Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG NISSAN Z32 300ZX. MODEL NISSAN YANG RARE

Nissan merupakan sebuah jenama yang mempunyai banyak barisan model jentera berprestasi tinggi. Mungkin ramai yang celik akan kewujudan keluarga GTR sahaja. Namun Nissan mempunyai 2 lagi keluarga jentera berprestasi tinggi iaitu keluarga Silvia dan keluarga Z.

Hari ini kita ingin mengupas tentang sebuah jentera yang wujud di Malaysia, cuma tidak banyak. Jentera yang dimaksudkan adalah jentera dari keluarga Z generasi ke-4 iaitu Nissan 300ZX.

Apa yang menarik tentang jentera ini ? Kita bermula dengan sejarah.

Sejarah pembangunan jentera ini bermula pada tahun 1984 apabila Nissan meminta Toshio Yamashita membuat rekaan baru untuk Nissan Z32 bagi menggantikan model Nissan Z31. Bukan itu sahaja, pihak Nissan juga meminta beliau membuat rekaan bagi model 180SX. Yang menariknya, Toshio Yamashita sebenarnya bukanlah pakar dalam merekabentuk jentera, hal ini kerana beliau merupakan seorang arkitek dan berpengalaman di dalam “Industrial Design”

Namun kalau dah rezeki tidak kemana, beliau bersama-sama seorang lagi pereka iaitu Isao Sono menyerahkan pelan akhir rekaan Nissan Z32 pada tahun 1986 dan diluluskan oleh pihak pengurusan tertinggi Nissan. Apa jadi dengan rekaan 180SX ? Diorang tak buat pun. Tak berminat katanya. Mereka berdua menyerahkan sepenuh jiwa dan raga terhadap rekaan Z32 300ZX ini.

Untuk menjayakan rekaan Z32 ini, mereka berdua mengambil ilham rekaan Porsche 944 dan Chevrolet Corvette C4. Rekaan diperhalusi dengan menggunakan “Supercomputer Cray-2” menggunakan “CAD Software”. Hal ini menjadikan jentera ini menjadi jentera produksi Nissan yang pertama direka menggunakan teknik ini.

Dah habis bab sejarah. Sekarang kita pergi kepada bahagian teknikal.

Rekaan jentera ini terbahagi kepada 3 iaitu :-

  • T-Top (Targa)
  • Convertible
  • Hard Top

Kemudian, kapasiti penumpang terbahagi kepada 2 iaitu :-

  • 2+2
  • 2+0

Kenapa 2+2 dan bukannya 4 ? Hal ini kerana tempat duduk penumpang di belakang adalah tidak ergonomik sama sekali bagi penumpang dewasa kerana ruangnya yang sangat sempit. Hanya sesuai untuk mereka yang bertubuh kecil ataupun kanak-kanak. Bagi varian 2+0 pula, hanya dua tempat duduk disediakan sekaligus menyediakan ruang kargo yang lebih luas di bahagian belakang.

Rekaan Nissan Z32 300ZX ini kita lihat seakan-akan Porsche 944 dan Chevrolet Corvette C4. Hal ini kerana pihak Nissan menitikberatkan aspek aerodinamik. Bukan itu sahaja, rekaan lampu ikonik jentera ini juga condong 60 darjah. Pertama kali dibuat dan rekaan ini dipinjam secara berlesen oleh pihak Lamborghini bagi produksi unit Diablo Facelift mereka. Senang cakap, lampu hadapan Nissan Z32 300ZX dan Lamborghini Diablo Facelift adalah sama.

Masih lagi di episod rekaan, penggunaan “Frameless Door” menjadikan jentera ini sangat unik dan mendahului zaman. Bertambah unit apabila unit “Seat Belt” diletakkan pada kedua-dua belah pintu. Berunik-unik.

Episod terakhir rekaan, kali ini kita pergi kepada rekaan dalaman. Rekaan dalaman jentera ini sememangnya mendahului zaman. Sofistikated dan mewah. Yang paling menarik adalah kedudukan susunan butang-butang kawalan yang terletak di kiri dan kanan meter. Hal ini menjadikan bahagian tengah oapan pemuka menjadi kemas dengan hanya ada “Aircond Vent”, radio dan jam sahaja.

