Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG “LAUNCH CONTROL”

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas satu topik yang selalu disebut-sebut. Namun ramai yang tidak tahu apa fungsinya. Topik yang akan dibincangkan hari ini adalah tentang sistem “Launch Control”

Sebenarnya ramai yang keliru tentang peranan “Launch Control” dan juga “Traction Control”. Walaupun fungsi asas kedua-duanya adalah sama iaitu untuk mengelakkan daripada “Wheelspin”, namun matlamat penggunaan kedua-dua sistem ini adalah berbeza sama sekali.

Apa itu “Launch Control” ?

“Launch Control” merupakan satu sistem bantuan elektronik bertujuan untuk membantu kenderaan memecut dari keadaan pegun dengan efisyen. Maksud dengan efisyen disini adalah tiada pembaziran kuasa akibat “Wheelspin” disebabkan kuasa yang dihamburkan diluar kawalan dan “Underpower” disebabkan oleh kuasa tidak dapat dijana secukupnya.

Kawal

Ini adalah kata kuncinya. Sebab itu sistem ini dinamakan “Launch Control”.

Bagaimana sistem ini mengawal kuasa ?

Umum mengetahui kebanyakan kenderaan berprestasi tinggi dilengkapi dengan sistem ini. Sebagai contoh Nissan GTR, Mercedes AMG, BMW M dan banyak lagi. Ada juga “Tuner” yang boleh menambah sistem ini pada kenderaan biasa sama ada melalui proses penukaran ECU dan proses “Rechip/Remap”

Secara asasnya, sistem ini akan mengawal putaran enjin diantara 3,000-3,500rpm bagi membolehkan kuasa dijana dengan cukup namun tidak berlebihan. Bagi kenderaan dengan sistem “Dual-Clutch”, Sistem ini akan mengawal pergerakan “Clutch” yang berada dalam keadaan bersedia ketika sistem diaktifkan.

Mazda CX30

Disini pedal brek berfungsi sebagai pemicu utama. Berikut merupakan turutan asas untuk mengaktifkan sistem “Launch Control”. (Setiap pengeluar mempunyai turutan berbeza untuk mengaktifkan sistem ini)

•Tekan pedal brek sepenuhnya, tekan pedal minyak sepenuhnya.

•Enjin akan mengaum sehingga paras 3,500rpm. Pom pom bunyi dia.

•”Clutch” dalam keadaan bersedia.

•Lepaskan pedal brek.

•Kenderaan anda akan memecut dengan jayanya.

Mungkin ada yang terfikir, setakat macam ni je ia berfungsi baik kawal sendiri. Memang boleh kawal sendiri, lagi-lagi bagi kenderaan yang dilengkapi dengan sistem transmisi manual. Namun, situasi yang acap kali berlaku adalah pemandu gagal mengawal “Timing” klac dilepaskan. Hal ini akan menyebabkan unit klac serta transmisi terbeban serta akan menyebabkan kehausan melampau. Itu belum cerita bab “Over-Rev” yang membuatkan kepala silinder terangkat.

Ramai juga yang terlepas pandang yang sistem ini berfungsi bersama Sistem ABS dimana “Wheel Speed Sensor” akan menilai tahap pusingan tayar dan sekiranya tayar berpusing melebihi had yang ditetapkan, kuasa enjin akan dihadkan bagi mengimbangi kuasa yang dihamburkan.

Seperti yang saya sebutkan diatas, sistem ini berfungsi sebagai bantuan kawalan secara elektronik. Sekaligus, hal-hal tidak diingini seperti “Over-Rev”, “Wheelspin”, “Lag”, dan “Jump” dapat dielakkan. Lebih-lebih lagi ketika bertanding. Malu oi kalau benda-benda ni terjadi.

Sistem ini hanya berfungsi ketika “Launch” sahaja. Ketika kenderaan mula bergerak, sistem ini akan berhenti berfungsi dengan sendirinya. Selebihnya hanya bergantung kepada kuasa enjin, kawalan steering dan kecekapan pemandu menukar gear.

Dimana kebiasaannya kita akan nampak penggunaan sistem “Launch Control” ini ?

Di kejohanan “Drag” semestinya.

Akhir kata, sebagai pemilik kenderaan, bermacam-macam sistem yang boleh ditambah pada kenderaan anda. Namun begitu, anda sendiri perlulah jelas tentang fungsi serta implikasi sistem-sistem ini. Begitu juga tujuan sistem-sistem ini ditambah.

Sebagai contoh,

Kereta pemanduan harian ditambah dengan “Launch Control” serta “Antilag”, tak ke pelik tu ? Sebaiknya bersembanglah dengan “Tuner” atau mekanik yang anda kenal bagi mendapatkan nasihat terbaik. Nak main “Drag” talaannya lain. Nak main “Drift” talaannya lain. Nak main “Track” talaannya lain. Nak main “Rally” talaannya lain. Tiada talaan yang sempurna untuk semua situasi.

Jikalau boleh, pastinya kita akan melihat Daigo Saito membawa jentera F1 bagi bersaing di kejohanan Formula D, dan mungkin kita akan melihat Lewis Hamilton membawa jentera JZX100 berentap di kejohanan Formula One. Ahhh. Kan pelik tu.

Tags
Google ads
Back to top button