Buletin

SEDAP B*D*H! LEPAS TU LANGGAR PAIP BESI. HARAP YANG TERLIBAT BAIK-BAIK SAHAJA

Sejak petang tadi, tular satu klip videp yang menunjukkan seorang lelaki memandu uji sebuah Mercedes-Benz E43 AMG sebelum terlibat dalam kemalangan. 

Dalam klip video berdurasi sekitar 0:23 saat itu, jelas kedengaran pemandu tersebut mula memecut laju di satu laluan lurus sambil berkata, “Sedap bodoh,” beberapa kali sambil ketawa kecil dan dibalas oleh penumpang yang tidak jelas apa yang dicakapnya. 

Lelaki itu kemudian dilihat memperlahankan sedikit kereta dan mula membelok, sebelum terbabas dan melanggar satu paip besi yang besar di tepi jalan. 

Beberapa keping foto yang dikongsi oleh netizen menunjukkan kereta berwarna kelabu itu mengalami kerosakan yang agak teruk pada bahagian hadapan. Malah beg udara pada bahagian penumpang hadapan juga diaktifkan.

Kelihatan juga sebuah ambulans yang pastinya datang untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital. 

Kereta itu dikatakan sebuah model recond tahun 2017 atau 2018 yang dipasang dengan Night Package. Model E43 didakwa digerakkan oleh enjin berkuasa 401hp. Memang sangat power untuk sesiapa sahaja yang tidak biasa memandu kereta berkuasa tinggi. 

Kemalangan itu menerima banyak reaksi daripada netizen. Ramai yang tertanya-tanya adakah kereta yang masih belum didaftarkan dan hanya menggunakan trade plate sudah diinsuranskan. Ada yang kata ada insurans dan ada pula yang mendakwa sebaliknya.

Ketika kebanyakan mengecam dan mentertawakan tindakan pemandu tersebut kerana memandu secara berbahaya serta over confident, saya suka dan ingin berkongsi komen bernas yang ditulis oleh Azad Jasmi di laman Facebook miliknya. 

Jom baca untuk renungan bersama. 

————————————————————————————————————

Iktibar dari Insiden Untuk Pemandu

Azad Jasmi | 12 Feb 2021

1. Sedikit iktibar yang boleh kita pelajari dan ambil dari insiden ini. Saya menerima video ini dan perkongsian ini tiada niat untuk memburukkan jenama kenderaan atau pun pemandu. Sekadar untuk sama-sama kita memberikan peringatan. (Tanpa Prejudis).

2. Kemalangan ialah sesuatu yang tidak pernah dipinta oleh sesiapa. Jadi penulisan kecil kali ini bukanlah ingin mencari salah laku pemandu atau sesiapa yang terlibat tetapi sekadar untuk menjadi peringatan buat saya sendiri serta pembaca. 

3. Tiada prejudis buat mana-mana pemandu. Kita tidak tahu punca sebenar berlakunya kemalangan dan artikel kecil ini hanya untuk panduan sahaja. 

4. Kenderaan yang hebat dengan sistem brek dan suspensi mahal bukanlah “lesen” untuk kita memandu laju di atas jalan raya. Lebih-lebih lagi di kawasan perumahan, pusat perniagaan atau jalan-jalan yang ada banyak kenderaan.

5. Jangan sesekali kita “underestimate” kekuatan kenderaan dan “overestimate” keupayaan diri. 

6. “Aku dah ada lesen dekat 20 tahun lebih, aku pernah masuk lumba, aku tahu sistem kereta aku, aku pernah itu ini, aku biasa bawa sports car, aku dah masuk kelas defensive driving, aku selalu masuk race.”. – Ini semua bukan lesen membolehkan kita pandu laju di jalan raya sewenang-wenangnya.

Kata-kata ini bukanlah satu validasi yang melayakkan kita memandu dengan laju.

7. Sikap diri, ego diri, adab pemanduan itu bukan berdasarkan berapa lama anda dapat lesen atau berapa mahal sistem kenderaan kita. Sikap ini perlu dibentuk dan jangan jadikan jalan raya untuk tempat nak “test power”, nak jadikan tempat nak suruh kawan rasa kereta yang baru ditala, nak test sistem brek dan sebagainya

8. Kita menekan minyak dengan laju dan akhirnya tahap brek anda itu tidak terlaksana dengan baik, bukan kerana brake pads itu salah tapi tahap ilmu pemandu dan sikap pemandu yang memilih lapangan yang salah untuk “test power”. Ini kerap kali berlaku.

9. Ramai menganggap suspensi sport dan rendah, tayar lebar, tukar rim sport, tukar “brake pads berprestasi tinggi” dah membolehkan anda memandu laju. Dan mereka rasa kenderaan mereka ini dah “layak” untuk dipandu laju.

10. Tingkatkan ilmu pemanduan dan ilmu pemanduan ini bukan sahaja skil fizikal mengawal kenderaan tetapi skil kematangan diri untuk mengawal emosi agar tidak mudah terpengaruh dengan “ajakan” kenderaan lain atau mudah teruja dengan kenderaan lain di atas jalan raya. Kematangan mengawal emosi juga ilmu pemanduan yang jarang diambil berat.

11. Sebelum memandu, elok berdoa dan bertawakkal. Buangkan rasa ego di jalan raya.

12.  Tidak kira jenama kenderaan apa atau jenama tayar apa pun, atau jenama brek, ini tidak boleh “Defy the law of physics” atau menentang lumrah fizik apabila hujan. Elok perlahankan kenderaan. 

13  Sekali lagi peringatan, jalan raya bukan tempat berlumba atau tempat nak pamerkan kelajuan kenderaan atau kemahiran pemandu kerana ia boleh mencederakan orang lain jika berlaku kemalangan.

14. Jika kita memandu kenderaan yang belum pernah kita pandu, dapatkan dahulu “feel” kekuatan engine, tahu keupayaan brek serta bagaimana response steering serta “behaviour” kenderaan tersebut. Elakkan terus nak uji “power” jika kita memandu uji kenderaan baru atau mana mana kenderaan yang belum pernah kita cuba sekalipun kenderaan rakan-rakan kerana “feedback” kenderaan itu mungkin di luar jangkaan kita dan diluar kemampuan skil kita.

Yang baik dari Allah dan buruk itu dari saya dan ini juga peringatan buat diri saya.

Safety First, Last & Always.

————————————————————————————————————

Sama-samalah kita menjadi pemandu yang berhemah. Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua. 

Google ads
Back to top button