Seterusnya, jentera ini menerima sistem kawalan suhu kabin secara automatik. “Auto Aircond” omputeh kata. Bukan itu sahaja, ia juga menerima sistem “Auto Cruise”. Memang selesa untuk perjalanan jarak jauh.

Kemasan dalaman juga menerima sentuhan kulit sebagai ciri asas mengikut varian model. Nissan Z32 300ZX ini dikategorikan sebagai kereta sukan ye Tuan-Tuan. Walaupun kereta sukan, ia tidak mengenepikan aspek ergonomik, keselesaan serta ciri mewah yang diperlukan oleh pemandu.

Sekarang kita pergi kepada aspek pengendalian.

Model terdahulu iaitu Nissan Z31 300ZX menerima kritikan tentang aspek pengendaliannya. Pengkritik memberi komen dimana jentera tersebut cenderung untuk membuang ketika mengambil selekoh tajam dalam kelajuan tinggi.

Sistem pengendalian jentera Z32 300ZX telah dirombak dan ditambah baik dengan penggunaan set suspensi jenis “Double Wishbone” dan “Multilink” pada bahagian belakang. Bukan itu sahaja, ia menerima set penyerap hentak boleh laras dan dikawal secara elektronik melalui butang yang ada di kokpit. Terdapat 2 pilihan di butang tersebut iaitu “Sport” dan “Touring”. Boleh keras, boleh lembut. Ikut citarasa anda.

Bagi varian “Twin Turbo”, ia menerima satu sistem “Four Wheel Steering” yang dipanggil “High Capacity Actively Controlled Steering” atau lebih dikenali sebagai “SUPER HICAS”. Sistem ini lah yang digunapakai oleh barisan model Nissan Skyline GTR. Nak dijadikan cerita, pada tahun 1991 telah diadakan pertandingan bagi menguji pengendelian jentera. Antara jentera yang mengambil bahagian adalah Porsche 944, Chevrolet Corvette C4, Mazda Miata, Toyota MR2 dan Honda NSX. Nissan Z32 300ZX berjaya mengungguli tempat kedua di belakang Honda NSX. Porsche pun dia tapau Tuan-Tuan.

Cornering tajam 160km/h tak goyang.

Seterusnya kita pergi kepada nadi dan jantung jentera ini iaitu enjin. Jentera ini menerima 2 jenis enjin iaitu :-

  • VG30DE V6
  • VG30DETT V6

Kita mulakan dengan VG30DE dahulu. Sesaran enjin ini adalah sebesar 2,960cc dan mempunyai 6 silinder. Nilai Bore x Stroke enjin ini adalah 87mm x 83mm. Blok enjin ini diperbuat daripada “Cast Iron”.

Blok enjin ini kemudiannya dikahwinkan dengan 2 unit kepala silinder berkembar (DOHC) yang diperbuat daripada alumunium. Model enjin ini merupakan model pertama di dalam keluarga VG yang menggunakan konfigurasi DOHC. Durasi bagi setiap “Camshaft” adalah 248° bagi keempat-empat “Camshaft”. Konfigurasi injap pula adalah 4 injap bagi satu silinder dan 24 injap bagi keseluruhan enjin. Nisbah mampatan adalah pada kadar 10.5:1. Buat pertama kalinya, pihak Nissan melengkapkan kepala silinder ini dengan sistem “Nissan Variable Timing Control” atau N-VTC.

Sistem bahanapi menggunakan sistem “Multi Point Fuel Injection” dibantu dengan dua unit “Throttle Body” yang menghadap ke hadapan jentera. Sistem pencucuhan menggunakan sistem mekanikal dimana unit “Distributor” digunakan bersama “Single Coil”.

Hasilnya ?

