Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG UNICORN JEPUN – HONDA NSX!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan mengupas serba sedikit tentang sebuah lagenda dari Honda iaitu Honda NSX.

Honda NSX mempunyai 2 generasi iaitu generasi pertama dan kedua. Produksi generasi pertama adalah diantara 1990-2005. Manakala, produksi generasi kedua pula bermula pada tahun 2017 sehingga sekarang. Hal ini bermakna para peminat NSX menunggu 12 tahun untuk model pengganti. Kalau ada anak, dah boleh ambil UPSR dah budak tu.

Sejarah model ini bermula pada pertengahan 80-an apabila pihak Honda bekerjasama dengan syarikat rekaan daripada Itali iaitu Pininfarina untuk membina sebuah model konsep.

Apa konsepnya? “Bona-fide Supercar”. Sesuatu yang eksotik dan laju. Jentera konsep ini dikenali sebagai HP-X yang bermaksud “Honda Pininfarina Experimental”. Jentera konsep ini datang dengan enjin C20A 2.0L V6 dengan konfigurasi enjin di tengah.

Setelah perbincangan dilakukan oleh pihak atasan Honda, akhirnya projek ini diluluskan oleh “Founder” Honda sendiri iaitu Mr. Soichiro Honda. Ketika ini, beliau masih lagi berkuasa untuk membuat keputusan dan memainkan peranan sebagai “Supreme Advisor”.

Setelah diluluskan, pihak pengurusan memberitahu jurutera yang terlibat bahawa kenderaan ini mestilah selaju, setaraf dengan apa pun yang datang dari Itali dan Jerman.

Jentera ini yang dahulunya bernama HP-X ditukar namanya kepada NSX yang bermaksud “New Sportscar eXperimental”. Rekaan daripada Pininfarina dirombak kembali oleh pihak Honda dan antara orang yang bertanggungjawab adalah Masahito Nakano, Shigeru Uehara dan Ken Okuyama.

Kebenaran yang amat pahit detelan adalah untuk mengakui pada zaman ini tiada lagi model JDM yang setanding dan setaraf dengan Sportscar buatan eropah. Tiada langsung.

Jangan cerita pasal kelajuan kerana definisi Sportscar bukanlah sekadar kelajuan semata-mata. Ianya hendaklah seimbang dari segenap aspek.

Jadi, disini kita dapat lihat bahawa pihak Honda mengambil risiko yang sangat tinggi dengan jumlah pelaburan yang besar untuk menjadi model JDM pertama bersaing dengan nama besar.

Sasaran utama Honda ketika itu adalah Ferrari 328 & 348, Lotus Esprits, Porsche 911s dan Chevrolet Corvette.

Satu dunia ketika itu mentertawakan Honda. Baik pengkritik mahupun pemandu professional. Mereka tidak sangka pembuat kereta “murah” akan membuat sebuah jentera sukan yang eksotik.

Sekarang kita cerita tentang pembangunan jentera ini. Untuk mempunyai sebuah jentera yang laju, perkara pertama yang perlu dititikberatkan adalah enjinnya.

Ketika jentera ini masih di fasa konsep di bawah seliaan Pininfarina, jentera ini menggunakan enjin C20A 2.0L V6. Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 143hp dan Torque sebanyak 167Nm.

Enjin ini diambil daripada model Honda Legend keluaran 1986-1988. Jika dilihat pada angka diatas, langsung tidak relevan dengan tujuan utama Honda yang mahukan sebuah jentera yang laju. Tapi tak mengapa, namanya pun konsep. Bila konsep ni letaklah apa pun tak menjadi masalah kerana ianya bukan jentera produksi.

Apabila memasuki fasa produksi, pihak Honda melakukan pelbagai eksperimen dan ujian untuk memilih enjin yang sesuai untuk model NSX .

Setelah lebih kurang 15 ujian, akhirnya pihak Honda memilih untuk membangunkan enjin berkod C30A VTEC khusus untuk model NSX sahaja. Ini bermakna, tiada model Honda yang lain akan menggunakan enjin ini.

Hal ini kerana kos pembangunan dan produksi enjin ini adalah sangat mahal disebabkan material yang digunakan serta proses pembuatan yang kompleks. Selain itu, pihak Honda mahu mengekalkan “Exclusivity” jentera ini.

Enjin ini mampu menghamburkan kuasa sebanyak 270hp pada 7,100rpm bagi versi Manual dan kuasa dihadkan kepada 252hp bagi versi Automatik. Torque adalah sama bagi kedua-dua versi iaitu 294Nm pada 5,300rpm. Hmmmmm.

Dengan pecutan 0-100km/h hanya 5.5 saat dan kelajuan tertinggi pada 275km/h, bolehkan percaya yang enjin ini mampu menghamburkan “hanya” 270hp ? Oh ya ! Gentlement Agreement Tuan-Tuan sekalian. Patutlah.

Selesai bab enjin, kita pergi pada transmisi. Jentera ini dilengkapi dengan transmisi Manual 5-kelajuan dan Automatik 4-kelajuan. Berikut merupakan Nisbah Gear bagi kedua-dua unit transmisi.

