Buletin

SAMAN PENJUAL MODEL GT, FORD DILABEL BULI PELANGGAN MEREKA SENDIRI

Ford GT merupakan salah sebuah supercar yang menjadi impian penggemar kereta sejak kemunculannya pada tahun 2017. Proses pemilikan jentera itu bukanlah mudah seperti membeli kereta lain.

Ford mengekalkan tahap eksklusivitinya dengan memilih siapa yang layak untuk membali dan memandunya. Mereka mahu memastikan semua pemilik menjadi duta yang membawa jenama supercar ini.

Berikutan jumlah dan akses pemilikan Ford GT yang terhad, ada segelintir pemilik cuba membuat untung daripadanya.

Mereka dikatakan menjual semula model GT masing-masing dengan harga yang jauh lebih lebih tinggi. Ford nyata memandang serius perkara ini.

Menurut sumber berita dari Kanada, pengeluar kereta tersebut setakat ini telah menyaman beberapa pemilik yang terlibat dengan konspirasi tersebut. Malah,  pembelian kenderaan daripada pemilik ini didakwa tidak sah kerana mereka menjualnya semula dalam tempoh yang singkat.

Dedah Ford, oportunis-oportunis ini membeli kereta tersebut pada harga AS$520,000 (RM2.18 juta), kemudian menjualnya lebih 2 kali ganda daripada harga asal. Tindakan tersebut melanggar perjanjian jual beli kerana pembeli tidak boleh menjual kereta yang dibeli dalam tempoh 24 bulan dari tarikh pembelian.

Ford mengesan aktiviti ini selepas menemui sebuah Ford GT yang ingin dijual di Eropah. Mereka juga berjaya mengesan bakal pembelinya yang dikatakan dari Hong Kong. Namun, proses jual beli tersebut dihalang transaksinya berikutan Ford mengusulkan tuntutan kes ini ke mahkamah di Kanada.

Dari sudut pandang lain, Ford sebagai syarikat korporat global dianggap membuli pelanggannya yang hanya mencari alternatif lain bagi memiliki produk mereka.

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button