222hp pada 6,000rpm dan daya kilas sekuat 273Nm pada 4,800rpm. Cukup kuat untuk menggerakkan jentera seberat 1.5 tan ini tanpa menyeksa enjin.

Tak cukup kuat ? Sabar.

Nissan Z32 300ZX ini juga dikuasakan oleh enjin VG30DETT. Kalau nampak “DETT” maknanya jangan cuba cuba cucuk. Tiba-tiba je kereta ni boleh bergerak laju. Macam pernah dengar pula ayat ni.

Sesaran enjin ini sama dengan VG30DE iaitu 2,960cc 6 silinder. Semuanya sama dengan VG30DE kecuali :-

  • Nisbah mampatan berkadaran 8.5:1
  • Dikuasakan dengan unit turbo T22/TB02
  • Mempunyai 2 unit “Intercooler”

Senang cakap, dari enjin yang sama, pihak Nissan melakukan proses “Bolt On Turbo” sahaja. Hasilnya ?

300hp pada 6,400rpm dan daya kilas sekuat 384Nm pada 3,600rpm. Kuat bukan ? Kelajuan tertinggi adalah 250km/h dan catatan masa dari 0-100km/h pada 5.9 saat.

Jentera ini merupakan jentera pertama yang mengikut syarat “Gentleman Aggreement” dimana kuasa enjin yang diiklankan sekitar 280ps sahaja. Namun semua tahu bahawa kuasa yang dihamburkan jentera ini melebihi 300hp. Diorang pun tak percaya, jangan korang percaya pula.

Kuasa yang dihamburkan okeh enjin ini seterusnya dihantar ke 3 jenis kotak gear iaitu :-

  • 5-kelajuan manual RS5R30A
  • 4-kelajuan automatik RE4R01A
  • 4-kelajuan automatik RE4R03A

300hp hanya terpakai kepada varian manual sahaja. Varian automatik dihadkan kepada 280hp sahaja.

Seterusnya kuasa dihantar ke “Rear Differential” yang dilengkapi dengan LSD. Dengan adanya LSD, kuasa yang dihantar dapat dilepaskan dengan lancar dan stabil ke tayar.

Gabungan sistem suspensi yang kompleks, ditambah pula dengan SUPER HICAS bersama dengan LSD, pihak Nissan sangat yakin dengan kebolehan pengendalian jentera ini dan memang terbukti.

Mungkin sekarang kedengaran biasa-biasa sahaja angka-angka diatas. Namun jentera ini bermula produksinya dari tahun 1989-2000. Bermakna jentera ini sudah 21 sehingga 32 tahun berada di dalam pasaran. Zaman tu kita baru bermula dengan Proton Saga Orion, Magma dan Megavalve.

Seteru utama jentera ini ketika itu adalah :-

  • Porsche 944
  • Chevrolet Corvette C4
  • Ferrari 348
  • Alfa Romeo SZ
  • Mitsubishi 3000GT
  • Honda NSX

Bukan biasa – biasa Tuan Tuan. Produksi jentera ini juga fokus kepada dua pasaran iaitu JDM dan USDM. Namun ketika akhir-akhir hayatnya, jualan jentera ini jatuh menjunam disebabkan tukaran matawang asing yang menyebabkan harganya di USA melonjak tinggi.

Di negara kita, terdapat beberapa unit yang tersedia untuk dijual baik varian NA mahupun Twin Turbo. Dengan harga sekitar RM50,000 sehingga RM120,000(bergantung spesifikasi dan kondisi), jentera ini sangat berbaloi untuk dijadikan “Collector Item”.

Bentuknya yang cantik, malar hijau, enjin yang berkuasa, pengendalian yang mantap, apa lagi yang kita mahukan ? Nak solek pun lawa. Takde ilham ? Refer je Mat Saleh dengan Mat Jepun. Nak laju ? Ramai je buat sampai lebih 600hp. Sediakan duit sahaja.

Kalau saya ? Cari yang Twin Turbo Auto. Auto cukup. Bukan nak laju sgt. Kesian orang nak tengok kalau laju sangat.

Google ads
Back to top button