Transmisi Manual 5-Kelajuan :-

  • Gear 1 – 3.071
  • Gear 2 – 1.952
  • Gear 3 – 1.4
  • Gear 4 – 1.033
  • Gear 5 – 0.771
  • Gear Gostan – 3.186

Transmisi Automatik 4-Kelajuan

  • Gear 1 – 2.611
  • Gear 2 – 1.466
  • Gear 3 – 1.025
  • Gear 4 – 0.777
  • Gear Gostan – 1.909

Sistem Chasis jentera ini adalah yang pertama di dunia menggunakan teknologi “Semi-Monocoque” daripada Aluminium sepenuhnya.

Seterusnya, ia dibantu oleh komponen-komponen sistem suspensi yang juga dibuat daripadaaAluminium. Hasilnya, jentera ini mampu mengurangkan lebih daripada 200kg berat jika Chassis dan komponen suspensi menggunakan besi.

Sistem suspensi jentera ini menggunakan “Double Wishbone” bagi depan dan belakang. Unit “Sub-Frame” di depan dan belakang bersambung dengan kerangka utama di tengah yang menempatkan enjin.

Konsep yang sama seperti jentera lumba Formula One. Jurutera Honda juga amat berkira tentang Nisbah Berat jentera ini dimana kedudukan tangki minyak serta tempat duduk diletakkan pada posisi yang ideal.

Hasilnya, ada penumpang atau tiada, tangki minyak kosong atau tidak, tidak akan mengubah nisbah berat jentera ini. Nisbah berat yang diperolehi adalah 42% depan dan 58% belakang. Hampir seimbang Tuan-Tuan.

Walaupun begitu, pihak Honda masih tidak berpuas hati. Oleh itu, di sini kita dapat lihat pemandu Formula One Jepun Satoru Nakajima melibatkan diri dalam projek NSX ini.

Penglibatan beliau adalah untuk memberikan maklumbalas serta idea tentang penalaan suspensi serta pengendalian jentera ini. Tidak cukup dengan itu, lagenda Formula One Ayrton Senna merupakan individu terpenting di mana beliau meyakinkan Honda untuk mengeraskan lagi sistem suspensi NSX ini bagi mencapai pengendalian yang optimum.

Selain daripada 2 orang pemandu Formula One di atas, pemandu Indy Car Bobby Rahal juga terlibat secara langsung dalam pembangunan jentera ini.

Oh ya, penyelia utama dalam projek pembangunan ini adalah unit Honda Motorsport itu sendiri. Pada waktu ini, Honda masih aktif di dalam Formula One. Oleh itu, pihak Honda tiada masalah untuk mengakses segala teknologi Formula One yang berguna untuk diaplikasikan pada jentera ini.

Untuk rekaan dalaman kokpit pula, pihak Honda mengambil inspirasi daripada kokpit Jet Pejuang F-16.

Kenapa Jet Pejuang ? Hal ini kerana dalam kelajuan tinggi, salah satu perkara penting adalah jarak penglihatan(Visibility). Secara tidak langsung, ia akan memberikan pemandu keyakinan ketika memandu. Nampak tak? Benda yang kita rasa kecil macam ni pun mereka ambil kira.

Jentera ini membuat kemunculan sulung di Chicago Auto Show pada tahun 1989. Disusuli di Tokyo Auto Show pada tahun yang sama. Ye lah, nak lawan Mat Saleh, kena tunjuk Mat Saleh dulu dari orang sendiri. Ketika ini dunia automotif menerima kelahiran rasmi sebuah jentera bernama Honda NSX NA1.

Berbalik kepada persepsi orang ramai terhadap Honda diawal cerita tadi, kritikan dah tawa semakin lama semakin menghilang. Eropah seakan terkesima dengan apa yang berlaku. Tertanya-tanya sama ada mereka yang bergerak lambat atau Jepun yang terlalu laju mengejar.

Di sebelah Jepun pula, tindakan Honda mengeluarkan Honda NSX membuatkan pengeluar kenderaan lain semakin agresif dan berkeyakinan untuk bersaing di aras yang lebih tinggi.

Honda NSX ni sebenarnya sudah hampir sempurna dah dari segala aspek. Pembangunannya pun menerima penglibatan secara langsung daripada divisyen Honda Motorsport. Cuma Honda seakan tidak lengkap tanpa model Type R.

Pada tahun 1992, pihak Honda mengeluarkan model Type R bagi NSX dan dikenali sebagai NSX-R. Enjin ? Sama. Cuma untuk model Type R ini pihak Honda fokus kepada pengurangan berat (weight reduction).

Sistem audio, penghawa dingin, tayar gantian, “traction control”. Perlu ? Tidak. Buang ! Begitu juga dengan peranti-peranti elektronik yang tidak perlu semuanya dibuang. Kerusi ditukar kepada jenis “Carbon-Kevlar” dari Recaro.

