

Dan buat peminat King, usah khuatir bahawa sebuah kereta rali milik Zag Speed Rally Team turut hadir bagi menguji kelajuan dan kelasakan. Jangan ingat King hanya power di jalanraya sahaja, di trek rali pun power juga ok. Menurut Chepot lagi, besar kemungkinan akan ada perlumbaan MRC selepas Raya nanti. Cumanya tak tahulah Raya apa kan. Tapi yang pasti, Chepot sememangnya telah bersedia dengan perancangan untuk mengadakan acara beliau sendiri lagi. Apa pun, kita doakan yang baik baik buat dunia rali tempatan.
Kredit Foto : FB AlphaD’image
BACA : ADRENALINE IMPACT – ONE MOTORSPORTS BDRT RALLY SHAKEDOWN