Unit Rim pula ditukar kepada model Enkei “Forged alumunium”. Hasilnya, berat jentera ini dapat dikurangkan kepada 1,240kg sahaja berbangding dengan berat asal iaitu 1,370kg.

Unit suspensi jentera ini ditambah baik dengan beberapa komponen baru ditambah serta ditukar untuk memberikan pengendalian yang lebih mantap. Seterusnya, unit “Final Drive” jentera Type R ini ditukar dan memberikan nilai baru iaitu 4.235:1 berbanding unit asal iaitu 4.06:1.

Hasilnya, jentera ini mampu mencapai kelajuan penuh dengan lebih cepat. Produksi jentera NSX-R NA1 ini berakhir pada tahun 1995. Tidak lupa juga, pihak Honda ada mengeluarkan 483 unit NSX-R untuk pasaran Jepun sahaja dengan sistem yang lengkap seperti penghawa dingin dan sistem audio. Barang “rare” ni bohh !

Selepas produksi NSX-R dihentikan, produksi NSX masih berlangsung sengan pengenalan model seperti :-

  • NSX-T (1995)
  • NSX-S & S-Zero (1997)
  • NSX Alex Zanardi Edition (1999)

Pada tahun 1997, pihak Honda mengumumkan penaiktarafan bagi enjin dan transmisi untuk Honda NSX. Model NSX menerima enjin berkod C32B bersesaran 3,179cc yang mampu menghamburkan kuasa sebanyak 290hp dan Torque sebanyak 305Nm. Sistem transmisi pula ditukar daripada 5-kelajuan ke 6-kelajuan. Namun begitu, model Automatik masih mengekalkan enjin C30A. Hahaha. Takpelah, laju juga. Nak layan jem pun takdehal kan. Fikir positif.

Pada tahun 2002, model NSX NA1 ini ditamatkan produksinya bagi memberi laluan kepada model “Facelift” iaitu NA2. Model Facelift ini dikeluarkan bagi memberikan rupa yang lebih moden untuk bersaing dengan lebih kompetitif. Ye lah, dah masuk era 2000 takkan nak pakai lampu “pop-up” lagi kan. Antara penambahbaikan yang lain adalah seperti berikut :-

  • “Spring Rates” lebih keras
  • “Stabilizer Bar” yang lebih besar
  • Spoiler belakang
  • “Tail Light Housing”
  • “Quad Exhaust Tip”

Penambahbaikan ini juga menurunkan “drag coefficient” sekaligus memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik. Enjin? Sama.

Pada tahun yang sama juga pihak Honda mengeluarkan model Type R NA2. Macam biasa, “weight reduction” menjadi resepi utama Type R. “Carbon Fibre” dimana-mana. Lagi satu, model ni dilengkapi dengan sistem paut stering. Haha ! Unit “Power Steering” dibuang dan digantikan dengan paut stering.

Enjin pula dirombak kembali. Setiap komponen dibuat kembali dengan teliti dan proses “balancing” dilakukan bagi menjadikan enjin ini lebih seimbang ketika operasi.

Dengan rombakan ini, respon menjadi lebih baik serta kuasa yang dapat dihamburkan juga adalah lebih tinggi. Pihak Honda menyatakan kuasa enjin C32B Type R ini “hanya” 290hp namun terdapat spekulasi yang menyatakan bahawa kuasa sebenar enjin ini melebihi 300hp. Kuat woi ! NA pula tu !

NSX-R ni “rare”? Ada lagi “rare” Tuan-Tuan.

Model ini dikenali sebagai NSX-R GT. Model ini khusus untuk pasaran Jepun sahaja (JDM). Jentera ini dikeluarkan untuk melepasi syarat homolagasi bagi menyertai Super GT. Jadi, hanya 5 unit sahaja dikeluarkan di dunia.

Senang je nak cam jentera ni, paling ketara adalah unit “Snorkel” di atas bumbung jentera ini. Ia bertujuan untuk membolehkan udara luar masuk terus ke “Throttle Body”. Tiada butiran spesifikasi dari pihak Honda untuk jentera ini. Namun, disebabkan pengeluarannya hanya 5 unit, cukup untuk menjadikan model ini sangat istimewa.

Produksi Honda NSX akhirnya ditamatkan pada tahun 2005. Secara keseluruhan, pencapaian Honda NSX amat membanggakan dan menguntungkan pihak Honda. Sambutan pula sangat menggalakkan. Mampukah legasi Honda NSX NA1 dan NA2 ini disambung oleh model NSX yang baru ? Sama-sama kita lihat.

Jadi, ini lah sedikit sebanyak yang saya dapat kongsikan tentang sejarah sebuah lagenda daripada negara matahari terbit ini. Untuk penimat tegar Honda, anda patut berbangga kerana Honda lah yang pertama mengeluarkan “Supercar” dan mampu bersaing dengan jayanya.

Kepada pemilik-pemilik Honda NSX di Malaysia, terima kasih kerana menjaga jentera lagenda ini dan memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk melihat jentera ini dengan dekat.

Tags
Google ads
Back to top button